Friday, 31 July 2015

Siri 2/9: Hoverkraf Botol Plastik


Mari bina sebuah mini hoverkraf yang boleh menggelongsor di atas meja dan lihat bagaimana kita boleh kalahkan daya geseran dengan mudah. 

Apa yang anda perlukan?
Botol plastik
Gunting
Belon 

Apa yang perlu dibuat?
1. Minta orang dewasa untuk memotong bahagian atas botol plastik, seperti yang ditunjukkan. Cuba dapatkan potongan yang bersih dan tidak berlekuk.


2. Minta mereka untuk membuat lubang kecil pada penutup botol.



3. Tiup belon hingga besar.
4. Apabila selesai, kepitkan leher belon di antara jari telunjuk dan ibu jari supaya udara tidak terlepas.
5. Sementara itu, muatkan leher belon di atas tutup botol. Anda mungkin perlu seseorang untuk membantu anda.


6. Dirikan “hoverkraf” anda pada permukaan yang rata, seperti meja, dan lepaskan udara dari belon. Tolak sedikit hoverkraf itu jika perlu. Anda akan lihat udara bergegas keluar, membuatkan botol itu terapung dari permukaan meja dan seterusnya meluncur seperti sebuah hoverkraf!

Apakah yang berlaku?
Geseran adalah suatu daya yang cuba untuk melambatkan objek atau memberhentikan objek yang bergerak. Geseran dihasilkan apabila dua objek bersentuhan. Apabila anda menggosok kedua-dua tapak tangan anda, geseran membuat kedua-dua permukaan terasa lebih panas.

Geseran boleh menjadi sesuatu yang memberi kebaikan. Tanpa geseran, kaki kita akan sentiasa meluncur di sana sini. Geseran juga boleh menjadi sesuatu yang kurang diingini. Contohnya apabila kita mengayuh basikal bertentangan dengan angin yang kuat!

Sebuah hoverkraf dapat bergerak lebih cepat daripada kapal di laut kerana ia seolah-olah ‘terapung’ di atas kusyen udara. Geseran di antara hoverkraf dan udara adalah kurang dari geseran di antara kapal dan air. Model mini hoverkraf yang kita bina itu juga bergerak dengan mudahnya di atas “kusyen” udara.

Tahukah anda?
Perhatikan di sekeliling anda. Geseran berada di mana-mana.
Lantai bilik air biasanya dialas getah atau plastik. Ini adalah untuk menghasilkan geseran yang lebih besar dan memberikan genggaman yang lebih baik supaya kita tidak tergelincir.
Ada beberapa jenis kasut yang dilengkapi dengan tapak yang berbunga untuk memberikan pegangan yang baik di atas tanah supaya kita tidak tergelincir.


Cuci tangan anda dengan sabun dan air tanpa membilas atau mengeringkannya. Sekarang cubalah untuk membuka tudung botol sos. Bolehkah anda berbuat demikian? Sekarang, cuci tangan dan keringkannya dengan tuala. Apa yang terjadi apabila anda cuba untuk membuka tudung botol sos tadi?



Selamat mencuba!




Ikuti kesemua 9 siri “Ilusi dan Sains”  seperti berikut:-

Siri 9/9 : "Pepejal + Cecair = Gas!"
http://www.creating-wonder.blogspot.com/2015/07/siri-99-pepejal-cecair-gas.html



Kunjungi pameran Illusion: Nothing Is As It Seems dan Lihat Dunia Berubah Di Depan Mata Anda di Petrosains, KLCC dari 4 September 2015 - 10 Januari 2016!
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Shared by Nor Azhar Ishak
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment