Showing posts with label peribahasa melayu. Show all posts
Showing posts with label peribahasa melayu. Show all posts

Thursday, 20 February 2014

Mengapa 'Mencurah Air Ke Daun Keladi' Namun Ia Tetap Tidak Basah?



Mencanting pada lukisan batik bertujuan menutup bahagian motif  supaya ia akan tetap putih. Bahan yang digunakan untuk proses ini adalah campuran lilin dan damar. Lilin mempunyai sifat tidak larut dalam air. Begitulah yang diibaratkan dengan peribahasa melayu 'mencurah air ke daun keladi'. Walau sebanyak mana sekalipun air dicurahkan ke atas permukaan daunnya, ia tetap akan berada dalam keadaan yang segar dan tidak basah.

Ini adalah kerana bahagian atas setiap daun keladi dilitupi oleh satu lapisan kalis air yang dinamakan sebagai kutikel berlilin. Lapisan ini menghalang peresapan air keluar dan masuk melaluinya. Kutikel merupakan lapisan bukan sel yang menyelaputi beberapa bahagian tumbuh-tumbuhan seperti daun dan batang pokok. Lapisan ini mampu menghalang kehilangan air melalui proses penyejatan. Lapisan ini tidak berwarna, maka cahaya matahari masih dapat menembusinya. Lapisan ini tidak membenarkan gas melaluinya, sebaliknya gas keluar dan masuk melalui bahagian bawah daun. Selain itu struktur daun ini membantu untuk melindungi daun tersebut daripada serangan serangga perosak.
Terdapat pelbagai jenis pokok keladi namun pokok keladi yang dimaksudkan adalah dari jenis Keladi Sebaring seperti yang ditunjukkan pada gambar di atas. Disebabkan saiz daun keladi  ini agak lebar dan besar, struktur urat daun  akan menyokong daun keladi supaya berada dalam susunan bentuk yang sesuai bagi memastikan ia menerima jumlah cahaya matahari yang sederhana untuk menjalankan fotosintesis. Urat juga berfungsi  menghalang  daun keladi dari menjadi layu.     

Kerana sifat lilin yang tidak larut dalam air dan keadaan kutikel berlilin pada permukaan daun  yang sebenarnya adalah punca daun keladi tidak basah walau sebanyak mana air sekalipun dicurahkan padanya. Begitulah juga maksud peribahasa ini iaitu seperti melakukan perbuatan yang sia-sia sahaja seolah-olah seseorang yang tidak mahu berubah setelah sudah berkali-kali memberikan nasihat kepadanya. 






Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains




Friday, 7 February 2014

Aromaterapi Dalam 'Sudah Gaharu Cendana Pula'




Peribahasa 'Sudah Gaharu Cendana Pula' adalah pembayang kepada baris pemaksud iaitu 'Sudah Tahu Bertanya Pula'. Maksudnya lebih mudah diterangkan mengenai seseorang yang sudah mengetahui tentang sesuatu perkara tetapi pura-pura buat tak tahu malah ingin bertanya lagi.
Kaitan maksud peribahasa ini dapat dilihat dengan jelas daripada perihal gaharu dan cendana. Gaharu dan cendana, kedua-duanya adalah dua jenis tumbuh-tumbuhan yang berbeza atau berlainan spesies tetapi mempunyai persamaan yang ketara dari segi penggunaaannya di mana kedua-dua tumbuhan ini digunakan untuk membuat minyak wangi kerana ia mampu mengeluarkan bau yang harum. Secara fizikalnya, diketahui gaharu adalah lebih wangi dari cendana. Jadi, peribahasa ini mengibaratkan mengapa kita perlu mencari cendana jika sudah memperoleh gaharu.

Pokok gaharu (Aquilaria malaccensis) ataupun 'agarwood' dan turut dikenali sebagai 'oud' merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika. Semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi. Manakala pokok cendana (Santalum album) ataupun 'sandalwood' ialah sejenis pokok dari keluarga Santalaceae merupakan sejenis tumbuhan parasit iaitu terpaksa menumpang pada tumbuhan lain untuk hidup kerana ia sendiri tidak mampu untuk menyokong pertumbuhannya kerana ia mempunyai sistem akar yang lemah. 

Sekarang, mari kita kupas apa kaitannya peribahasa di atas dengan aromaterapi?Aromaterapi merupakan istilah generik bagi satu jenis rawatan alternatif untuk tujuan tertentu menggunakan bauan aromatik yang diperolehi dari minyak pati dan resin tumbuh-tumbuhan. Bauan aromatik yang dimaksudkan diperolehi secara semulajadi dari sejenis sebatian organik yang dikenali sebagai terpenes.
Terpenes diekstrak melalui  proses penyulingan dan mempunyai sifat mudah meruap. Kayu gaharu berwarna kehitaman dan mengandungi resin khas digunakan untuk membuat minyak wangi dan setanggi manakala kayu cendana yang bewarna kuning digunakan dalam industri wangi-wangian. Dari sudut komposisi kimianya, terpenes merupakan hidrokarbon tidak tepu dan mempunyai formula am ( C5H8 )n. Terpenes mudah diubahsuai secara kimia melalui tindakbalas dengan oksigen di udara. Ini menyebabkan bauan aroma ini akan  turut berubah mengikut masa. 

Sebagai kesimpulannya, tumbuh-tumbuhan lain mungkin mempunyai profil terpenes yang berbeza di mana ia memberikan kepelbagaian aroma  seperti yang boleh diperolehi dari kayu putih, kayu manis, limau dan bunga-bungaan yang  turut diaplikasikan di dalam minyak wangi yang sering kita gunakan seharian.







Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains









Monday, 27 January 2014

Adaptasi 'Bagaikan Aur Dengan Tebing'



Saling memerlukan dan tolong menolong antara satu sama lain. Begitulah  yang diibaratkan  dalam peribahasa melayu  'bagaikan aur dengan tebing'. Maksud peribahasa ini jelas tetapi pernahkah kita terfikir apakah itu aur? Aur merupakan sejenis buluh  yang tumbuh secara semulajadi di tebing-tebing sungai. Secara fizikalnya, ia kelihatan seperti pokok tebu yang hidup berumpun di kawasan- kawasan tebing sungai.


Sungai adalah perairan air tawar dan merupakan ekosistem lotik ataupun sentiasa mengalir. Sungai mempunyai tahap keasidan yang agak tinggi dan ia boleh dilihat dari warna airnya. Kederasan arus sungai juga sering berubah-ubah mengikut cuaca. Jika hujan lebat, maka arus sungai akan menjadi deras dan ia boleh keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya hakisan akan berlaku. Ia sekaligus akan menyebabkan kedalaman sungai menjadi semakin cetek.
Kesan-kesan negatif ini boleh menggangu habitat organisma-organisma lain seperti ikan dan dan tumbuh-tumbuhan lain. Apabila sungai menjadi cetek, sistem pengairan di sesuatu kawasan turut terganggu. Tambahan pula sekiranya ada penempatam manusia yang berhampiran di mana mereka bergantung kepada sungai sebagai bekalan air dan keperluan asas untuk hidup.



Walaubagaimanpun, dengan adanya banyak pokok-pokok aur yang tumbuh secara semulajadi di tebing-tebing sungai, ia merubah merubah segala keadaan dan kesan-kesan lanjutan yang negatif seperti yang sudah dibincangkan diatas. Ini adalah  kerana pokok aur mempunyai sistem akar yang unik.

Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya pada tanah pasir peroi sehingga tanak liat peroi. Di samping itu, buluh sememangnya beradaptasi dengan tanah berasid khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH 5.0 - 6.5 kerana ini adalah keadaan medium yang paling sesuai bagi penanaman buluh.

Maka, sekiranya kita perhatikan terdapat pokok-pokok aur di tebing sungai, kebarangkalian besar adalah sungai tersebut akan terpelihara daripada segala keadaan yang tidak diingini. Pokok-pokok aur memerlukan air yang banyak untuk terus hidup dan sungai akan terpelihara sekiranya ada pokok aur yang mendiami kawasan tebing sungai ini.
Jadi, tercetusnya peribahasa melayu lama ini adalah bersebab kerana mempunyai maksud yang mendalam. Pokok aur dan sungai memrlukan and saling tolongmenolong antara satu sama lain.






Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains