Showing posts with label sains. Show all posts
Showing posts with label sains. Show all posts

Sunday, 25 October 2020

Jaring Boleh Buat Air Tak Tumpah!

Anda mungkin pernah melihat air di dalam cawan plastik yang mempunyai jaring kemudian ditutup dengan sekeping kadbod dan apabila diterbalikkan kadbod itu melekat pada permukaan penutup cawan itu dan air di dalamnya tidak tumpah. 

Itu sahaja telah membuatkan ianya sangat menarik tetapi anda juga boleh membuatkan lebih menarik lagi dengan membuatkan air itu tidak tumpah apabila kad itu ditarik keluar. Anda pasti akan dapat membuatkan rakan-rakan anda terkejut apabila kad itu ditarik.

Aktiviti ini hanya memerlukan 4 bahan yang sangat mudah didapati di rumah. 4 bahan itu adalah cawan plastik, air, jaring dan kadbod. Adakah bahan itu semua ada di rumah anda? Jikalau ada, jom kita cuba buat aktiviti ini!

Aktiviti ini  sangat menarik untuk anda bersama rakan-rakan dan keluarga anda cuba. Ia pasti akan membuat mereka kagum apabila melihat hasilnya!




Shared by Aina Khairunnisa
Guest Blogger

Friday, 16 October 2020

Telur Berdiri!



'Telur Berdiri' adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk dicuba apabila anda bosan atau sedang mencari aktiviti berbentuk 'cabaran' untuk mengisi masa lapang bersama keluarga di rumah.

Cuba seimbangkan telur di atas permukaan meja dan bertanding dalam satu perlumbaan bersama rakan atau ahli keluarga anda. Pengimbangan telur pasti sukar dikuasai. Sungguhpun begitu,  anda mungkin boleh  melakukannya dengan sedikit latihan.

Telur mempunyai bentuk yang unik yang boleh membuatkan ia seimbang di bahagian hujung atau di sisi. Cara yang paling mudah untuk mengimbangi telur adalah dengan menyokong hujung bulat pada permukaan kasar, seperti menggunakan timbunan garam. Dengan sedikit kesabaran, anda dapat mengimbangkan telur di atas meja yang licin. Mari kita lihat aksi dalam video ini!

Silap mata ini  sangat hebat kerana apabila terdapat garam di bahagian bawah telur, ia menjadikan luas tapak permukaan lebih luas. Semakin besar luas tapak permukaan sesuatu objek, semakin stabil objek tersebut. Apabila diletakkan di atas meja, telur secara semula jadi berorientasikan dirinya dengan 'paksi menegak' selari dengan permukaan meja seolah-olah kelihatan seperti telur itu berdiri.

Jadi, apa yang ada tunggu lagi. Jom segera ke dapur dan dapatkan sebiji telur beserta sedikit garam dan terus mencubanya. Ia pasti menyeronokkan!




Posted by Ayu
Petrosains Blogger 

Friday, 20 December 2019

Sejauh Mana Anda Kenal Jantung Anda?


Siapa saja yang tidak kenal jantung, organ penting yang bertanggungjawab mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Jantung terletak di sebelah kiri sedikit dari tengah dada dan di belakang tulang dada (sternum). 

Tapi sejauh mana anda mengenali jantung anda? Tahukah fakta-fakta sebenar mengenai organ yang penting ini? Mari kita lihat.



1. Berat jantung: kurang dari satu paun!

Terdapat pelbagai entri berkenaan berat jantung manusia. Namun, secara puratanya berat jantung ialah 300 gram hingga 400 gram atau seberat satu tin minuman ringan.

2. Purata saiznya ialah sebesar penumbuk 

Jantung kita berbentuk kon. Genggam jari anda untuk berupa penumbuk; dan itulah saiz jantung anda. Walaupun hanya bersaiz kecil berbanding dengan saiz badan keseluruhannya, namun ia sangat hebat kerana mampu mengepam darah ke seluruh badan dengan kuat dan tahan lama.

3. Tertawa dan bergembiralah!

Antara faktor risiko mendapat sakit jantung adalah daripada tekanan. Contohnya ketika dalam keadaan tertekan, tekanan darah meningkat, kita mungkin akan makan banyak, malas bersenam dan mempunyai kecenderungan untuk merokok yang semuanya menjadi faktor risiko sakit jantung. Jadi belajarlah mengawal tekanan dan cuba lakukan perkara yang menggembirakan setiap hari.

4. Sel jantung tidak boleh membiak

Sel jantung tidak mempunyai kebolehan untuk membiak sebab itu ianya sangat berharga. Sebagai contoh, apabila kulit anda terluka, badan akan memberi isyarat kepada sel kulit untuk membentuk sel baru bagi menggantikan sel yang telah mati. Selepas beberapa hari, luka tersebut akan tercantum semula. Jika berlaku kecederaan pada jantung, tiada sel baru akan dihasilkan tetapi hanya akan membentuk parut.

5. Jantung berdegup 85,000 kali sehari

Kadar degupan bagi orang normal ialah antara 60 hingga 100 degupan dalam masa seminit. Jika didarabkan dengan 24 jam, ia bersamaan 85,000 hingga 129,600 degupan sehari. Apa yang lebih menarik, jantung anda terus berdegup tanpa henti. Jika terhenti walaupun beberapa minit, anda boleh pitam kerana darah tidak sampai ke otak.





Posted by Ain Aqila
Guest Blogger


Pernahkah Anda Menjejakkan Kaki di Pameran Sparkz?


Sparkz adalah antara ruang pameran interaktif yang mencabar pemikiran semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur di Petrosains. 

Kredit imej: littledayout.com  

Apakah aktiviti yang ada di Sparkz? Di sini anda boleh mencipta alat terbang anda sendiri dengan bahan yang disediakan dan ujinya di ‘Wind Table’. Pameran ini juga menyediakan pengalaman untuk anda mencabar keluarga dan kawan-kawan anda untuk perlawanan ‘Robo Soccer’ dan ‘Grain Pit’ untuk si pencipta kecil. Anda juga pasti terpesona dengan seni interaktif di skrin besar yang disediakan.

Pameran 'Interactive Art' di dalam ruangan pameran Sparkz

Jangan lupa untuk mencuba mesin gerudi atau duduk di bangku simulasi gempa bumi.


Dedahkan kreativiti si kecil di Tot Spot, kawasan khas untuk kanak-kanak kecil dengan alatan permainan yang sesuai mengikut umur mereka.


Kredit imej: littledayout.com  

Sparkz penuh dengan aktiviti interaktif terutama sekali untuk kanak-kanak supaya dapat belajar dengan cara yang lebih berkesan. Nikmati keseronokkan tanpa batasan dalam menyelesaikan teka-teki sains di Sparkz, Petrosains!




Posted by Ain Aqila
Guest Blogger

Wednesday, 16 August 2017

Stopping Light



As long as the sun shines, it’s always there following you around to wherever you go. You can see it, but you can’t touch it. What is it?


We have shadows because light moves in a certain way. It travels outward from its source, like the sun or torch light. As long as nothing is in the way, the light waves move in one direction at a speed of 300,000 kilometers per second. 


That is like traveling around the world seven times in one second! Nothing travels faster than light waves. But when some of the light waves hit something – you, or a tree – they are stopped. Then, on the other side of the thing that stopped the light waves, there is a dark space – a shadow. 


Things in a dark room have no shadows because there are no light waves traveling through the room. And on cloudy days, things have no shadows because the clouds break up the light waves from the sun. The clouds soak up some of the waves and scatter the rest of them in all directions. When the light waves scatter and bounce instead of moving in one direction, no shadows are formed. 


You can see things in your room at night because of the light from the bulb. Try being in a thick jungle in the middle of the night, and you’ll realize the importance of light for our sense of sight. That is why some species of fish very deep down in the ocean do not have eyes because the sunlight doesn’t reach those depths.




Experiment: 
Make a shadow clock 

Materials: 
paper plate, spool, pencil

Steps:
1.    Glue the spool to the center of the paper plate.
2.    Place a pencil in the hole of the spool, with the point up.
3.    Place the paper under the sun early in the morning.
4.    Draw a line down the shadow the pencil makes on the paper plate.
5.    Write the hour next to the line you traced.
6.    Repeat steps 4 and 5 after every hour until the sun goes down.







Shared by Surain A. Victor
Guest Blogger

Monday, 21 November 2016

'Hints' & alasan sains untuk menjawab teka-teki ‘cari fon tersembunyi’


Segelintir daripada kita mungkin pernah terlihat teka-teki ‘cari fon tersembunyi’ atau dalam ayat sebenarnya ‘cuba cari telefon bimbit yang tersembunyi?’ yang telah tersebar dan agak ‘viral’ di laman media sosial seperti di Facebook dan Instagram suatu ketika dahulu namun mungkin juga ada yang belum pernah melihatnya.

Soalannya berbunyi; Perhatikan gambar di bawah dengan teliti dan 
‘cuba cari fon tersembunyi’.


‘Macam mana? Dah jumpa tak?’  Ataupun anda masih tercari-cari? Teruskan mencari kerana anda pasti teruja sekiranya anda berjaya menjumpainya!
Kita hampir tidak percaya bahawa memang terdapat satu telefon bimbit tersembunyi dalam gambar di atas. Walaubagaimanapun, ada di antara kita dapat menjumpainya dengan mudah kerana mereka mempunyai kelebihan untuk melihat benda-benda yang tersembunyi.

Kenapa susah nak jumpa telefon bimbit yang tersembunyi? 'Hints' dan alasan sains berikut boleh membantu anda menjawab teka-teki ini.

Mata kita telah tertipu disebabkan oleh tiga perkara iaitu (1)warna, (2)corak dan (3)saiz. Warna sarung telefon bimbit yang tersembunyi terdiri daripada warna hitam, putih dan kelabu di mana warna-warna ini menyerupai warna karpet tersebut. Maka ia telah ‘camouflage’ ataupun ‘menyamar’ dengan persekitaran dan  menyebabkan penglihatan mata kita terkabur dari dapat melihat objek yang tersembunyi. Objek yang ‘camouflage’ dengan persekitaran akan mengelirukan pandangan mata kita. 

Namun ‘camouflage’ mempunyai kesan kebaikan untuk haiwan-haiwan dalam persekitaran semulajadinya di mana haiwan-haiwan menyamar dengan warna persekitaran supaya dapat melindungi diri dari diserang musuh seperti dalam gambar di bawah.


'Hints' yang kedua ialah corak pada sarung telefon bimbit yang tersembunyi  hampir sama dengan corak karpet di mana kedua-duanya berasaskan corak bunga. Corak objek ataupun dalam hal ini corak sarung telefon bimbit kelihatan hampir sama dengan corak karpet menyebabkan ‘ilusi mata’ berlaku. ‘Ilusi mata’ atau ’ilusi optik’ dalam erti kata lain bermaksud kepercayaan palsu terhadap penglihatan mata yang mampu mengakibatkan persepsi kita akan berubah terhadap keadaan sebenar  sesuatu objek. Lihat gambar di bawah. Corak garisan-garisan geometri secara menegak pada fabrik boleh menampakkan seseorang itu kelihatan lebih tinggi daripada ketinggian sebenar. 

Kredit imej: @vivyyusof


Selain itu, faktor ‘saiz’ memainkan peranan penting terhadap teka-teka ini. Saiz sarung telefon bimbit dalam gambar di atas adalah sama dengan saiz garisan-garisan pada corak karpet.  

Ketiga-tiga ‘hints’ dan alasan sains sudah diperjelaskan. Anda sudah tahu jawapannya? Telefon bimbit yang tersembunyi itu terletak di bahagian atas kanan gambar berhampiran dengan kaki meja.  

Sekarang cuba bayangkan sarung telefon bimbit itu bewarna merah? Atau cuba bayangkan sarung telefon bimbit itu bewarna hitam, putih dan kelabu tetapi bercorak ‘bintang-bintang’ misalnya? Ataupun ‘saiz’ sarung telefon bimbit yang tersembunyi adalah lebih besar daripada garisan-garisan pada corak karpet? Sudah tentu kewujudan objek itu kelihatan lebih ketara.




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger   

Friday, 10 June 2016

Marshmallow Vakum



Cuba ini!

Ambil sebuah bekas plastik kedap udara. Masukkan beberapa Marshmallow ke bekas itu. Kemudian, pam untuk mengeluarkan udara dari dalam bekas itu. Apabila bekas dipam, udara akan keluar dari bekas itu. Jadi kandungan udara dalam bekas plastik itu menjadi hampir tiada  ataupun keadaan ini dipanggil 'vakum'. 

Teruskan mengepam sambil memerhati perubahan saiz pada Marshmallow. Marshmallow semakin bertambah saiznya apabila semakin banyak udara yang keluar dari bekas itu. Wow! 'Lagi banyak udara keluar, lagi besar saiz Marshmallow'. Apa yang berlaku?

Kemudian tekan pula bahagian tengah penutup  untuk memasukkan kembali udara ke dalam bekas plastik tadi. Cuba perhatikan dengan teliti! Apa pula yang berlaku pada Marshmallow? Marshmallow mengecil dan kembali ke saiz asalnya.

Ulang langkah-langkah di atas tetapi kali ini cuba dengan belon pula seperti dalam video di bawah ini;




Apa yang berlaku?

Marshmallow mempunyai banyak poket udara. Apabila udara dipam keluar, tekanan udara di dalam Marshmallow menjadi lebih tinggi berbanding tekanan udara di dalam bekas plastik itu. Ini menyebabkan saiz Marshmallow menjadi besar.

Apabila bahagian tengah penutup bekas plastik itu ditekan, udara akan masuk semula ke dalam bekas dan tekanan udara di dalam bekas menjadi kembali normal. Saiz Marshmallow juga akan kembali kepada saiz asal.

Keadaan di dalam bekas menjadi hampir 'vakum' (ruang tiada jirim) semasa kita mengepam udara keluar dari dalam bekas. Keadaan ini menyebabkan saiz Marshmallow menjadi lebih besar. Jadi, adakah saiz manusia akan menjadi lebih besar sekiranya kita pergi ke ruang angkasa lepas tanpa memakai sut angkasa?




Kunjungi 'A Guide To The Galaxy | An Astronomical Experience' di Petrosains, KLCC dari 
1 Jun 2016 - 30 Jun 2016 !
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            


Wednesday, 8 June 2016

Telur X-Ray



Cuba ini!

Ambil sebiji telur ayam. Pegang telur dengan menggunakan penyepit. Kemudian halakan telur ayam ke atas nyalaan api lilin sehingga jelaga tersebut menyelaputi seluruh telur ayam. Kulit telur ayam akan menjadi bertukar menjadi warna hitam (lihat gambar di sebelah kiri).

Ambil sebekas air paip dan isikan air paip itu di dalam sebuah bekas yang lutsinar. Celupkan telur yang berwarna hitam tadi (yang diselaputi oleh jelaga) ke dalam air. Apa yang anda perhatikan? (lihat gambar di sebelah kanan). 
Anda dapat melihat 'Telur X-Ray'! 

Telur itu kelihatan lutsinar ataupun seperti 'x-ray' di mana  seolah-olah anda boleh melihat  bahagian dalam telur itu iaitu kuning telur!

Mari tonton video di bawah ini untuk melihat bagaimana untuk membuat aktiviti ini!


Apa yang berlaku?

Apabila telur di halakan ke atas nyalaan api, jelaga akan menyelaputi permukaan kulit telur itu.  Jelaga adalah berwarna hitam dan juga dikenali sebagai 'karbon'. Ia bersifat 'hidrofobik' iaitu tidak suka pada air. Apabila telur dimasukkan kedalam air, sifat hidrofibiknya akan menghasilkan satu lapisan ruang udara di antara air dan telur.


Fenomena pembiasan cahaya berlaku apabila cahaya melalui dua medium yang berbeza; contohnya air dan udara. Hasilnya, sesuatu objek akan kelihatan lebih besar didalam air. Di dalam eksperimen ini pula, sifat jelaga yang 'hidrofobik' menolak air daripada melekat pada telur dan menghasilkan satu lapisan udara di antara air dan telur. Lapisan udara ini, menambahkan lagi pembiasan kerana medium yang dilalui cahaya telah bertambah. Jadi, bahagian  'x-ray' yang anda lihat pada telur tadi sebenarnya adalah kesan pembiasan cahaya. 

Bahagian yang dapat dilihat seperti kuning telur itu pula sebenarnya bukanlah kuning telur tetapi ia adalah telur itu sendiri. Menarik tak?



Selamat mencuba!



Kunjungi 'A Guide To The Galaxy | An Astronomical Experience' di Petrosains, KLCC dari 
1 Jun 2016 - 30 Jun 2016 !
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger                

Tuesday, 17 May 2016

Cipta Akronim, Ingat Dengan Mudah!


Terdapat beberapa cara mudah yang digunakan untuk menghafal beberapa perkara yang berlainan dalam satu masa. Antaranya adalah seperti mengingat kata kunci, baca berulang kali dan membuat peta minda.

Selain itu, satu lagi cara yang sangat mudah boleh digunakan untuk menghafal adalah dengan mencipta akronim. Sebagai contoh, bagaimana cara untuk mengingati  satu senarai barangan runcit yang perlu dibeli iaitu bawang, agar-agar, cuka, dan asam jawa? Cara mudah untuk mengingatinya adalah cipta akronim dengan mengambil huruf pertama bagi setiap perkataan dan ia akan membentuk perkataan baru iaitu 'BACA'. 

Penggunaan akronim juga boleh diaplikasikan untuk tujuan pembelajaran. Akronim yang menarik dan berkaitan dengan keadaan semasa adalah lebih baik kerana ia lebih senang untuk diingati. Berikut adalah 3 akronim yang boleh digunakan untuk menghafal:-

1) Planet-planet dalam sistem suria 
2) Warna-warna pelangi mengikut turutan
3) Siri elektrokimia


Planet-planet dalam Sistem Suria


Warna-warna Pelangi



Siri Elektrokimia



Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger                

Friday, 29 January 2016

Wajah Anda Mirip Siapa?


Seringkali kita mendengar orang memperkatakan samada wajah seseorang itu lebih mirip wajah ibu atau bapanya  ataupun kekadang ada juga yang mengatakan wajahnya menyerupai gabungan kedua-dua wajah ibu bapa mereka ataupun juga tidak langsung menyerupai wajah ibu atau bapa mereka. Tetapi, mengapa ini terjadi?



Jawapannya ialah 'genetik'. Genetik adalah ciri-ciri perwarisan dalam semua benda hidup yang bukan  hanya menentukan rupa wajah  malah ia merangkumi segala-galanya dari warna rambut sehingga jenis kumpulan darah pada manusia. Gen yang kita warisi berasal daripada gabungan gen-gen induk iaitu ibu dan bapa kita yang mana gen yang mereka warisi berasal daripada gabungan gen-gen daripada ibu dan bapa mereka atau datuk dan nenek kita.

Apabila DNA daripada ibu dan bapa kita bergabung, ia akan membentuk satu set gen yang membentuk ciri-ciri fizikal kita. Kebarangkalian untuk mewarisi ciri-ciri ini adalah 50:50. Wajah seseorang adalah lebih mirip kepada bapanya kerana kebanyakkan gen yang diperolehi adalah daripada bapanya dan begitu juga sebaliknya. Sebab itulah tidak semestinya kita dan adik beradik kita memiliki wajah yang sama melainkan kita dilahirkan sebagai kembar seiras. 

Kemungkinan besar juga seseorang itu mewarisi gen daripada datuk dan nenek mereka seperti yang berlaku kepada anak bongsu saya. Dia mungkin kelihatan seperti kembar kepada neneknya kerana wajahnya tidak meyerupai langsung wajah saya atau bapanya.

Sungguh menakjubkan! Namun persoalan mengenai kenapa wajah seseorang itu lebih menyerupai bapanya dan adik beradik yang lain menyerupai wajah ibunya, ini semuanya adalah kerana genetik!




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger

Thursday, 3 December 2015

Mengapa Wujudnya Laluan Bercorak Timbul Ini?



Adakah anda pernah melihat laluan bercorak timbul di atas ketika anda berjalan di laluan pejalan kaki?  Pernahkah terlintas di fikiran anda apakah fungsi laluan ini? Atau juga anda mungkin tidak pernah terfikir yang laluan bercorak timbul disediakan atas sebab-sebab tertentu? Mungkin juga ada segelintir menganggap lantai yang bercorak timbul ini adalah hanya sebagai jubin hiasan lantai?


Laluan bercorak timbul ini ataupun 'tactile' ini bukan sahaja terdapat di laluan pejalan kaki tetapi boleh dijumpai di merata kawasan termasuk di stesen-stesen pengangkutan transit aliran ringan. Tetapi apakah sebenarnya fungsi laluan 'tactile' ini?


Rata-rata memberi jawapan yang laluan bercorak timbul ini bertujuan untuk mengurangkan geseran pada permukaaan lantai ketika permukaan lantai basah atau licin. Jawapan ini salah! Laluan 'tactile' disediakan bertujuan bagi memudahkan dan membantu golongan yang mengalami kecacatan penglihatan untuk berjalan dengan selamat di kawasan-kawasan awam dan di laluan pejalan kaki. 


Istilah 'tactile' membawa maksud 'sentuhan'. Atau lebih menjurus kepada deria sentuhan. Kerana itulah ia bercorak timbul untuk memberi amaran kepada mereka yang mengalami kecacatan penglihatan menggunakan deria sentuhan sebagai panduan untuk berjalan di tempat awam.

Laluan bercorak timbul ini mempunyai pelbagai jenis corak di mana ia memberi maksud amaran yang berbeza-beza. Melalui deria sentuhan, maklumat akan dihantar melalui sistem saraf manusia kepada otak untuk tafsiran maklumat. Dalam perkara ini, 'tactile' yang berbeza coraknya akan memberi maksud samada untuk berjalan lurus atau perlu berhenti kerana terdapat halangan di hadapan.

Anda boleh mencuba laluan ini! Pejam mata dan cuba gunakan deria sentuhan yang kita ada! 





Posted by Ayu
Petrosains

Friday, 13 November 2015

Siapakah Lebih Stabil? Lelaki Atau Perempuan?



Mari kita bincangkan persoalan mengenai siapakah yang lebih stabil. Adakah lelaki lebih stabil daripada perempuan? Cuba teka jawapannya? Apakah jawapan anda? Bagaimana cara untuk mengetahui samada lelaki atau perempuan yang lebih stabil? 

Sekarang cuba ingat kembali teori mengenai faktor yang mempengaruhi kestabilan bagi menjawab persoalan di atas. Kestabilan sesuatu objek bergantung kepada:-

a) luas tapak 
b) kedudukan pusat graviti

Bagaimana luas tapak mempengaruhi kestabilan?
Gambarajah di bawah menunjukkan 2 buah botol. Yang mana lebih stabil? Botol A atau botol B?



Ambil dua buah botol dan dirikan botol-botol tersebut seperti dalam gambarajah. Botol A akan kekal pada kedudukannya manakala botol B akan terbalik setelah beberapa ketika. Ini menunjukkan botol A lebih stabil daripada botol B. Ini adalah kerana sesuatu objek yang mempunyai luas tapak yang lebih besar adalah lebih stabil daripada sesuatu objek dengan luas tapak yang kecil. 

Aktiviti yang dilakukan dalam video berikut juga boleh dicuba di rumah bagi membuktikan bahawa luas tapak merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kestabilan.


Namun, adakah persoalan di atas sudah terjawab? Jika belum, mari kita lihat kepada faktor yang kedua pula.

Faktor yang kedua adalah kedudukan pusat graviti. Bagaimana pula pusat graviti sesuatu objek mempengaruhi kestabilan? 

Ambil dua buah botol lagi. Satu diisi penuh dengan air dan satu lagi diisi satu pertiga penuh sahaja. Sekiranya kedua-dua botol di atas diletakkan di atas meja kemudian meja itu di angkat, botol mana yang jatuh dahulu? Jika kita merujuk kepada pernyataan sesuatu objek yang lebih berat adalah lebih stabil daripada sesuatu objek yang lebih ringan dengan syarat kedua-dua objek mempunyai saiz dan bentuk yang sama, maka tentu sekali botol yang berisi penuh dengan air lebih stabil daripada yang satu lagi. Tetapi sebaliknya pula berlaku. Lihat penerangan dalam video di bawah:-


Eksperimen sebelum ini menggunakan botol bagi menguji kedudukan pusat graviti. Sekarang mari tonton video berikut pula:- 



Pelajar perempuan dalam video di atas berjaya berdiri dengan mudah. Ini menujukkan perempuan mempunyai pusat graviti yang lebih rendah. Sesuatu objek dengan pusat graviti yang rendah adalah lebih stabil daripada sesuatu objek yang mempunyai pusat graviti yang lebih tinggi.

Kesimpulannya adalah perempuan lebih stabil berbanding lelaki kerana kedudukan pusat graviti seorang perempuan adalah lebih rendah berbanding pusat graviti seorang lelaki.



Posted by Ayu
Petrosains