Showing posts with label Kestabilan. Show all posts
Showing posts with label Kestabilan. Show all posts

Friday, 16 October 2020

Telur Berdiri!



'Telur Berdiri' adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk dicuba apabila anda bosan atau sedang mencari aktiviti berbentuk 'cabaran' untuk mengisi masa lapang bersama keluarga di rumah.

Cuba seimbangkan telur di atas permukaan meja dan bertanding dalam satu perlumbaan bersama rakan atau ahli keluarga anda. Pengimbangan telur pasti sukar dikuasai. Sungguhpun begitu,  anda mungkin boleh  melakukannya dengan sedikit latihan.

Telur mempunyai bentuk yang unik yang boleh membuatkan ia seimbang di bahagian hujung atau di sisi. Cara yang paling mudah untuk mengimbangi telur adalah dengan menyokong hujung bulat pada permukaan kasar, seperti menggunakan timbunan garam. Dengan sedikit kesabaran, anda dapat mengimbangkan telur di atas meja yang licin. Mari kita lihat aksi dalam video ini!

Silap mata ini  sangat hebat kerana apabila terdapat garam di bahagian bawah telur, ia menjadikan luas tapak permukaan lebih luas. Semakin besar luas tapak permukaan sesuatu objek, semakin stabil objek tersebut. Apabila diletakkan di atas meja, telur secara semula jadi berorientasikan dirinya dengan 'paksi menegak' selari dengan permukaan meja seolah-olah kelihatan seperti telur itu berdiri.

Jadi, apa yang ada tunggu lagi. Jom segera ke dapur dan dapatkan sebiji telur beserta sedikit garam dan terus mencubanya. Ia pasti menyeronokkan!




Posted by Ayu
Petrosains Blogger 

Friday, 13 November 2015

Siapakah Lebih Stabil? Lelaki Atau Perempuan?



Mari kita bincangkan persoalan mengenai siapakah yang lebih stabil. Adakah lelaki lebih stabil daripada perempuan? Cuba teka jawapannya? Apakah jawapan anda? Bagaimana cara untuk mengetahui samada lelaki atau perempuan yang lebih stabil? 

Sekarang cuba ingat kembali teori mengenai faktor yang mempengaruhi kestabilan bagi menjawab persoalan di atas. Kestabilan sesuatu objek bergantung kepada:-

a) luas tapak 
b) kedudukan pusat graviti

Bagaimana luas tapak mempengaruhi kestabilan?
Gambarajah di bawah menunjukkan 2 buah botol. Yang mana lebih stabil? Botol A atau botol B?



Ambil dua buah botol dan dirikan botol-botol tersebut seperti dalam gambarajah. Botol A akan kekal pada kedudukannya manakala botol B akan terbalik setelah beberapa ketika. Ini menunjukkan botol A lebih stabil daripada botol B. Ini adalah kerana sesuatu objek yang mempunyai luas tapak yang lebih besar adalah lebih stabil daripada sesuatu objek dengan luas tapak yang kecil. 

Aktiviti yang dilakukan dalam video berikut juga boleh dicuba di rumah bagi membuktikan bahawa luas tapak merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kestabilan.


Namun, adakah persoalan di atas sudah terjawab? Jika belum, mari kita lihat kepada faktor yang kedua pula.

Faktor yang kedua adalah kedudukan pusat graviti. Bagaimana pula pusat graviti sesuatu objek mempengaruhi kestabilan? 

Ambil dua buah botol lagi. Satu diisi penuh dengan air dan satu lagi diisi satu pertiga penuh sahaja. Sekiranya kedua-dua botol di atas diletakkan di atas meja kemudian meja itu di angkat, botol mana yang jatuh dahulu? Jika kita merujuk kepada pernyataan sesuatu objek yang lebih berat adalah lebih stabil daripada sesuatu objek yang lebih ringan dengan syarat kedua-dua objek mempunyai saiz dan bentuk yang sama, maka tentu sekali botol yang berisi penuh dengan air lebih stabil daripada yang satu lagi. Tetapi sebaliknya pula berlaku. Lihat penerangan dalam video di bawah:-


Eksperimen sebelum ini menggunakan botol bagi menguji kedudukan pusat graviti. Sekarang mari tonton video berikut pula:- 



Pelajar perempuan dalam video di atas berjaya berdiri dengan mudah. Ini menujukkan perempuan mempunyai pusat graviti yang lebih rendah. Sesuatu objek dengan pusat graviti yang rendah adalah lebih stabil daripada sesuatu objek yang mempunyai pusat graviti yang lebih tinggi.

Kesimpulannya adalah perempuan lebih stabil berbanding lelaki kerana kedudukan pusat graviti seorang perempuan adalah lebih rendah berbanding pusat graviti seorang lelaki.



Posted by Ayu
Petrosains