Showing posts with label parasit. Show all posts
Showing posts with label parasit. Show all posts

Friday, 13 June 2014

Pokok ber'duit' tapi Menumpang



Teringat pada zaman kanak-kanak apabila bermain permainan 'jual beli' lalu akan menggunakan daun sejenis tumbuhan yang melekat pada batang pokok kelapa sebagai duit syiling. Daun pokok ini digunakan kerana rupanya yang 'bulat-bulat' kecil menyerupai rupa duit syiling sepuluh sen. Rupa-rupanya memang nama pokok ini  pokok duit-duit.

Lalu keinginan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pokok unik dan pelik ini semakin mendalam. Yang pastinya pokok ini hidup menumpang kerana ia tumbuh di atas batang pokok yang besar seperti batang pokok kelapa. Itulah salah satu sifat pokok duit-duit ataupun lebih tepat pokok duit-duit sakat ribu-ribu atau nama saintifiknya Pyrrosia piloselloides. 

Tergolong dalam keluarga pakis, pokok ini merupakan sejenis tumbuhan yang hidup menjalar pada pokok-pokok berbatang besar. Akar rayap halusnya akan merebak di permukaan batang pokok yang ditumpangnya dan melekat pada kulit batang kayu.

Ramai yang berpendapat pokok ini parasit tetapi ini tidak benar. Walaupun menumpang, pokok duit-duit sakat ribu-ribu bukanlah parasit iaitu hubungan simbiosis di antara dua organisma di mana organisma penumpang dalam kes ini pokok duit-duit mendapat manfaat daripada organisma perumah (batang pokok) sehingga menjejaskan perumahnya. Sebaliknya ia adalah tumbuhan epifit iaitu tidak menjejaskan perumahnya dan mampu membuat makanan sendiri. Akarnya yang menjalar tinggi akan menyerap air ketika hujan.


Ia kekadang juga kelihatan menggelikan. Namun tidak hairanlah pokok ini juga dikenali sebagai sisik naga kerana daunnya yang berbentuk bulat, lonjong atau bujur tumbuh tersusun bersilang-silang rapat antara satu sama lain. Daunnya berwarna hijau muda atau hijau gelap dengan ukuran 2-3 cm panjang setiap satu. Daun-daunnya mungkin kecil, tetapi mempunyai kandungan air yang banyak.

Ia membiak melalui spora yang terdapat pada daunnya. Apabila pokok dituip angin, spora-spora matang akan terbang dan jatuh pada pokok-pokok lain disekitar, seterusnya akan membentuk pokok duit-duit baru apabila cuaca lembab atau hujan.

Disebalik penampilan yang biasa, para pengemar aktiviti  berkebun dan lanskap sering kali mengubakannya sebagai aksesori tambahan diatas pohon-pohon yang lain. Rupanya yang tidak terlalu menonjol membuatkan kecantikan pokok lain terserlah dengan mengunakan pokok duit-duit sebagai tambahan.

Kesimpulannya, bukanlah benar-benar pokok ini ber'duit' tetapi digelar sebagai pokok duit-duit kerana rupa bentuknya menyerupai duit syiling. Ia tumbuh menumpang kerana secara tabiinya yang hidup menjalar di atas organisma lain namun tidak akan menjejaskan perumahnya. Namun harus diingat agar kita tidak mengambil daun-daun pokok-pokok ini secara mencabut dan menariknya secara kasar begitu sahaja kerana pokok ini amat bergantung pada akarnya untuk membuat makanan. 



#eww








Shared by Atika Nordin
Intern at Petrosains, The Discovery Centre




Friday, 7 February 2014

Aromaterapi Dalam 'Sudah Gaharu Cendana Pula'




Peribahasa 'Sudah Gaharu Cendana Pula' adalah pembayang kepada baris pemaksud iaitu 'Sudah Tahu Bertanya Pula'. Maksudnya lebih mudah diterangkan mengenai seseorang yang sudah mengetahui tentang sesuatu perkara tetapi pura-pura buat tak tahu malah ingin bertanya lagi.
Kaitan maksud peribahasa ini dapat dilihat dengan jelas daripada perihal gaharu dan cendana. Gaharu dan cendana, kedua-duanya adalah dua jenis tumbuh-tumbuhan yang berbeza atau berlainan spesies tetapi mempunyai persamaan yang ketara dari segi penggunaaannya di mana kedua-dua tumbuhan ini digunakan untuk membuat minyak wangi kerana ia mampu mengeluarkan bau yang harum. Secara fizikalnya, diketahui gaharu adalah lebih wangi dari cendana. Jadi, peribahasa ini mengibaratkan mengapa kita perlu mencari cendana jika sudah memperoleh gaharu.

Pokok gaharu (Aquilaria malaccensis) ataupun 'agarwood' dan turut dikenali sebagai 'oud' merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika. Semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi. Manakala pokok cendana (Santalum album) ataupun 'sandalwood' ialah sejenis pokok dari keluarga Santalaceae merupakan sejenis tumbuhan parasit iaitu terpaksa menumpang pada tumbuhan lain untuk hidup kerana ia sendiri tidak mampu untuk menyokong pertumbuhannya kerana ia mempunyai sistem akar yang lemah. 

Sekarang, mari kita kupas apa kaitannya peribahasa di atas dengan aromaterapi?Aromaterapi merupakan istilah generik bagi satu jenis rawatan alternatif untuk tujuan tertentu menggunakan bauan aromatik yang diperolehi dari minyak pati dan resin tumbuh-tumbuhan. Bauan aromatik yang dimaksudkan diperolehi secara semulajadi dari sejenis sebatian organik yang dikenali sebagai terpenes.
Terpenes diekstrak melalui  proses penyulingan dan mempunyai sifat mudah meruap. Kayu gaharu berwarna kehitaman dan mengandungi resin khas digunakan untuk membuat minyak wangi dan setanggi manakala kayu cendana yang bewarna kuning digunakan dalam industri wangi-wangian. Dari sudut komposisi kimianya, terpenes merupakan hidrokarbon tidak tepu dan mempunyai formula am ( C5H8 )n. Terpenes mudah diubahsuai secara kimia melalui tindakbalas dengan oksigen di udara. Ini menyebabkan bauan aroma ini akan  turut berubah mengikut masa. 

Sebagai kesimpulannya, tumbuh-tumbuhan lain mungkin mempunyai profil terpenes yang berbeza di mana ia memberikan kepelbagaian aroma  seperti yang boleh diperolehi dari kayu putih, kayu manis, limau dan bunga-bungaan yang  turut diaplikasikan di dalam minyak wangi yang sering kita gunakan seharian.







Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains