Thursday, 20 February 2014

Mengapa 'Mencurah Air Ke Daun Keladi' Namun Ia Tetap Tidak Basah?



Mencanting pada lukisan batik bertujuan menutup bahagian motif  supaya ia akan tetap putih. Bahan yang digunakan untuk proses ini adalah campuran lilin dan damar. Lilin mempunyai sifat tidak larut dalam air. Begitulah yang diibaratkan dengan peribahasa melayu 'mencurah air ke daun keladi'. Walau sebanyak mana sekalipun air dicurahkan ke atas permukaan daunnya, ia tetap akan berada dalam keadaan yang segar dan tidak basah.

Ini adalah kerana bahagian atas setiap daun keladi dilitupi oleh satu lapisan kalis air yang dinamakan sebagai kutikel berlilin. Lapisan ini menghalang peresapan air keluar dan masuk melaluinyaKutikel merupakan lapisan bukan sel yang menyelaputi beberapa bahagian tumbuh-tumbuhan seperti daun dan batang pokok. Lapisan ini mampu menghalang kehilangan air melalui proses penyejatan. Lapisan ini tidak berwarna, maka cahaya matahari masih dapat menembusinya. Lapisan ini tidak membenarkan gas melaluinya, sebaliknya gas keluar dan masuk melalui bahagian bawah daun. Selain itu struktur daun ini membantu untuk melindungi daun tersebut daripada serangan serangga perosak.
Terdapat pelbagai jenis pokok keladi namun pokok keladi yang dimaksudkan adalah dari jenis Keladi Sebaring seperti yang ditunjukkan pada gambar di atas. Disebabkan saiz daun keladi  ini agak lebar dan besar, struktur urat daun  akan menyokong daun keladi supaya berada dalam susunan bentuk yang sesuai bagi memastikan ia menerima jumlah cahaya matahari yang sederhana untuk menjalankan fotosintesis. Urat juga berfungsi  menghalang  daun keladi dari menjadi layu.     

Kerana sifat lilin yang tidak larut dalam air dan keadaan kutikel berlilin pada permukaan daun  yang sebenarnya adalah punca daun keladi tidak basah walau sebanyak mana air sekalipun dicurahkan padanya. Begitulah juga maksud peribahasa ini iaitu seperti melakukan perbuatan yang sia-sia sahaja seolah-olah seseorang yang tidak mahu berubah setelah sudah berkali-kali memberikan nasihat kepadanya. 






Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains




No comments:

Post a Comment