Showing posts with label biologi. Show all posts
Showing posts with label biologi. Show all posts

Friday, 18 July 2014

Tebuan Ber'Sel Solar'




Kredit foto: Gideon Pisanty, Wikimedia Commons

Tahukah anda bahawa satu kajian telah dijalankan terhadap bahagian kutikel dan kepompong sutera pupa Tebuan Oriental ataupun nama saintifiknya Vespa orientalis? Kajian ini telah membuktikan bahawa kedua-dua bahagian serangga ini memiliki sifat fotoelektrik ataupun bertindak sebagai sel solar biologi. 

Fotoelektrik didefinisikan sebagai kesan elektrik apabila terdedah kepada cahaya. Bahagian kutikel tebuan ini bertindak menyerap cahaya untuk ditukarkan kepada tenaga elektrik. 

Secara ringkas, bahagian kutikel dan kepompong tebuan ini berfungsi sebagai medium penukar cahaya kepada tenaga elektrik. Namun, penggunaan tenaga elektrik yang dihasilkan masih belum dikenalpasti.



Artikel ini adalah adaptasi daripada
http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/002219109290020E









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains







Friday, 25 April 2014

Mari Mengenal Lintah Dengan Lebih Dekat!



Sekali pandang pada lintah-lintah, reaksi wajah terus berkerut kerana 'geli' melihat struktur kulitnya yang licin lalu akan berundur setapak ke belakang mengelak dari menyentuhnya.

Secara amnya, lintah boleh dijumpai di dalam air tawar dan air laut. Ia adalah haiwan jenis hermafrodit iaitu mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina. Terdapat satu bahagian penghisap darah pada mulut lintah yang dikenali sebagai 'penghisap anterior'. Lintah berpaut pada perumah seperti manusia dengan penghisap anterior dan akan mengeluarkan sejenis bendalir seperti bius yang menyebabkan perumah tidak menyedari hinggapan lintah. Lintah berpaut pada manusia untuk menghisap darah sehingga kenyang. Kemudian ia akan turun dari perumah untuk menghadam makanannya. 
Pada kebiasaannya, kita akan terkejut dan menjerit-jerit sekiranya melihat lintah melekat pada badan kita. Kita akan terus menarik lintah untuk membuangnya. Tetapi, tahukah anda bahawa lintah boleh memanjangkan badannya sehingga kebuh kurang 30cm panjang. Sekiranya ia ditarik terlalu kuat, bahagian penghisap anterior mungkin akan tertinggal pada badan kita.  Lihat video di bawah!

Sungguhpun haiwan ini menggelikan, ia mempunyai manfaat lain dalam bidang perubatan. Lintah atau nama saintifiknya Hirudo medicinalis boleh mengeluarkan bahan hirudin, iaitu sejenis protein yang berfungsi sebagai agen anti-pembekuan darah semulajadi. Protein ini dirembeskan keluar dari kelenjar liurnya semasa menggigit perumah. Dari beberapa penyelidikan yang pernah dijalankan oleh universiti -universiti tempatan,  protein ini dapat membantu ahli perubatan dalam kajian penyakit-penyakit tertentu oleh kerana hirudin dari lintah tidak toksik berbanding bahan sintetik lain yang lebih mahal.


#petrosains #eww









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






Thursday, 20 February 2014

Mengapa 'Mencurah Air Ke Daun Keladi' Namun Ia Tetap Tidak Basah?



Mencanting pada lukisan batik bertujuan menutup bahagian motif  supaya ia akan tetap putih. Bahan yang digunakan untuk proses ini adalah campuran lilin dan damar. Lilin mempunyai sifat tidak larut dalam air. Begitulah yang diibaratkan dengan peribahasa melayu 'mencurah air ke daun keladi'. Walau sebanyak mana sekalipun air dicurahkan ke atas permukaan daunnya, ia tetap akan berada dalam keadaan yang segar dan tidak basah.

Ini adalah kerana bahagian atas setiap daun keladi dilitupi oleh satu lapisan kalis air yang dinamakan sebagai kutikel berlilin. Lapisan ini menghalang peresapan air keluar dan masuk melaluinya. Kutikel merupakan lapisan bukan sel yang menyelaputi beberapa bahagian tumbuh-tumbuhan seperti daun dan batang pokok. Lapisan ini mampu menghalang kehilangan air melalui proses penyejatan. Lapisan ini tidak berwarna, maka cahaya matahari masih dapat menembusinya. Lapisan ini tidak membenarkan gas melaluinya, sebaliknya gas keluar dan masuk melalui bahagian bawah daun. Selain itu struktur daun ini membantu untuk melindungi daun tersebut daripada serangan serangga perosak.
Terdapat pelbagai jenis pokok keladi namun pokok keladi yang dimaksudkan adalah dari jenis Keladi Sebaring seperti yang ditunjukkan pada gambar di atas. Disebabkan saiz daun keladi  ini agak lebar dan besar, struktur urat daun  akan menyokong daun keladi supaya berada dalam susunan bentuk yang sesuai bagi memastikan ia menerima jumlah cahaya matahari yang sederhana untuk menjalankan fotosintesis. Urat juga berfungsi  menghalang  daun keladi dari menjadi layu.     

Kerana sifat lilin yang tidak larut dalam air dan keadaan kutikel berlilin pada permukaan daun  yang sebenarnya adalah punca daun keladi tidak basah walau sebanyak mana air sekalipun dicurahkan padanya. Begitulah juga maksud peribahasa ini iaitu seperti melakukan perbuatan yang sia-sia sahaja seolah-olah seseorang yang tidak mahu berubah setelah sudah berkali-kali memberikan nasihat kepadanya. 






Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains