Friday 20 December 2019

Sejauh Mana Anda Kenal Jantung Anda?


Siapa saja yang tidak kenal jantung, organ penting yang bertanggungjawab mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Jantung terletak di sebelah kiri sedikit dari tengah dada dan di belakang tulang dada (sternum). 

Tapi sejauh mana anda mengenali jantung anda? Tahukah fakta-fakta sebenar mengenai organ yang penting ini? Mari kita lihat.



1. Berat jantung: kurang dari satu paun!

Terdapat pelbagai entri berkenaan berat jantung manusia. Namun, secara puratanya berat jantung ialah 300 gram hingga 400 gram atau seberat satu tin minuman ringan.

2. Purata saiznya ialah sebesar penumbuk 

Jantung kita berbentuk kon. Genggam jari anda untuk berupa penumbuk; dan itulah saiz jantung anda. Walaupun hanya bersaiz kecil berbanding dengan saiz badan keseluruhannya, namun ia sangat hebat kerana mampu mengepam darah ke seluruh badan dengan kuat dan tahan lama.

3. Tertawa dan bergembiralah!

Antara faktor risiko mendapat sakit jantung adalah daripada tekanan. Contohnya ketika dalam keadaan tertekan, tekanan darah meningkat, kita mungkin akan makan banyak, malas bersenam dan mempunyai kecenderungan untuk merokok yang semuanya menjadi faktor risiko sakit jantung. Jadi belajarlah mengawal tekanan dan cuba lakukan perkara yang menggembirakan setiap hari.

4. Sel jantung tidak boleh membiak

Sel jantung tidak mempunyai kebolehan untuk membiak sebab itu ianya sangat berharga. Sebagai contoh, apabila kulit anda terluka, badan akan memberi isyarat kepada sel kulit untuk membentuk sel baru bagi menggantikan sel yang telah mati. Selepas beberapa hari, luka tersebut akan tercantum semula. Jika berlaku kecederaan pada jantung, tiada sel baru akan dihasilkan tetapi hanya akan membentuk parut.

5. Jantung berdegup 85,000 kali sehari

Kadar degupan bagi orang normal ialah antara 60 hingga 100 degupan dalam masa seminit. Jika didarabkan dengan 24 jam, ia bersamaan 85,000 hingga 129,600 degupan sehari. Apa yang lebih menarik, jantung anda terus berdegup tanpa henti. Jika terhenti walaupun beberapa minit, anda boleh pitam kerana darah tidak sampai ke otak.





Posted by Ain Aqila
Guest Blogger


No comments:

Post a Comment