Friday, 7 February 2014

Aromaterapi Dalam 'Sudah Gaharu Cendana Pula'




Peribahasa 'Sudah Gaharu Cendana Pula' adalah pembayang kepada baris pemaksud iaitu 'Sudah Tahu Bertanya Pula'. Maksudnya lebih mudah diterangkan mengenai seseorang yang sudah mengetahui tentang sesuatu perkara tetapi pura-pura buat tak tahu malah ingin bertanya lagi.
Kaitan maksud peribahasa ini dapat dilihat dengan jelas daripada perihal gaharu dan cendana. Gaharu dan cendana, kedua-duanya adalah dua jenis tumbuh-tumbuhan yang berbeza atau berlainan spesies tetapi mempunyai persamaan yang ketara dari segi penggunaaannya di mana kedua-dua tumbuhan ini digunakan untuk membuat minyak wangi kerana ia mampu mengeluarkan bau yang harum. Secara fizikalnya, diketahui gaharu adalah lebih wangi dari cendana. Jadi, peribahasa ini mengibaratkan mengapa kita perlu mencari cendana jika sudah memperoleh gaharu.

Pokok gaharu (Aquilaria malaccensis) ataupun 'agarwood' dan turut dikenali sebagai 'oud' merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika. Semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi. Manakala pokok cendana (Santalum album) ataupun 'sandalwood' ialah sejenis pokok dari keluarga Santalaceae merupakan sejenis tumbuhan parasit iaitu terpaksa menumpang pada tumbuhan lain untuk hidup kerana ia sendiri tidak mampu untuk menyokong pertumbuhannya kerana ia mempunyai sistem akar yang lemah. 

Sekarang, mari kita kupas apa kaitannya peribahasa di atas dengan aromaterapi?Aromaterapi merupakan istilah generik bagi satu jenis rawatan alternatif untuk tujuan tertentu menggunakan bauan aromatik yang diperolehi dari minyak pati dan resin tumbuh-tumbuhan. Bauan aromatik yang dimaksudkan diperolehi secara semulajadi dari sejenis sebatian organik yang dikenali sebagai terpenes.
Terpenes diekstrak melalui  proses penyulingan dan mempunyai sifat mudah meruap. Kayu gaharu berwarna kehitaman dan mengandungi resin khas digunakan untuk membuat minyak wangi dan setanggi manakala kayu cendana yang bewarna kuning digunakan dalam industri wangi-wangian. Dari sudut komposisi kimianya, terpenes merupakan hidrokarbon tidak tepu dan mempunyai formula am ( C5H8 )n. Terpenes mudah diubahsuai secara kimia melalui tindakbalas dengan oksigen di udara. Ini menyebabkan bauan aroma ini akan  turut berubah mengikut masa. 

Sebagai kesimpulannya, tumbuh-tumbuhan lain mungkin mempunyai profil terpenes yang berbeza di mana ia memberikan kepelbagaian aroma  seperti yang boleh diperolehi dari kayu putih, kayu manis, limau dan bunga-bungaan yang  turut diaplikasikan di dalam minyak wangi yang sering kita gunakan seharian.







Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains









1 comment:

  1. Terima kasih infonya gan.
    Lumayan buat nambah wawasan.

    Gema Parfum
    Minyak wangi cendana.

    ----------

    ReplyDelete