Thursday, 5 June 2014

Rama-rama besar datang lagi!


Rama-rama ini banyak kelihatan di sekitar Menara Berkembar, KLCC, Kuala Lumpur sekarang. Paling banyak adalah pada waktu malam. Rama-rama ini keluar secara berkumpulan dan akan menghinggapi dinding-dinding kaca dan di atas lantai di sekitar kawasan ini. 

Menjelang waktu siang, bilangan rama-rama semakin berkurang tetapi rama-rama ini masih boleh dilihat pada sudut-sudut bangunan yang agak terlindung dari cahaya matahari. Berdasarkan pemerhatian, rama-rama ini banyak dijumpai mati pada sebelah pagi.

Pernahkah anda melihat rama-rama ini? 
Rama-rama ini wujud sepanjang tahun tetapi akan kelihatan dengan banyaknya pada bulan Mei sehingga Julai setiap tahun dan menurut N.Sivasothi, seorang pensyarah dalam bidang Sains Biologi, kemunculan rama-rama pada tahun ini dikatakan paling banyak berbanding tahun-tahun sebelum semenjak 2005 lagi.  

Selain di bandaraya Kuala Lumpur, rama-rama ini  memang banyak didapati di tempat-tempat lain seperti di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia seperti di Kuantan, Pahang dan di negeri Terengganu. ia juga banyak didapati di negara-negara jiran seperti di Indonesia dan Singapura. 

Kenali spesies rama-rama ini! 
Apa yang dilihat adalah rama-rama dan bukan kupu-kupu! (Layari http://creating-wonder.blogspot.com/2014/02/butterfly-itu-kupu-kupu-moth-adalah.html 
untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara rama-rama dan kupu-kupu). Rama-rama ini bersaiz agak besar iaitu hampir menyamai saiz tapak tangan orang dewasa. Ia berwarna coklat kehitaman dan mempunyai jalur putih di bahagian kiri dan kanan sayapnya.  
Secara saintifiknya, rama-rama 'Tropical Swallowtail' juga dikenali sebagai Lyssa zampa. Berdasarkan dari kebanyakkan fakta diperolehi daripada pakar-pakar bidang, disebabkan taburan hujan yang agak tinggi kini mempengaruhi faktor kemunculan spesies ini dengan banyaknya Tanaman-tanaman terutamanya tumbuhan berbunga hidup dengan subur dan ini  menggalakan rama-rama ini datang untuk menghisap nektar iaitu sejenis manisan yang terdapat pada bunga sebagai makanan.

Adakah ia berbahaya?
Tentu ramai yang tidak mahu mendekatinya kerana dikhuatiri ia berbahaya. Tambahan pula jika dilihat dari arah sesungut (pandangan hadapan), rupanya kelihatan agak garang dan menakutkan. Jangan bimbang kerana ia tidak berbahaya! Malah ia mungkin akan tercedera jika kita menyentuhnya.

Kenapa ia banyak kelihatan? Apakah puncanya?
Ini sudah pasti menjadi persoalan utama sekiranya kita terserempak dengan rama-rama ini. Pelbagai andaian dan pendapat didengari daripada  banyak pihak mengenai kemunculannya.

Rama-rama adalah haiwan yang tergolong dalam kategori serangga. Seperti yang kita tahu, rama-rama menghisap nektar pada bunga sebagai  makanan. Rama-rama ini dipercayai berasal dari kawasan hutan. Metamorfosis ataupun kitar hidup rama-rama berasal dari telur dan kemudian menjadi ulat beluncas. Ulat beluncas memakan daun pokok dan selepas itu terbentuknya pupa ataupun kepompong.

Dari kepompong akan terbentuknya rama-rama.  Ia akan terbang jauh dari hutan bertujuan untuk mengawan dan mencari tempat yang sesuai untuk menetas. Disebabkan sifat tabii serangga atau spesifiknya rama-rama memang akan tertarik pada cahaya lampu maka banyaklah ia kelihatan di kawasan-kawasan bandar kini! 

Gambar rama-rama lagi!










Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






2 comments:

  1. Terima kasih psl info rama2 ni...sy jumpa byk td...tercari2 apa nama dia

    ReplyDelete
  2. Bagaimana cara untuk mengatasinya ?

    ReplyDelete