Thursday, 3 September 2015

Adakah Ini Fakta? 'Sayuran Mentah Adalah Lebih Baik Daripada Dimasak'


Sering kali kita dengar ramai yang berpendapat bahawa sayuran mentah adalah lebih baik daripada dimasak? Sejauh manakah kebenarannya? Adakah ini fakta atau fiksyen semata-mata.

Tidak semua jenis sayuran lebih baik dimakan begitu saja dan tidak semestinya sayur yang dimasak itu tidak baik untuk kesihatan kita. Lazimnya, sayur dimasak agar struktur serat makanannya menjadi lebih lembut sekaligus membantu melancarkan sistem pencernaan kita. Namun nutrisi yang terkandung pada sayuran dikatakan akan mengurang sekiranya ia dimasak.

Sebaliknya ada kajian saintifik membuktikan sayuran yang tidak dimasak dapat memelihara kandungan nutrisinya namun ia juga boleh menghilangkan keaslian enzim dalam badan kita yang boleh mengganggu sistem pencernaan. 

Memakan sayuran mentah atau memakan sayur yang sudah dimasak masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Ia bergantung kepada 3 faktor iaitu kandungan anti oksidan, jenis sayuran (sama ada sayur hijau atau sayur yang berwarna merah), dan cara sayur itu dimasak.

Merujuk kepada satu kajian yang pernah diterbitkan dalam 'The British Journal of Nutrition', pengamal makanan sayuran mentah menunjukkan bahawa mereka memiliki kandungan beta- carotene (sejenis anti oksidan yang diperoleh daripada sayuran hijau seperti brokoli) yang tinggi manakala kandungan lycopene (sejenis anti oksidan yang diperoleh daripada sayuran bewarna  merah seperti tomato) yang rendah. Walhal apa sahaja jenis anti oksidan daripada sayuran dan buah penting untuk kesihatan kita. 

Anti oksidan merupakan bahan kimia yang diperlukan tubuh untuk menstabilkan radikal bebas dengan melengkapkan kekurangan elektron yang dimiliki radikal bebas  dan  menghalang berlakunya reaksi berantai dari pembentukan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel dalam tubuh badan kita.
   

Pada sayuran yang mempunyai pigmen merah seperti tomato mempunyai kandungan lycopene yang rendah dalam keadaan mentah manakala tomato yang dimasak adalah lebih baik kerana memasak boleh meransang jumlah lycopene 35% lebih banyak sekiranya dimasak selama 30 minit pada suhu 88 darjah Celcius. Sayuran lain seperti lobak merah, bayam, cendawan, kobis dan beberapa jenis sayuran lain juga membekalkan anti oksidan lain iaitu carotenoids kepada tubuh badan kita apabila dimasak berbanding sekiranya ia dimakan begitu sahaja. Penyataan ini adalah seperti yang dilaporkan daripada hasil satu kajian saintifik yang bertajuk 'Journal of Agriculture and Food Chemistry'. 

Cara penyediaan sayuran juga memainkan peranan.  Mencelur dan mengukus adalah cara terbaik bagi memastikan kandungan anti oksidannya masih kekal apabila di makan. Mengoreng adalah merupakan punca utama kepada terbentuknya radikal bebas yang boleh mencederakan sel dalam badan kita.

Jadi kesimpulannya, tidak semestinya semua sayuran baik dimakan mentah. Ia bergantung kepada kandungan anti oksidan dalam jenis-jenis sayuran yang dimakan. Ada juga jenis sayuran  yang lebih baik kandungan anti oksidannya setelah ia dimasak. Cara penyediaannya juga perlu dititikberatkan agar kita mendapat nutrisi yang sepatutnya.

Apapun, perkara ini masih lagi dibincangkan di mana pada hakikatnya masih lagi terdapat banyak misteri tentang bagaimana molekul-molekul daripada pelbagai jenis sayuran, buahan dan tumbuhan berinteraksi dengan sel-sel dalam badan manusia.



Rujukan:



Posted by Ayu
Petrosains

No comments:

Post a Comment