Friday, 14 March 2014

Kaca Jadi Manik, Pelik Tapi Cantik!



Pelik tetapi ia cantik. Percaya atau tidak manik -manik dalam gambar di atas, kebanyakkannya diperbuat daripada kaca terpakai seperti kaca dari botol minuman, botol kicap dan botol minyak wangi yang sudah tidak digunakan lagi. Kaca terpakai bebas dari tambahan bahan kimia kerana pada kebiasaannya manik yang diperbuat dari kaca kristal mengandungi plumbum yang boleh menyebabkan manik kelihatan lebih bersinar dan berkilau. 
Kaca lama dikumpul dan dicairkan dengan menggunakan penunu bagas dan dalam masa yang sama ia akan dibentuk ketika masih lagi panas dan  cair. Nyalaan api yang dihasilkan oleh penunu ini adalah nyalaan api lengkap dan sangat panas. Penunu bagas dinyalakan dengan campuran gas oksigen dan propana atau butana dan menghasilkan nyalaan api berwarna biru. 
Sebagai contoh, botol kaca terpakai yang bewarna hijau boleh menghasilkan manik yang bewarna hijau. Jika ingin menambah warna lain pada manik untuk dijadikan sebagai corak,  serpihan kaca halus yang sudah ditumbuk akan ditambah di atasnya. 
Disebabkan nyalaan api sangat panas, sebatang logam panjang akan dipegang bertujuan sebagai acuan semasa proses melebur dan membentuk manik. Setelah ia sejuk, manik akan ditarik keluar dengan menggunakan playar. Kemudian manik-manik tadi akan dicuci dengan sejenis bahan pencuci khas. Permukaan manik dikikis bagi memastikan ia sekata. 
Setelah itu, manik akan dibenangkan untuk dijadikan barang perhiasan seperti rantai dan gelang. Hasilnya tidaklah sama dengan manik yang dihasilkan dari kaca kristal tetapi ia selamat digunakan dan boleh terus dipakai. Manik yang dihasilkan dari kaca terpakai adalah kurang bersinar sekiranya dibandingkan dengan manik yang dihasilkan oleh kaca kristal.

Sungguhpun begitu, banyak faedah yang akan diperolehi sekiranya kita menggunakan bahan kitar semula. Dengan sumbangan yang kecil dari setiap individu untuk kitar semula bahan, ini dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga di dalam industri untuk pemprosesan bahan semula jadi, dapat menjimatkan kos dan sekaligus akan memelihara alam sekitar.

Jom kitar semula dan selamatkan alam sekitar!







Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






No comments:

Post a Comment