Awang Ahmad Bin Mohd Yunus adalah seorang saintis dan juga merupakan seorang pensyarah kanan di Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah membuat kajian mengenai Tongkat Ali bermula dari tahun 2003 hingga kini. Di antara inovasi beliau adalah:
1. Teknologi tanaman Tongkat Ali di dalam ladang hutan.
2. Teknologi tanaman Eurypot: Kaedah penanaman Tongkat Ali dalam keadaan terkawal.
3. A-yamli: Makanan untuk ternakan ayam.
Awang Ahmad, Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Sabah |
Apakah itu Tongkat Ali?
Tongkat Ali merupakan spesies tumbuhan herba yang tergolong dalam keluarga Simaroubaceae. E. longifolia adalah salah satu dari empat spesies yang selalu digunakan.
Di Malaysia Tongkat Ali juga dikenali sebagai Penawar Pahit, Penawar Bisa, Bedara Merah, Bedara Putih, Ginseng Malaysia, Setunjang Bumi, Lempedu Pahit, Payung Ali, Tongkat Baginda, Muntah Bumi dan Petala Bumi.
Secara amnya tumbuhan Tongkat Ali berasal dari Asia tenggara dan mempunyai taburan majoriti semulajadi di Malaysia, Indonesia, Myammar dan Thailand. Namun sekarang, taburannya telah berkembang ke negara-negara Asia tenggara yang lain seperti Laos dan Filipina. Ini mungkin disebabkan oleh faktor komersial dan potensi baru yang wujud serta faktor perkembangan teknologi dalam bidang pertanian dirantau Asia tenggara.
Kegunaan Tongkat Ali
Secara amnya tumbuhan Tongkat Ali mengandungi beberapa jenis komposisi kimia seperti Eurycomanol, Eurycomanone, dan Eurycomalactone yang mengandungi nilai perubatan yang begitu tinggi dan berharga.
Dahulunya ia hanya digunapakai oleh orang-orang kampung atau luar bandar untuk tujuan perubatan tradisional sahaja dan bukan bertujuan untuk komersial - akar Tongkat Ali direbus dan dijadikan sebagai ubat sakit kepala, sengal-sengal tulang belakang dan sakit perut. Di Kemboja, Tongkat Ali berfungsi untuk meneutralkan bisa racun dalam badan, merawat demam kuning, dan kembung air manakala di Indonesia, ia digunakan untuk mengurangkan demam, melegakan mana-mana bahagian badan yang bengkak dan air rebusan Tongkat Ali ini juga sesuai dijadikan amalan sebagai minuman tonik kesihatan selepas bersalin mengikut kadar yang dibenarkan. Masyarakat di Vietnam pula menggunakan buah dan bunga daripada Tongkat Ali untuk merawat sembelit.
Kelebihan Tongkat Ali:
a. Sebagai anti-oksidan (tujuh kali ganda lebih tinggi daripada Kacip Fatimah)
b. Sebagai diet tambahan harian
c. Berupaya mengurangkan kolesterol
d. Berupaya menaikkan paras testosteron
e. Berupaya mengurangkan paras gula dalam darah
(pastikan anda merujuk dengan doktor perubatan sebelum mengambil suplimentasi)
f. Boleh ditanam sebagai pokok landskap
Sesi soal-jawab dengan En. Awang Ahmad Bin Mohd Yunus
1. Bolehkah air rebus daripada akar Tongkat Ali diminum terus?
Air rebusan boleh diiminum terus tetapi dos yang diberikan haruslah dipastikan sesuai. Contoh:
100 gram akar akan menghasilkan 3 gram ekstrak kering Tongkat Ali, dan penggunaan yang disyorkan adalah 50 mg sahaja. Ini bermakna Cuma 1.5 gram akar kering diperlukan.
2. Mana yang memberikan kesan sampingan yang minimum, air rebusan atau hasil ekstrak?
Hasil ekstrak lebih berkesan. Ini kerana air rebusan amat pahit dan disamping itu kapsul lebih cepat tindakbalas dan kandungan adalah seragam.
3. Apakah rekomendasi jenama/syarikat yang mengeluarkan Tongkat Ali untuk pengguna di Malaysia?
Jenama yang saya syorkan adalah Biotropics, Ini kerana ianya dihasilkan dengan kaedah yang saintifik dan sumber yang digunakan adalah jelas.
4. Bagaimana Tongkat Ali berbeza/sama daripada Viagra?
Tongkat Ali bertindak sebagai makanan tambahan dan lebih kepada meningkatkan tahap testoterone dan melancarkan pengaliran darah. Ia juga adalah dari sumber tumbuhan. Viagra pula adalah dadah yang sintetik atau direkacipta.
Inovasi En. Awang Ahmad Bin Mohd Yunus
1. Teknologi tanaman EuryPot
EuryPot berasal daripada Eury= Eurycoma (Tongkat Ali) dan Pot (pasu) dan diperbuat daripada paip PVC dan bahan lain. Ia terdiri daripada tiga bahagian:
a. bahagian utama (luar)
b. bahagian kedua (bertindak sebagai system pengumpulan akar)
c. bahagian bawah (penutup) - ditebuk dengan lubang-lubang kecil supaya air boleh mengalir keluar yang seterusnya akan menggalakkan penumbuhan akar yang lurus.
EuryPot juga mempunyai bahagian untuk tujuan pemotongan akar dan bahagian untuk rawatan pokok. Hasil inovasi ini boleh didapati dalam pelbagai saiz mengikut kesesuaian. Hasil kajian menggunakan EuryPot juga telah menunjukkan bahawa pokok Tongkat Ali yang ditanam semula setelah dipotong akarnya akan tumbuh dengan lebih baik dan sihat dari segi ketinggian, diameter, akar dan daunnya.
Kelebihan penggunaan EuryPot:
a. Tidak memerlukan kawasan yang luas untuk penanaman.
b. Sesuai untuk penanaman terkawal.
c. Membolehkan penuaian akar Tongkat Ali dilakukan tanpa perlu memusnahkan dan mencacatkan pokoknya.
d. Berjaya menghasilkan akar Tongkat Ali yang lebih lurus dan panjang.
e. Lebih ekonomikal untuk kegunaan jangka masa yang panjang.
2. Tongkat Ali dan Ayam = A-yamli
Menurut kajian beliau, ayam ternakan yang diberi makan dengan daun pokok Tongkat Ali yang telah diproses menghasilkan kandungan protein yang lebih tinggi dan lemak yang jauh lebih rendah. Selain itu, ayam-ayam hasil kajian tersebut adalah lebih sihat, mempunyai rasa yang lebih lazat dan tidak perlu diberikan suntikan hormon.
Tahukah anda?
a. Dos ekstrak Tongkat Ali yang sesuai untuk pengguna lelaki Asia ialah 75 mg per kapsul. Elakkan daripada mengambil sebarangan produk Tongkat Ali kerana dikhuatiri mengandungi elemen merbahaya seperti plumbum!
b. Lebah adalah “kawan baik” kepada tumbuhan Tongkat Ali. Ini kerana ia memakan ulat harimau yang boleh menyebabkan kematian mengejut pada pokok Tongkat Ali.
Soalan untuk pembaca:
1. Berapakah purata dos ekstrak Tongkat Ali yang sesuai untuk pengguna lelaki di Asia?
2. Apakah nama saintifik Tongkat Ali?
3. Adakah Tongkat Ali sejenis ginseng?
4. Adakah Tongkat Ali dituai berdasarkan pokok atau akar?