Wednesday, 28 August 2013

Deko Raya dari Bahan Kitar Semula


Sempena Hari Raya,  Petrosains  telah menganjurkan satu pertandingan antara jabatan mendekorasi ruang pejabat . Salah satu keunikan yang menarik perhatian dalam pertandingan dekorasi ini adalah  hiasan yang berkonsepkan 'Syawal Hijau'. Ini merupakan satu idea yang luar biasa kerana bahan-bahan yang digunakan untuk dekorasi diperbuat dari bahan kitar semula seperti tin, botol kaca dan kotak. 



Tercetusnya idea ini adalah berdasarkan orang pada zaman dulu-dulu yang hanya menggunakan sumber bahan-bahan yang terdapat di sekeliling mereka untuk menghasilkan sesuatu. Masyarakat dulu menggunakan tin-tin susu, buluh dan tempurung kelapa untuk menghasilkan pelita di kawasan rumah.
Sesuatu yang tidak diduga sebenarnya mampu dilakukan hanya dengan menggunakan tin-tin minumam. Tin-tin aluminium ini dikumpul dari sehari ke sehari setelah berkunjung ke rumah-rumah terbuka termasuk saudara mara dan sahabat handai yang menjamu tetamu dengan minuman berkarbonat.  Tin tin terpakai ini selepas digunakan perlu dibasuh dan dikeringkan. Kemudian bahagian tepinya digunting berupa jalur-jalur memanjang ke bawah seperti di dalam gambar diatas.
Kemudian tin-tin aluminium tersebut dibentuk dengan lebih sempurna agar ia kelihatan seperti terendak lampu. Lalu tin-tin minuman itu disembur dengan penyembur bewarna mengikut citarasa masing-masing. Walaubagaimanapun, ia perlu di sembur dengan warna putih terlebih dahulu sebagai warna alas sebelum disembur dengan warna yang lebih menarik. 
Seterusnya, ia digantung dalam bentuk pusaran atau berpilin di mana pada bahagian atasnya di sokong juga oleh bahan kitar semula  iaitu kotak. Sebenarnya lampu deko  ini boleh  digubah mengikut citarasa sendiri. Bagi dekorasi ini, ia menggunakan lima buah lampu pelita dalam setiap jambak pelita. Kemudian, bentuk bulan dan bintang yang dianggap sebagai elemen raya  diperbuat daripada kertas berwarna ditambah pada setiap pelita. Disebabkan pelita ini  direka khas untuk dipamerkan di ruang-ruang pejabat, sumber cahaya  yang digunakan ialah  diod pemancar cahaya (LED) dengan kuasa bateri sebanyak 3 voltan sahaja. 
Selain itu, bahan dekorasi lain yang ditunjukkan bagi konsep 'Syawal Hijau' ini ialah botol kaca terpakai. Selalunya lampu kelip-kelip akan digantungkan tetapi cara lain yang lebih kreatif untuk mewarnai sesuatu ruang  adalah dengan memasukkannya ke dalam botol-botol kaca seperti gambar di bawah.




Dalam erti kata lain, kita masih lagi boleh merasai suasana dekorasi yang meriah sempena perayaan Hari Raya dengan hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula. Ia cantik dan menarik, menggunakan modal yang sedikit di samping boleh memelihara alam sekitar. Ia juga merupakan satu aktiviti yang sihat jika dilakukan bersama -sama ahli keluarga kerana kerjasama erat yang terjalin boleh merapatkan ukhuwah sesama manusia. Selain itu, ia turut memberi manfaat kepada kita semua terutama golongan kecil untuk penjanaan minda kreatif. 




Posted by Ayu
Learning Speacialist, Petrosains



1 comment:

  1. Interesting, creative, good and nice... :) You give me inspiration make something new in "Syawal Hijau"... Thank you very much...

    ReplyDelete