Showing posts with label fizik. Show all posts
Showing posts with label fizik. Show all posts

Thursday, 14 April 2016

Kumpul Batang Aiskrim & Boleh Bina Sebuah Jambatan!



Mungkin anda pernah atau tidak melalui sebuah jambatan, tetapi pernahkah anda terfikir bagaimanakah jambatan yang panjang mampu menampung beban begitu banyak kenderaan atau pejalan kaki? Untuk membina sebuah jambatan yang kukuh dan stabil, banyak faktor yang perlu diambil kira seperti jenis bahan yang digunakan, reka bentuk jambatan dan juga faktor persekitaran. 

Dari segi fizik pula, faktor utama yang perlu dititikberatkan adalah daya mampatan dan tegangan. Sesebuah jambatan akan melentur apabila terdapat beban di atasnya dan menyebabkan sebahagian struktur mengalami tegangan manakala sebahagian lagi mengalami mampatan. Sekiranya sebuah jambatan tidak direka dengan baik, daya mampatan boleh melengkungkan jambatan, manakala daya tegangan boleh mematahkannya. Lihat rajah di bawah yang menunjukkan bagaimana daya mampatan dan tegangan bertindak ke atas sebuah jambatan. 


Untuk membina sebuah jambatan bukanlah mudah, tetapi anda boleh mencubanya sendiri di rumah. Dengan bahan-bahan yang mudah didapati, seperti batang aiskrim, anda boleh membina model jambatan anda sendiri. Untuk menjadikannya satu cabaran yang menarik, cuba bina sebuah model jambatan sepanjang 1 meter yang mampu menampung beban seberat 2 kg. Anda juga boleh menggunakan bahan-bahan lain seperti kayu penyepit, pita pelekat dan benang bagi mengukuhkan lagi model jambatan tersebut seperti dalam gambar-gambar berikut:-





Gambar-gambar di atas diambil semasa pihak Petrosains membuat aktiviti ‘Designing A Bridge’ bersama pelajar-pelajar sekolah menengah dengan usahasama MIGHT (Malaysian Industry-Government Group for High Technology) di bawah inisiatif program ‘Science to Action: TinkerMind’, sebagai salah satu aktiviti kepada 50 buah sekolah menengah di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2015-2016. 

Bersedia untuk menyahut cabaran membina jambatan? Cubalah sendiri, dan beritahu kami jika anda berjaya melakukannya! 

#tinkermind #petrosains 




Shared by Nurhayati Zulkifli
Guest Blogger

Thursday, 26 November 2015

Kenapa Perlu Berdiri Di Belakang Garisan Kuning?



Tahukah anda kenapa kita perlu berdiri di belakang garisan kuning ketika kita berada di stesen kereta api aliran ringan atau LRT (Light Rail Transit)?

Apabila LRT bergerak dengan laju, ia akan menghasilkan kawasan yang berhalaju tinggi dan bertekanan rendah di sekeliling badan LRT itu. Jadi sekiranya kita berdiri terlalu hampir dengan LRT yang sedang bergerak, ini boleh menyebabkan tubuh badan kita tertarik kehadapan menghampiri badan LRT yang boleh menyebabkan kecederaan. Konsep sains ini adalah berdasarkan 'Prinsip Bernoulli'.

Garisan kuning telah diukur sebagai tanda aras 'jarak paling selamat' kepada pengguna LRT dari berlakunya kejadian yang tidak diingini. 

Jadi sekiranya anda berada di stesen LRT, pastikan kita SENTIASA berada di belakang garisan kuning. Amalan ini juga boleh dipraktiskan  sekiranya kita sedang menunggu bas di stesen bas.



Posted by Ayu
Petrosains

Wednesday, 30 July 2014

Betulkah Bunga Api Bersuhu 1000 darjah Celsius?





Seronoknya bermain bunga api! Tetapi tahukah anda terdapat sains di sebaliknya? Biasanya bunga api diperbuat dari sebatang besi yang dioleskan tebal dengan bahan bakar berlogam. Apabila bahan itu terbakar, ia menghasilkan percikan api halus yang banyak. Tetapi sedarkah anda ianya berlaku  kerana hukum fizik?


Suhu vs. Haba 
Percikan api ini adalah AMAT PANAS. Walaupun suhunya mungkin berbeza mengikut jenis bunga api tetapi boleh mencapai antara 1000-1600 darjah Celsius! Susah untuk kita bayangkan kepanasannya tapi cuba bandingkan dengan suhu-suhu yang berikut:

• Tubuh manusia bersuhu 37 darjah Celsius
• Suhu di dalam oven boleh mencapai 288 darjah Celsius, tetapi elemen pemanasnya boleh mencapai 815 darjah Celsius
• Benang filamen dalam lampu pijar yang terang bersuhu 2500 darjah Celsius
• Besi cair pada suhu 1500 darjah Celsius

Sekarang boleh anda bayangkan betapa tingginya suhu percikan bunga api?

Kalau begitu, tidakkah ia merbahaya? Ia memang berbahaya jika tidak digunakan dengan cara yang betul dan selamat. Anda mungkin pernah terkena percikan bunga api dengan tidak sengaja. Mengapa bila ia terkena kulit anda ia tidak melecur dan tidak sakit? Ini kerana suhu dan tenaga haba adalah perkara yang berlainan.

Percikan bunga api yang panas ini menyimpan tenaga haba. Tenaga haba sesuatu objek bergantung kepada suhu, jisim dan bahan asasnya. Oleh kerana jisim bunga api sangat rendah, ianya tidak menyimpan banyak tenaga haba dan tidak dapat membakar kulit kita. 

Sebagai contoh, jika anda memanaskan pizza yang sejuk di atas kertas aluminium dan di dalam oven pada suhu 150 darjah Celsius, bagaimanakah cara mengeluarkannya dari oven? Anda boleh menariknya keluar dari oven dengan mudah hanya dengan memegang kertas aluminium itu. Bukankah kepingan kertas aluminium itu sangat panas? Ia memang panas dan boleh mencapai suhu 150 darjah Celsius juga. Seperti percikan bunga api, jisim kepingan aluminium sangat rendah dan ianya pula sangat nipis jadi ia tidak menyimpan tenaga haba yang cukup untuk membakar jari anda. Jadi ingat, suhu tidak sama dengan tenaga haba!

    Percikan bunga api

Saiz juga memainkan peranan. Percikan bunga api sebenarnya sangat halus. Oleh itu, walaupun ia sangat panas, ia akan cepat sejuk. Sesuatu benda yang kecil akan lebih cepat sejuk berbanding dengan yang besar. Apabila isipadu sesuatu itu bertambah, tenaga haba yang disimpannya juga bertambah. Cuba bandingkan dua biji muffin yang baru siap dibakar, satu besar dan satu kecil. Yang mana satu akan lebih cepat sejuk? Sudah tentu yang kecil.

Menarik, bukan? Walau bagaimanapun, jika disalahguna bunga api masih boleh mendatangkan bahaya dan lecuran; contohnya jika batang pemegang yang panas terkena kulit, pakaian atau apa-apa benda yang mudah terbakar. Jadi kita mesti sentiasa berhati-hati bila bermain bunga api!

Sains ada di mana-mana. Perhatikanlah di sekeliling anda dan teruskan bertanya!



Adaptasi daripada:

http://www.wired.com/2014/07/the-awesome-physics-in-a-simple-sparkler/







Shared by Melissa Razak
Petrosains The Discovery Centre