Tuesday, 2 May 2017

Keperluan Berfikir Di Kalangan Murid & Bagaimana Melaksanakannya



"Bahan pameran Petrosains, tingkat 4 Suria KLCC - 'Membina Jambatan'. Pelawat diajak berfikir tentang menyelesaikan masalah membina jambatan yang membolehkan model kapal lalu di bawahnya. Ada tiga tahap kesusahan masalah - membina jambatan berjarak 3/4 jengkal, sejengkal setengah, dan dua jengkal lebih - menggunakan 11 buah blok yang dibekalkan".


Keperluan Berfikir Di Kalangan Murid & Bagaimana Melaksanakannya

Berfikir adalah satu keperluan dalam menjalani kehidupan. Berfikir sentiasa mempunyai dua tujuan khusus iaitu untuk MEMBUAT KEPUTUSAN dan MENYELESAIKAN MASALAH. Oleh sebab kita sentiasa berhadapan dengan situasi yang memerlukan penyelesaian atau keputusan, maka kemahiran berfikir menjadi satu keperluan untuk menguruskan situasi dengan baik.

Dalam konteks pendidikan, kemahiran berfikir membantu menyediakan murid berkebolehan menyelesaikan masalah-masalah kehidupan dan membuat keputusan 'dengan berkesan' apabila diperlukan.

Jika demikian pentingnya aktiviti berfikir itu, apakah murid-murid kita telah diasuh dengan kemahiran berfikir yang betul? Jika guru berhasrat untuk mengasuh murid dengan kemahiran-kemahiran berkaitan, di manakah boleh guru bermula?

Guru yang berhasrat memupuk kemahiran ini di kalangan murid tidaklah perlu memperuntukkan satu mata pelajaran khas tentang berfikir. Apabila ada bahan rangsangan dan permasalahan untuk difikirkan, maka murid dengan sendirinya akan berfikir. Setiap manusia juga sudah 'dibekalkan' dengan satu kebolehan semulajadi iaitu rasa ingin tahu. Jika guru dapat mencantumkan rasa ingin tahu murid dengan bahan pembelajaran yang dihasratkan, maka murid akan berupaya berfikir. Jadi, guru perlu mengenalpasti rangsangan yang tepat untuk murid-muridnya.

Boleh jadi sebab utama murid tidak cenderung untuk berfikir ialah sama ada rangsangannya tidak merangsang atau kerana arahan / soalan yang diberikan tidak jelas. Rangsangan yang tidak merangsang bermaksud guru tidak menyediakan peluang yang mencukupi untuk pelajar membina rasa pemilikan (ownership) ke atas soalan-soalan pembelajaran; hanya guru yang boleh bertanya dan soalan yang ditanyakan juga mungkin terlalu kompleks untuk murid. Sementara tentang arahan / soalan yang tidak jelas, ini adalah keadaan apabila guru tidak memberikannya pada masa yang betul. Guru hanya memberikan arahan setelah pelajar mula berinteraksi dengan bahan dan hanyut dengan penerokaan masing-masing. Atau, boleh jadi juga guru tidak menguasai perbendaharaan kata yang baik menyebabkan lain yang diarah / disoal sedangkan lain tindakan / jawapan yang diharapkan daripada murid.



 
Shared by Imran Arif
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment