Friday, 4 November 2016

8 Pasukan Terbaik Bersaing Merebut Peluang Ke Perth, Australia!



Piala Pusingan Petrosains Science Show Competition (PSSC) sekali lagi merentas Laut Cina Selatan lalu singgah di Bumi Kenyalang untuk kemenangan buat kali kedua pada tahun ini di sekolah yang sama iaitu SMK Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak. Cikgu Tchong Fui Mui, guru subjek kimia ini mencipta rekod tersendiri setelah membimbing pelajar-pelajarnya untuk merampas gelaran juara keseluruhan daripada negeri  Sabah yang telah menjuarai pertandingan ini pada tahun lalu.

Lebih manis, tahun 2016 merupakan 'come back' kepada Cikgu Tchong setelah memilih untuk berehat selama setahun daripada menyertai Petrosains Science Show Competition pada tahun 2015 selepas dinobatkan juara pada tahun 2014. Pasangan Joekryno & Santa Senthia juga mencipta rekod selaku peserta pasangan duo - 'lelaki-perempuan' memenangi PSSC buat kali kedua selepas kali terakhir dilakukan oleh SMK Tanjung Datuk, Johor pada tahun 2010.

Namun begitu, piala pusingan PSSC masih kekal di kepulauan Borneo. Malah, juara PSSC 2015, SMK Tamparuli masih boleh tersenyum puas dengan kalungan pingat emas yang Janet Anne Albert dan Eva Melinda terima. Turut sama-sama memperoleh pingat emas ialah Johan PSSC Kedah, SMK Langgar yang diwakili Shahir Azeem & Suffian.

Bermakna, dengan menggunakan format baru penganugerahan, edisi PSSC yang kelapan ini menyediakan hadiah berbentuk pingat; emas, perak dan gangsa menyaksikan kelapan-lapan finalis tidak pulang dengan tangan kosong. 3 pasukan dikalungkan pingat emas, 3 pasukan berjaya mendapat pingat perak, dan 2 pasukan lagi membawa pulang pingat gangsa.

Mengenai PSSC 2016:
Pertandingan Akhir Petrosains Science Show Competition dibuka dengan persembahan tarian K-Pop yang penuh bertenaga oleh gabungan barisan sukarelawan Petrosains, yang mahu dikenali sebagai Brop Brop Production. Ternyata persembahan pembukaan oleh 10 orang anak muda ini menggamatkan Auditorium Kompleks E, Putrajaya.

Persembahan pembukaan

Seterusnya sidang hadirin diperkenalkan kepada juri-juri yang akan mengadili pertandingan iaitu seramai 5 orang. Mereka terdiri daripada pemenang Best Science Communicator Famelab International 2016 - Prof. Madya  Dr. Abhi Veerakumarasivam, pemenang L'orĂ©al-Unesco for Women in Science National Awards pada tahun 2015 - Dr. Normi Mohd Yahaya, seterusnya selebriti sains & angkasawan negara - Dr Faiz Khaleed, Encik Muhammad Izmir Chan mewakili Bank Islam Malaysia Berhad dan Pengarah Jabatan Perancangan Strategik & Penasihat Sains - Encik Saiful Bahri Bahrom selaku ketua juri.



Pertandingan akhir PSSC 2016 menampilkan 8 pasukan yang  berentap. Sebelum itu, di pusingan separuh akhir, kesemua johan PSSC peringkat negeri bersama 2 pasukan yang dipilih secara 'wild card' bersaing merebut 8 slot ke pusingan akhir. Pertandingan Akhir PSSC 2016  dihoskan oleh Melissa Razak bersama celoteh pengacara popular, Alif Satar. 






Mengikut giliran, peserta pertama, Janet Anne Albert & Eva Melinda mewakili SMK Tamparuli, Sabah melakukan persembahan pertama dengan konsep tekanan bejaya memukau warga auditorium dengan demonstrasi sains menarik terutama aksi memijak serpihan kaca diiringi dengan tarian Sumazau dan lagu Anak Kampung. Ditambah status selaku juara bertahan, persembahan mereka meletakkan penanda aras yang tinggi untuk diatasi oleh pasukan-pasukan lain. Ternyata persembahan mereka layak dianugerahkan pingat emas.







Seterusnya, SM Sains Rembau, Negeri Sembilan berjaya menutup mulut sesetengah pihak yang mempersoalkan kewibawaan mereka. Watak Labu & Labi yang dihidupkan Ikhwan & Syahrin Nazmeer secara bersahaja menjawab persoalan bagaimana mereka menjadi 'giant killer' di peringkat Negeri Sembilan. Mereka juga merupakan pasukan pertama mewakili Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang meraih kejayaan di pertandingan akhir.



Rencah elemen sains dan komedi secukup rasa bersama suntingan yang kemas, watak Haji Bakhil & Mak Encik seolah-olah hidup bersama persembahan mereka yang membawa konsep daya, inersia & prinsip Bernoulli. Selain berjaya meraih pingat perak, mereka juga membolot 2 lagi anugerah sampingan iaitu Anugerah Bintang Harapan 2016 serta Anugerah Pasukan Paling Popular.




SMK Sultan Ismail, Johor pula dengan kisah pelajar kadet yang menyelinap masuk ke bilik sarjan sewaktu perkhemahan berjaya melakukan 5 eksperimen sains yang bermula dengan huruf S: Screaming Balloons, Sticky Cup, Secret Monitor, Super Elf Jar dan Sorcery Money berjaya disempurnakan selama 15 minit seperti mana yang diperuntukkan. Hasilnya, Akif & Danial Tan berjaya membawa pulang dengan pingat gangsa.





Beraksi buat kali pertama di pusingan akhir mewakili negeri Perak, SMK Taman Tasik, Taiping yang menampilkan Pija & Yoga membuat persembahan kayangan Puteri Perak kerana setiap demonstrasi yang dilakukan mereka akan dirumuskan melalui rangkap-rangkap pantun disulami unsur-unsur nasihat seperti menjaga alam sekitar serta kempen kitar semula berjaya dilunaskan. Lebih bermakna, pingat Perak yang dibawa balik mereka boleh dianggap sebagai hadiah awal sempena Deepavali buat Yoganishalini.





MRSM Tun Abdul Razak, Pahang mula mencipta sejarah tersendiri. Buat kali pertama, sekolah MRSM berjaya mendapat tempat di hati juri dengan kepetahan mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Penguasaan mereka di pentas juga menyerlah ekoran konsep magika sains yang dipertaruhkan Amirul Naim & Azri Iskandar membuatkan sidang hadirin terpegun. Pingat gangsa yang dikalungkan pastinya membuatkan pelajar Tingkatan 3 ini mendapat suntikan semangat untuk menyertai lagi PSSC pada masa akan datang.





SMK Langgar, Kedah pula memilih tajuk tekanan yang boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian. Pasangan Shahir Azeem dan Suffian ini telah mencuri perhatian juri sehingga berjaya meraih Anugerah Demonstrasi Paling 'WOW' di mana eksperimen memasukkan tilam toto yang besar ke dalam beg yang lebih kecil telah memberi tips memudahkan ekspidisi perjalanan yang berguna. Demikian komentar daripada juri, Dr. Faiz Khaleed. Di samping itu, tikar yoga digulung kemas dijadikan model straw yang digunapakai eksperimen sebelum itu turut membuatkan warga auditorium memahami prinsip Bernoulli dengan lebih mudah dan jelas.




SMK Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur yang melengkapkan turutan persembahan finalis, sudah pasti pengalaman pertama mereka ini merupakan suatu pendedahan yang amat berguna bagi Robyn & Juliana yang begitu petah dan meriah dengan tatarias dan props di atas pentas. Mereka memilih jalan cerita 'kejutan sambutan hari lahir' bersama beberapa konsep sains. Beraksi di hadapan kira-kira 500 orang penonton, sudah pasti Cikgu Tan mempunyai rencana dan agenda sendiri di masa mendatang sekiranya berpeluang menyertai lagi Petrosains Science Show Competition.




Persembahan sang juara mengambil giliran keenam. SMK Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak menonjolkan bakat peserta paling senior, Santa Senthia dan Joekryno yang bijak memilih tajuk Hukum Newton Ketiga sebagai taruhan. Joekryno turut dinobatkan sebagai Penyampai Terbaik di mana mereka ditemani watak ketiga di atas gelanggang, Dr. Akomon dalam bentuk sebuah boneka (puppet). Komunikasi dua hala antara peserta dan penonton memberi impak kepada persembahan mereka.

“Persembahan kali ini mempunyai sedikit kelainan dan berbeza daripada kumpulan lain. Persembahan permulaan dengan penampilan Rocket Man yang menggunakan papan luncur dan alat pemadam api mencuri perhatian penonton dan juri. Selain itu, kami mengambil pendekatan berbeza dengan menampilkan peserta ketiga iaitu patung boneka sebagai Dr. Akomon yang turut menjadi penyumbang kepada kejayaan ini,” kata Cikgu Tchong. Tchong turut berkata, hampir setiap hari selama dua bulan mereka berlatih bagi memastikan persembahan yang dilakukan lancar, berkesan serta  mampu menarik minat penonton memudahkan mereka untuk memahami apa yang akan disampaikan.


Menerusi kemenangan itu, SMK Tun Abdul Razak membawa pulang hadiah utama iaitu kembara lawatan ke Scitech Science Museum, Perth, Australia untuk empat orang yang bernilai RM20,000 sekaligus mengungguli di kalangan 1554 penyertaan yang diperoleh pihak Petrosains bagi musim kelapan. SMK Jelawat (Kelantan) pula mendakap Anugerah Penyertaan Tertinggi (Sekolah) yang menghantar sebanyak 126 penyertaan turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000.


Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Datuk P Kamalanathan. Turut hadir sewaktu majlis penganugerahan ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Puan Zahariah Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, YM Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Encik Khairul Kamaruddin.


Berikut adalah keputusan rasmi Pertandingan Petrosains Science Show Competition 2016:

Pemenang Pingat Emas (RM 7,000 dan barangan Petrosains):
1) SMK Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak.
2) SMK Langgar, Alor Setar, Kedah.
3) SMK Tamparuli, Kota Kinabalu, Sabah

Pemenang Pingat Perak (RM 5,000 sijil dan barangan Petrosains):
1) Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.
2) SMK Taman Tasik, Taiping, Perak.
3) SMK Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Pemenang Pingat Gangsa (RM 3,000 sijil dan barangan Petrosains):
1) MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.
2) SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor.


Pemenang Anugerah Khas (plak & sijil):

1) Anugerah Pasukan Paling Popular – Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.
2) Anugerah Bintang Harapan – Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.
3) Anugerah Bilangan Penyertaan Paling Tertinggi – Negeri Kelantan
4) Anugerah Demonstrasi Paling WOW – SMK Langgar, Kedah
5) Anugerah Penyampai Terbaik – Joekryno anak Joni, 19, (SMK) Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak
6) Anugerah Skrip Terbaik – SMK Durian Tunggal, Melaka.
7) Anugerah Penyertaan Tertinggi (Sekolah) - SMK Jelawat, Kelantan. (RM10, 000)
8) Anugerah Khas Juri : SMK Mantin (N9), SMK Tok Janggut (Kelantan) & SK Sena (Perlis)



Trivia

JUARA KESELURUHAN PSSC TERDAHULU

TAHUN PEMENANG
2009 TIADA – Hanya peringkat negeri
2010 SMK TANJUNG DATUK, JOHOR
2011 SMK (P) TEMENGGONG IBRAHIM, JOHOR
2012 SMK ST. MARY, PAPAR, SABAH
2013 SMK PANCHOR, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
2014 SMK TUN ABDUL RAZAK, KUCHING, SARAWAK
2015 SMK TAMPARULI, SABAH
2016 SMK TUN ABDUL RAZAK, KUCHING, SARAWAK


  • Peserta PSSC 2016 : Peringkat kebangsaan paling senior Tingkatan 6 Atas (2 orang daripada SMK Tun A.Razak, Kuching) manakala paling junior Tingkatan 3 (seramai 14 orang)
  • Jumlah peserta PSSC 2016 : Peringkat kebangsaan seramai 35 orang dengan pecahan 16 orang peserta perempuan dan 19 orang peserta lelaki
  • SMK Tun Abdul Razak, Kuching dan MRSM Tun Abdul Razak, Pekan merupakan sekolah yang berbeza secara total namun masih ada yang keliru memandangkan mereka mempersembahkan pertunjukan sains secara berturut-turut, giliran kelima dan keenam.
  • SMK Panchor menampilkan peserta solo wanita, Melissa. Juara PSSC Melaka, memiliki nama kedua yang sama, Nurulayu Natasha & Nur Atira Natasha.
  • Peserta 'wild card', Ma’ahad Tahfiz Negeri Pahang, Aliff Furqan & Qashirah berkongsi tarikh lahir yang sama, 27 Januari 2000.
  • Sekolah Tun Abdul Razak diberi gelaran 'dragon school' oleh masyarakat sekitar Kuching, kerana struktur bukit yang mengelilingi sekolah itu menyerupai bentuk seekor naga yang turut menjadi mercu tanda (landmark) kepada penduduk setempat.
  • SM Sains Rembau pula diringkaskan menjadi SEMESRA, SM Sains Sultan Mahmud (SESMA) bagi mewakili sekolah berasrama penuh (SBP) di peringkat kebangsaan pada tahun ini.
  • SMK Taman Tasik, Taiping menggunakan gelaran #lakers , SMK Seksyen 10 Kota Damansara mesra dengan jolokan #KD10 dan #CBN #CBNers semestinya merujuk kepada SMK Convent Bukit Nanas. Bukan Nanas!
  • Kesemua pemenang pingat perak merupakan sekolah yang kali pertama bertanding dan menjadi juara peringkat negeri seterusnya mara ke pusingan akhir.
  • SM Sains Rembau merupakan sekolah berasrama penuh (SBP) yang kedua berjaya mara ke pusingan akhir (sebelum ini SM Seri Puteri, Cyberjaya pada tahun 2012) dan merupakan SBP pertama mendapat tempat/ memenangi pingat di pusingan akhir.
  • MRSM Tun Abdul Razak, Pekan pula mencipta sejarah sendiri sebagai MRSM pertama yang menembusi senarai antara pasukan 3 terbaik. Sebelum ini, pencapaian terbaik sekolah MRSM menerusi MRSM Pendang yang pernah memenangi Anugerah Skrip Terbaik pada tahun 2013.
  • Secara kebetulan, mana-mana pasukan yang membuat eksperimen memijak kaca meraih pingat emas, pasukan yang memilih topik inersia (manik di dalam kaca) & aplikasi prinsip Bernoulli (tin di dalam cawan) pula merangkul pingat perak manakala pasukan yang melakukan demonstrasi membakar duit memperoleh pingat gangsa. Pasukan yang memilih eksperimen menyucuk ziplock bag yang diisi dengan air menggunakan benda tajam, kandas di peringkat separuh akhir. 
  • Hos pusingan akhir, Alif Satar & Melissa Razak dibantu oleh Cristal Tan yang merupakan hos di peringkat separuh akhir. 
  • PSSC 2016 ditaja oleh Bank Islam Malaysia Berhad buat tahun kedua berturut-turut. Pada tahun ini, juara PSSC peringkat negeri menerima wang tunai RM300 sumbangan Bank Islam.
  • Petrosains turut menganjurkan program Visit To School (VTS) Bank Islam di mana sekolah-sekolah terpilih akan menerima tajaan program pembelajaran luar kelas secara percuma.

Ikuti kami di Petrosains Science Show Competition FB di www.facebook.com/scienceshowcompetition  untuk lebih info kemaskini dan gambar-gambar menarik.

Jangan lupa menonton rancangan semi realiti TV, Petrosains Science Show Competition 2016 di Astro TVIQ, saluran 610 pada November 2016 nanti.






Shared by Mustakim Bahrudin
Guest Blogger



No comments:

Post a Comment