Tuesday, 9 September 2014

Ingin tahu tentang mata?


Dalam menjalani kehidupan seharian, banyak perkara yang kita perlu fahami supaya pengetahuan yang diperolehi dapat dimanfaat semasa ia diperlukan. Misalnya, dengan cara memahami bagaimana mata kita berfungsi, ia secara tidak langsung membantu kita mengetahui punca-punca dan membolehkan kita mencegah dari jangkitan penyakit yang berkaitan dengan mata. Kita juga mampu membuat keputusan yang tepat ketika hendak mendapatkan sebarang rawatan mata daripada pakar perubatan sekiranya berlaku jangkitan penyakit terhadap mata.
Secara definisi, mata merupakan satu organ yang telah terbentuk untuk mengesan cahaya. Secara ringkas, ia berfungsi untuk mengesan sama ada keadaan sekeliling terang atau gelap. Pada kebiasaannya, semua benda hidup mempunyai sepasang mata. Ia berbentuk hampir sfera, berisi bahan seperti gel optik jernih yang dikenali sebagai gelemaca, dengan kanta fokus dan otot yang dikenali sebagai iris mata yang mengawal kadar cahaya yang masuk. Iris mata ini mengawal bukaan anak mata atau dikenali juga sebagai pupil, iaitu bulatan hitam di tengah-tengah bahagian berwarna di dalam mata.

Di Petrosains, kita dapat mempelajari mengenai struktur mata secara terperinci melalui aktiviti ‘pembedahan mata lembu’. Tujuan aktiviti ini adalah untuk melihat dan mengenal pasti bahagian –bahagian dalam mata seperti kornea, kanta, iris dan retina serta fungsinya. Mata lembu dipilih dan digunakan kerana struktur mata lembu adalah hampir sama dengan mata manusia.
Pada kebiasaannya, mata bertindak dengan memancarkan imej ke atas retina yang sensitif kepada cahaya. Kornea dan kanta akan menumpukan cahaya yang masuk ke atas retina, yang mengaktifkan suatu tindak balas kimia dan menghasilkan isyarat yang untuk dihantar ke otak melalui saraf optik.

Cahaya yang masuk dari luar akan melepasi kornea dan melalui gelemair sebelum sampai ke kanta. Gelemair membantu mengekalkan bentuk cembung kornea dan melembapkannya. Seterusnya cahaya itu akan melalui gelemaca sebelum sampai di retina. Di sinilah terletak banyak sel-sel yang sensitif kepada cahaya.
Pastinya mata merupakan anugerah yang sangat berharga kepada semua benda hidup. Jadi, kita perlu menjaga dan memelihara kesihatan mata. Salah satunya adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat seperti pengambilan ubi keledek, lobak merah dan sayur-sayuran hijau yang kaya dengan sumber vitamin A dimana ia dikatakan adalah baik untuk mata kita. Elakkan juga dari menyentuh mata dalam keadaan tangan yang kotor kerana ia dapat menginfeksi mata kita dan akan mengakibatkan mata terdedah kepada pelbagai penyakit mata.

Untuk mencuba melakukan pembedahan mata lembu, sertai aktiviti 'Cow Eye Dissection' di Petrosains sempena Petrosains Science Festival 2014 dari 15-21 September 2014. Maklumat lanjut boleh didapati di www.sciencefestival.my 
#petrosainsfest 



Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains



No comments:

Post a Comment