Friday, 21 October 2016

3 Sebab Kenapa Saya Menjejaki Monyet Ini


Pertama kali ke Petrosains, saya terlihat gambar monyet yang pelik di bahan pameran berhampiran T-Rex. Monyet berhidung besar dan berperut buncit sedang duduk di atas dahan pokok. Rupanya yang pelik membuatkan saya mencari maklumat mengenainya dan akhirnya menjejaki monyet ini di negara sendiri.


Kredit imej: http://a-z-animals.com/animals/proboscis-monkey/pictures/4831/

Monyet Proboscis atau nama sainsnya Navalus Larvatus juga dikenali sebagai Dutch monkey hanya dijumpai di kawasan berhampiran paya atau sungai di Borneo (Malaysia, Brunei & Indonesia). Keunikan Borneo menjadi sebab utama saya ingin menjejaki monyet ini. Pelbagai jenis daun-daun muda dari kawasan persekitaran paya atau sungai menjadi diet utama monyet ini menyebabkan banyak percubaan untuk belaan di zoo telah gagal. Dan pastilah tempat yang terbaik untuk melihat monyet ini adalah di habitat asal mereka.
Kawasan paya berhampiran Sungai Kinabatangan



Sebab kedua saya adalah kerana saya teruja dengan punca disebalik rupa monyet yang pelik ini. 


Monyet Proboscis

a) Hidung yang besar adalah untuk menguatkan bunyi yang dikeluarkan. Sangat berguna untuk menakutkan haiwan pemangsa mereka seperti buaya. Namun, ia  hanya eklusif untuk monyet jantan sebagai daya tarikan mereka.

b) Tidak seperti monyet lain, kaki monyet Proboscis adalah berselaput seperti itik. Ia membantu monyet ini berenang dan juga berjalan di dalam kawasan air yang cetek.

c) Perut yang buncit pula adalah kerana ia mempunyai 2 ruang untuk memproses makanan. (Nota: Perut manusia mempunyai satu ruang, manakala perut lembu mepunyai 4 ruang) Dipercayai bahawa salah satu ruang itu boleh memproses racun dari sesetengah daun. Namun ia tidak dapat dipastikan setakat ini. Yang pasti monyet ini kelihatan seperti mengandung sepanjang masa!

Sebab terakhir saya menjejaki monyet ini adalah kerana ia sebenarnya hampir pupus. Di dalam  senarai “IUCN Red list of Threatened SpeciesTM yang dikeluarkan oleh IUCN (International Union for the Conservation of Nature), monyet ini adalah di dalam kategori ‘Endangered” sejak tahun 2000 lagi. Ini berdasarkan kepada kejatuhan populasinya yang melebihi 50% dalam hanya 3 generasi sahaja (lebih kurang 36-40 tahun). Adakah monyet ini akan pupus dalam jangka masa yang dekat?  Saya harap tidak.


Klasifikasi IUCN 

Pada asalnya, saya hanya pelik. Namun akhirnya saya berjaya menjejaki dan melihat sendiri binatang yang unik yang hampir pupus ini di tepi Sungai Kinabatangan, Sandakan, Sabah. Anda bila lagi?




Shared by Fizz Tahir
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment