Monday, 24 October 2016

Petrosains Science Show Competition 2016 (PSSC 2016) Bakal Mencipta Sejarah



Pertandingan Petrosains Science Show Competition merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh pihak Petrosains untuk pelajar-pelajar sekolah menengah semenjak tahun 2009. Pertandingan ini merupakan platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat mereka dalam menyampaikan topik sains bersama fakta saintifik dan menarik dengan santai dan bersahaja namun penuh informatif. Pertunjukan yang perlu dipersembahkan secara solo atau duo merangkumi 4 eksperimen sains yang perlu dipersembahkan dalam masa 15 minit.

Petrosains Science Show Competition 2016 (PSSC 2016) telah pun memahat sejarah baharu penganjuran di mana pada tahun ini, sebanyak 1554 penyertaan telah diterima daripada sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Masih lagi mendapat tajaan sepenuhnya oleh Bank Islam Malaysia Berhad buat tahun kedua berturut-turut, PSSC 2016 yang turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bakal menyaksikan 18 pasukan bakal berentap di peringkat kebangsaan yang menjanjikan persaingan paling sengit setakat ini. 

Tanggal 27 Oktober 2016, berlokasi di Auditorium Kompleks E, Putrajaya bakal melakar sejarah pertandingan PSSC 2016 yang sudah menginjak ke tahun kelapan penganjuran. Seiring usia pertandingan, kematangan dapat disaksikan melalui barisan pasukan yang akan berentap di peringkat kebangsaan nanti. Masakan tidak, 3 pasukan yang pernah dinobatkan sebagai juara PSSC sebelum ini bakal berentap sesama sendiri. Persaingan bertambah sengit dengan kehadiran wajah-wajah yang tidak asing dengan pertandingan ini samada guru, pelajar mahupun sekolah yang pernah bergelar finalis.

Juara bertahan, SMK Tamparuli dari Sabah juara tahun 2015 bakal dicabar pemenang PSSC edisi keenam, SMK Tun Abdul Razak, Kuching bersama juara PSSC 2013, SMK Panchor, Seremban yang kali ini tampil dengan persembahan berbeza. SMK Tamparuli mempertaruhkan Janet Anne Albert dan Eva Melinda di bawah bimbingan Cikgu Ernest Kelly Subin yang sudah mencipta rekod tersendiri dalam sejarah PSSC. Pada tahun 2013, Cikgu Ernest membawa SMK Tamparuli memenangi Anugerah Bintang Harapan. Setahun kemudian SMK Tamparuli berjaya mendapat tempat kedua sebelum menggondol juara PSSC 2015.


Lebih manis, SMK Tamparuli merupakan satu-satunya finalis wanita dan mereka layak ke peringkat kebangsaan melalui tiket wild card pada tahun lalu. Peserta wild card merupakan calon bukan pilihan kerana pada dasarnya hanya pemenang negeri yang layak mara ke pusingan akhir namun atas faktor persembahan yang memberangsangkan, 2 pasukan yang mendapat tempat kedua peringkat negeri akan terpilih untuk mara ke peringkat kebangsaan mengiringi 16 juara negeri-negeri yang lain.

Untuk rekod, sudah ada 2 sekolah yang mendapat tiket wild card dan bergelar juara PSSC yakni SMK Panchor yang telah melakukannya buat pertama kali pada tahun 2013 seterusnya SMK Tamparuli mengulangi sejarah pasukan wild card yang menyerlah dan bersinar sebagai sang juara. Adakah SMK Panchor bakal melakar satu lagi sejarah memandangkan pada tahun ini, mereka layak ke peringkat kebangsaan juga atas tiket wild card? Lebih menarik, SMK Panchor bakal menampilkan satu-satunya peserta solo wanita, Melissa Kelvin yang mendapat bimbingan Cikgu Zulkiflee Muhammad yang begitu prolifik menghasilkan karya persembahan yang bermutu saban tahun. Adakah juara solo akan terhasil melalui persembahan Melissa?


Perjalanan yang sedikit berbeza bagi juara PSSC 2014, SMK Tun Abdul Razak, Kuching. Di bawah bimbingan cikgu Tchong Fui Mui, mereka menyertai PSSC buat pertama kali pada tahun 2014. Takdir sudah tertulis, di mana perjalanan mereka dipermudahkan dengan muncul Johan peringkat negeri Sarawak seterusnya dinobatkan juara pada tahun tersebut. Pada tahun 2015, mereka tidak menyertai PSSC namun pada tahun ini, mereka berjaya membuat come back di mana sekali lagi mereka berjaya menjadi Johan PSSC Peringkat Negeri Sarawak. Persoalannya, perjalanan yang bakal dilalui oleh peserta paling senior, Santa Senthia & Jokryno mungkin sedikit berbeza dan tidak semudah yang dijangka. Namun, jika mereka berjaya, sejarah 2010 bakal diulangi di mana pasangan peserta lelaki dan wanita akan dikalungkan sebagai pemenang.


Kehadiran 2 pasukan ini jangan dipandang mudah kerana mereka juga berpengalaman beberapa tahun menjadi finalis PSSC sebelum ini. Pencapaian terbaik yang diperoleh SMK Seksyen 10 Kota Damansara adalah mendapat tempat kedua pada tahun 2013. Pada tahun 2014, Simon Michael & Xin Ruu menampilkan persembahan memukau sehingga menggondol Anugerah Penyampai Terbaik & Anugerah Demonstrasi Paling WOW namun nasib tidak menyebelahi mereka. Dan pada tahun ini, sekali lagi di bawah bimbingan Cikgu Mazni Abdul Wahab, keserasian gandingan Jayram & Idzhar mungkin menggugat kedudukan pasukan yang pernah menjadi juara PSSC.


Tidak dilupakan, SMK Sultan Ismail yang pernah mendapat tempat ketiga edisi PSSC 2013, peserta finalis tahun lalu, Muhammad Firdaus Danial Tan bersama pasangan yang baru, Ahmad Akif Syarafuddin juga tidak boleh dipandang enteng. Mereka mungkin membuat kejutan sekiranya persembahan mereka cemerlang di bawah tunjuk ajar cikgu Nur Sahrizan.


Bagi SMK Batu Maung, Pulau Pinang pula, pengalaman yang pernah diraih oleh cikgu Nurul Iliani yang pernah membimbing SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang mendapat tempat ketiga PSSC 2014 semestinya tidak akan dipersia-siakan. Sudah pasti resepi yang digunapakai sebelum ini bakal mencantikkan lagi persembahan Akmal Zukri & Shah Faez.


Begitu juga pengalaman sebagai juri di peringkat negeri Melaka selama beberapa tahun, Cikgu Sabiah dari SMK Durian Tunggal, Melaka semestinya ada kaedah tersendiri memungut markah semaksimum mungkin selepas Nurulayu Natasha & Nur Atira Natasha mengalahkan juara bertahan, SMK Ghafar Baba ketika PSSC 2016 Peringkat Negeri Melaka baru-baru ini.


Kejutan paling besar tahun ini sudah tentu kejayaan SM Sains Rembau (SEMESRA) sebagai giant killer menyekat kemaraan SMK Panchor sewaktu PSSC Peringkat Negeri Sembilan. Ramai pihak tertanya-tanya apakah rahsia kejayaan Cikgu Azrina membentuk Ikhwan & Syahrin Nazmeer yang begitu ionik ikatan kimianya. 


Kehebatan wakil ibu kota Kuala Lumpur, SMK Convent Bukit Nanas bakal diuji biarpun mereka telahpun  mengalahkan SMK (P) Pudu yang mempunyai 3 wakil di peringkat Kuala Lumpur selaku wakil bagi Wilayah persekutuan Kuala Lumpur pada tahun lalu. Kepakaran Cikgu Tan Shim Yu semestinya menyerlahkan lagi sisi bakat Robyn Leong & Juliana Heong.


Bakal disaksikan melalui saluran Astro TVIQ bulan November nanti sejarah juga bakal tercipta jika juara baharu diumumkan. Sementelah mereka muncul johan peringkat negeri tanpa melibatkan pertandingan, pengalaman yang diperoleh SMK Putrajaya Presint 9(1) dan Labuan International School pada tahun lepas mungkin sedikit sebanyak membantu guru pembimbing. Anugerah Bintang Harapan yang digondol oleh Jamalul Haziq Jamalulkhir akan menyuntik semangat Cikgu Fahmi yang membimbing Wan Muhammad Amir & Ahmad Sufiyan.

  
Dan sekali lagi Labuan International School menampilkan Vivian Lee di mana kali ini berpasangan dengan Fesileana Fuzareen bersama-sama merealisasikan strategi berbeza yang disusun oleh cikgu Azila.


Sementara wakil dari Perlis, SMK Dato' Sheikh Ahmad yang "mencuri" slot yang selalu diraih SMK Syed Sirajuddin melalui Afnan Nazmy & Akif Jamal mungkin mencuri tumpuan. Dengan bimbingan guru berpengalaman, Cikgu Zainon Saman mungkin ada sentuhan magisnya.


Tidak dilupakan, pasukan yang dilabel "underdog" seperti SMK Rantau Panjang yang mara ke peringkat kebangsaan buat kali pertama dengan segala harapan diletakkan di atas bahu Nurul Najwa & Nurul Balqis Ayuni yang pastinya tampil dengan identiti tersendiri yang diilhamkan oleh Cikgu Azlini.


Jiran negeri Kelantan, Terengganu Darul Iman pula diwakili oleh SM Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang menggabungkan peserta lelaki dan wanita iaitu Saiful Daniel dan Norlina Raihanah di samping tunjuk ajar Cikgu Zaiton.



  
Satu lagi gergasi Pantai Timur, Pahang Darul Makmur juga akan memperjudikan nasib 2 sekolah yang diwakili oleh MRSM Tun Abdul Razak (Amirul Naim dan Azri Iskandar) dengan bantuan Cikgu Suhaili selaku Juara PSSC Peringkat Negeri Pahang diiringi Naib Juara PSSC Peringkat Negeri Pahang, Ma'ahad Tahfiz Negeri Pahang dikepalai oleh Cikgu Amirun yang mendidik Qashirah dan Aliff Furqan yang begitu bertuah dipilih secara wild card.


Satu lagi wakil dari utara, Kedah Darul Aman pula sekali lagi menampilkan SMK Langgar yang diwakili oleh Shahir Azeem & Suffian. Dibantu pengalaman Cikgu Azwani yang turut beraksi pada tahun lalu sudah pasti ada peningkatan dari segi prestasi dan kandungan.


Wakil negeri Perak Darul Ridzuan, SMK Taman tasik yang juga muncul buat kali pertama dan berjaya mengalahkan juara tahun lalu, SMK Raja Perempuan Ipoh ketika PSSC 2016 Peringkat Negeri Perak. Jika mereka berjaya sebagai juara, sudah pasti kenangan paling manis dan dianggap sebagai hadiah Deepavali paling bermakna buat Yoganishalini yang akan berpadu tenaga dengan Norhafizah dan bantuan cikgu Sharifah yang bakal memberikan impak mengagumkan.



PSSC 2016 Peringkat Akhir bakal dihoskan oleh pengacara popular Alif Satar dan Melissa Razak turut menjanjikan satu keunikan di mana bermula pada tahun ini, format hadiah diubah kepada bentuk pingat. Bermakna jumlah pingat emas, perak & gangsa masih menjadi rahsia dan semuanya bergantung kepada konsistensi persembahan barisan finalis. Lebih manis lagi, juara keseluruhan yang mendapat markah tertinggi berpeluang mengikuti lawatan ilmiah ke Muzium Sains SciTech di Perth, Australia di samping membawa pulang piala pusingan, sijil pencapaian dan wang tunai.

Anugerah-anugerah lain turut disediakan oleh pihak penganjur. Sebanyak 7 anugerah dipertaruhkan iaitu Anugerah Pasukan Paling Popular (berdasarkan jumlah undian tertinggi yang dibuat oleh penonton pada hari pertandingan), Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Demonstrasi Paling WOW, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Penyampai Terbaik, Anugerah Penyertaan Tertinggi (Negeri) dan Anugerah Khas Juri. 

Terima kasih sekali lagi kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad yang sudi menaja PSSC 2016. Untuk edisi kali ini, penganjur telah mewujudkan anugerah baharu iaitu Anugerah Penyertaan Tertinggi (Sekolah) yang dimenangi oleh SMK Jelawat, Bachok yang telah menghantar sebanyak 126 penyertaan. Teruskan bersama PSSC 2016 yang bakal melahirkan satu lagi bintang sains di persada. Debaran peserta PSSC 2016:Peringkat Kebangsaan bakal terjawab pada 27 Oktober nanti. 
#MyScienceShow



Sebarang maklumat terkini boleh didapati di Facebook rasmi 'Petrosains Science Show Competition' di https://www.facebook.com/scienceshowcompetition dan laman web  http://petrosains.com.my/science-show-competition







Shared by Mustakim Bahrudin
Guest Blogger


No comments:

Post a Comment