Showing posts with label warna. Show all posts
Showing posts with label warna. Show all posts

Friday, 20 March 2015

Satu Warna Yang Ada Banyak Warna




Ambil sehelai kertas tisu dan gunting kepada saiz berukuran 3 cm x 10 cm. Bahan-bahan lain yang diperlukan adalah cawan plastik yang berisi air, pen dakwat basah, penyepit baju dan lidi seperti yang dapat dilihat dalam gambar di bawah.
Lukis satu garisan dengan menggunakan pen berdakwat basah seperti dalam gambar di bawah. 
Rendamkan kertas tisu ke dalam cawan plastik yang berisi air. Tunggu sekejap. Perhatikan apa yang berlaku. Anda juga boleh melihat tindakbalas yang berlaku dalam video di bawah:-
Inilah hasilnya. Sebagai kesimpulan, pen berdakwat basah berwarna biru sebenarnya terdiri daripada beberapa pigmen warna yang lain iaitu warna ungu dan warna biru laut.

Eksperimen yang baru sahaja dijalankan di namakan kromatografi. Kromatografi adalah teknik  yang digunakan untuk pemisahan molekul dalam sesuatu bahan kimia. Dalam eksperimen di atas, kita dapat melihat tentang satu warna yang terdiri dari banyak pigmen warna yang lain.

Kromatografi mempunyai peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita sehari-hari. Dalam bidang perubatan, teknik ini sangat bermanfaat untuk mengetahui jenis penyakit dari sampel urin. Kaedah ini juga sangat penting dalam bidang forensik untuk pengesanan suspek di dalam sesuatu kes jenayah.

Ulang eksperimen di atas dengan menggunakan pen dakwat berwarna lain. Kita juga boleh mencuba dengan menggunakan 'magic pen' pelbagai warna. Ia amat menyeronokkan sambil kita dapat belajar hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang senang diperolehi di rumah!




Posted by Ayu
Petrosains

Thursday, 28 August 2014

Sains & Batik



Batik adalah teknik pewarnaan pada fabrik melalui proses 'rintang warna’ dengan menggunakan lilin dan damar sebagai perintang warnanya. Istilah 'rintang warna' bermaksud bahagian pada motif atau corak yang menghalang warna daripada diwarnai oleh pewarna. Bahagian tersebut akan kelihatan kekal putih setelah proses penghasilan batik siap sepenuhnya. Lihat gambar di bawah. Garisan-garisan putih merupakan bahagian yang telah di'rintang warna'.  
Motif Batik
'Rintang warna' lebih mudah dihuraikan sebagai bahagian yang terhalang daripada diwarnakan pada fabrik untuk menghasilkan batik. Apakah kaitannya pula dengan sains?

Corak pada tekstil dilukis bukan dengan pen atau pensil tetapi menggunakan sejenis alat yang menyerupai bentuk pen yang di panggil canting.  Ia terdiri dari bekas bermuncung seperti paip dan buluh sebagai pemegang. 

Campuran lilin (parafin) dan damar akan dipanaskan sebelum proses mencanting dilakukan. Setelah campuran ini cair, ia akan dicedok menggunakan canting. Bagi memastikan kelancaran campuran lilin dan damar keluar daripada muncung canting semasa proses mencanting, tembaga digunakan untuk membuat canting kerana tembaga merupakan konduktor haba yang baik. Ini amat penting bagi  memastikan campuran lilin dan damar sentiasa berada dalam keadaan cecair dan akan mengalir keluar dengan lancarnya semasa proses mencanting.


Mencanting pada lukisan batik bertujuan menutup bahagian motif atau corak daripada diwarnakan. Secara kimianya, lilin (parafin) adalah nama umum untuk hidrokarbon alkana dengan formula CnH2n+2. Ia berwarna putih, tidak berbau, tidak mempunyai rasa, pepejal, mempunyai takat lebur di antara 47 darjah Celcius sehingga 64 darjah Celcius dan tidak larut dalam air. Dalam keadaan suhu bilik, ia adalah rapuh dan mudah retak.

Damar yang selalu digunakan pula adalah getah yang diperolehi daripada pokok konifer. Damar sangat likat, mempunyai bau dan juga tidak larut dalam air.

Sifat kimia tidak larut dalam air yang dimiliki oleh lilin (parafin) dan damar menyebabkan kedua-dua bahan ini digunakan untuk memisahkan pewarna pada fabrik untuk menghasilkan batik. Sebelum proses pembuatan batik berakhir, fabrik akan dicelup di dalam sejenis larutan kimia untuk membuang lilin yang melekat. Hasilnya, bahagian yang ditutupi dengan lilin akan kelihatan bewarna putih.






Bengkel 'Mewarna Batik Canting' adalah salah satu aktiviti  sempena Petrosains Science Festival yang akan berlangsung  pada 15-21 September 2014. Layari www.sciencefestival.my untuk menyertainya! #petrosainsfest











Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains