Showing posts with label butterfly. Show all posts
Showing posts with label butterfly. Show all posts

Friday, 14 February 2014

'Butterfly' Itu Kupu-kupu & 'Moth' Adalah Rama-rama




Keliru tetapi ia adalah fakta.  Ramai yang beranggapan sebaliknya tetapi ini adalah kebenarannya. Ada juga segelintir yang langsung tidak pernah mengambil berat tentang perkara ini.  Apabila setiap kali ternampak ia berterbangan, terus dikatakan ia adalah rama-rama walaupun sebenarnya ia adalah seekor kupu-kupu. Tetapi bagaimana untuk mengetahui  samada ia adalah kupu-kupu atau rama-rama?

Butterfly itu ialah kupu-kupu dan bukannya rama-rama. Moth ialah rama-rama. Acapkali sekiranya ia kelihatan menghinggapi bunga pada waktu petang, itu adalah kupu-kupu. Kupu-kupu adalah diurnal ataupun aktif di siang hari manakala kebanyakkan rama-rama adalah nokturnal ataupun aktif pada waktu malam.
Secara fizikalnya, kupu-kupu memiliki sayap yang 'cantik' kerana berwarna-warni. Kupu-kupu mempertahankan diri dengan memberikan isyarat melalui warna sayapnya yang terang terhadap pemangsa. Manakala rama-rama pula memiliki sayap yang tidak berwarna terang. Selalunya rama-rama lebih cenderung memiliki warna-warna semulajadi seperti  coklat, kelabu, hitam dan coklat kehitaman.

Tetapi perbezaan di antara kedua-duanya boleh juga dikenalpasti berdasarkan bentuk sesungut. Kupu-kupu biasanya mempunyai sesungut yang lurus dan berbentuk seperti belantan di hujungnya. Rama-rama pula mempunyai sesungut lurus tetapi berbulu. Perhatikan gambar di bawah untuk penjelasan yang lebih terperinci.


Selain itu,  sayap kupu-kupu terlipat tegak semasa ia dalam keadaan rehat. Rama-rama pula akan mengembangkan sayapnya dalam keadaan rehat. Cuba teka samada gambar di bawah adalah seekor kupu-kupu atau rama-rama?





Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






Friday, 31 January 2014

Kad Pengenalan Haiwan!


Jika diperhatikan pada gambar kupu-kupu di atas, mungkin kita terfikir yang mereka adalah sama semuanya. Mungkin ramai juga yang berpendapat  bahawa  mereka  adalah  sama kerana  dari sudut fizikalnya, kupu-kupu di atas kelihatan sama. Tetapi,  tahukah  anda bahawa  rupa yang sama tidak semestinya menentukan sesuatu organisma itu berasal dari spesies yang sama. Mereka  mungkin berlainan spesies antara satu sama lain. 


Melalui sistem pengkelasan dan taksonomi dalam tatanama biologi spesifikasi untuk haiwan dan berpandukan pada gambar di bawah, 'Satyrium' adalah genus manakala  'saepium' adalah spesies. Sekiranya nama saintifik lain seperti Felix Domestica, maka 'Felix' adalah genus manakala 'domestica' adalah spesies. Dalam erti kata lain, sesuatu spesies itu mungkin berasal dari genus yang sama tetapi berlainan spesies. Dalam contoh di bawah, kedua-duanya adalah berasal daripada genus yang sama iaitu 'Satyrium' tetapi mereka  berlainan spesies.
Teknik yang digunakan bagi penentuan spesies dinamakan 'Barcoding DNA' atau Kod Bar DNA. Kod bar ini  digunakan dalam usaha untuk mengenal pasti spesies yang tidak diketahui atau menilai sama ada spesies perlu digabungkan atau dipisahkan. 

Kod Bar DNA  mencirikan spesies organisma menggunakan urutan DNA pendek daripada kedudukan dalam genom. Genom adalah semua maklumat genetik benda hidup yang dikodkan ke dalam DNA. Urutan kod bar DNA adalah relatif yang singkat untuk keseluruhan genom dan ia boleh didapati dengan cepat dan murah. Dalam erti kata lain, teknik ini adalah bersamaan dengan cara yang sama pengimbas pasar raya menggunakan jalur hitam kod bar untuk mengenal pasti sebarang pembelian.

Mengenal pasti spesies menggunakan kod bar DNA bermula dengan spesimen. Bahan spesimen ada yang diperolehi dari lapangan,  dari koleksi yang ditempatkan di muzium semulajadi,  zoo, taman botani dan di bank benih. Di dalam makmal, sekeping tisu kecil daripada spesimen di ambil untuk mengekstrak DNAnya. Urutan kod DNA kemudiannya akan diterjemahkan ke dalam bentuk turutan warna. Setiap warna mewakili asid nukleik tertentu samada C,T,A atau G - sitosin (C), adenin (A), tiamin(T) dan guanin(G). 

Sebagai contoh urutan DNA adalah  seperti CCTATACCTAATCTTCGGAGCATGAGCGGGCATGGTAGGC....

Dan imej bar kod akan kelihatan seperti dalam gambarajah di bawah:



Aplikasi kod bar DNA bukan hanya  digunakan  untuk organisma haiwan sahaja. Teknik ini turut digunakan dalam penentuan jenis daun tumbuhan dan serangga. 

Jadi, tidak semestinya sesuatu organisma itu sama spesiesnya walaupun rupa dan warna mereka kelihatan sama pada mata kasar kita. Teknik kod bar DNA pasti memberi penyelesaian terhadap Kad Pengenalan mereka! 









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains