Showing posts with label binatang. Show all posts
Showing posts with label binatang. Show all posts

Saturday, 28 June 2014

Panda 'Maging' ataupun 'Maun'?



Apa itu Panda?

Panda atau lebih tepat dikenali sebagai Panda Gergasi (Giant Panda) merupakan sejenis haiwan yang sangat comel dan amat diminati ramai. Merupakan sejenis mamalia yang dikelaskan dalam Famili beruang dan berasal dari negara China. Secara fizikalnya, ia mempunyai ketinggian lebih kurang 1 meter dan panjang badannya berukuran 1.5 meter. 

Badannya berbulu hitam dan putih. Ia jelas kerana dari penamaan saintifiknya, Ailuropoda melanoleuca juga mencirikan panda sebagai "kaki-kucing-hitam-dan-putih".

Selalunya panda jantan adalah lebih besar daripada betina dan berat seekor panda adalah lebih kurang 100-145 kg. Jangka masa hidup seekor panda adalah 15-20 tahun dalam habitat liar iaitu di kawasan pergunungan.

Menariknya mengenai haiwan ini, ia juga dikenali sebagai 'beruang bersalin kulit' kerana anak Panda selalunya dilahirkan bewarna putih sahaja dan warna bulu hitam pada badannya akan muncul kemudian dalam tempoh tumbesaran seekor Panda. 

  

Panda "Maging atau Maun"?

Secara taksonomi, ia diketahui sebagai 'maging' (makan daging) ataupun memiliki sistem pencernaan karnivor, namun pemakanan mereka hampir keseluruhan adalah 'maun' (makan daun) seperti herbivor.

Pelik tetapi ia amat menggemari buluh. 99% daripada dietnya adalah buluh kerana ia dikatakan boleh memakan sehingga 14 kg buluh sehari. 

Panda juga dikatakan haiwan 'maserba' (makan serba-serbi termasuk daun dan daging) kerana diketahui ia juga memakan telur dan serangga sebagai sumber protein di samping diet utama mereka.

Tetapi kenapa makan buluh?

Secara logik, persoalan seperti kenapa makan buluh walaupun kita membayangkan rasa buluh itu tidak sedap. Tambahan pula ia sangat keras untuk dikunyah. Mekanisme sistem percernaan Panda secara semulajadinya direka bentuk seperti haiwan karnivor yang mampu mencernakan  makanan yang keras seperti daging. Disebabkan dietnya herbivor, maka ia perlu beradaptasi dengan memakan tumbuhan yang keras untuk menyesuaikan dengan sistem percernaannya. 

Jadi persoalan sama ada Panda 'maging' atau 'maun' sudah pun terjawab di mana Panda merupakan haiwan 'maging' yang 'maun'. Panda juga akan memakan buluh dengan banyak dalam masa sehari bagi memastikan makanan dalam sistem percernaannya sentiasa penuh kerana pada kebanyakan masa Panda mendapat khasiat nutrisi hanya daripada buluh. 









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains





Tuesday, 18 March 2014

Olah Tari Imitasi Perilaku Haiwan



Ambil sebuah akuarium kecil yang didiami oleh beberapa ekor ikan dan letakkan di atas meja Dalam masa lima minit, perhati dan cuba teliti gerak-geri ikan-ikan itu. Ambil sekeping kertas dan  tulis apa yang diperhatikan. Perihalkan gerakan yang dilihat dengan perkataan. Ikan berenang dengan liuk lentuk yang gemalai dan kekadang ia melompat-lompat di dalam air.  Ini adalah 'etologi' atau ilmu tentang perilaku haiwan. Setiap jenis haiwan memiliki perilaku yang tersendiri yang sesuai dengan ciri-ciri fizikal yang ada. 

Pemerhatian terhadap perlakuan bintang ini sebenarnya telah banyak memberi inspirasi kepada pengolah tari dalam mencorakkkan tarian. Misalnya, tarian yang terkenal di kalangan masyarakat cina iaitu 'Fish Lantern Dance' adalah hasil kreatif pengolah tari mengimitasi gerak-geri ikan dalam tarian. Penari-penari turut mengenakan kostum yang menyerupai ikan sebenar bagi memberikan impak yang lebih berkesan ketika persembahan. Gerakan dalam tarian ini menyerupai pergerakan ikan yang sebenar dan ini bermakna pengolah tari telah menjalankan pemerhatian dan kajian terperinci dalam mempelajari perilaku ikan.
Perlakuan burung merak pula ditiru dalam kebanyakkan Tarian Klasik India. Burung yang terlalu megah dengan kecantikan bulu yang dimilikinya dapat diperhatikan dalam gerak tari tarian tersebut. Bulu burung merak turut dijadikan sebagai kostum ketika mempersembahkan tarian ini.

Pernahkah pula kita terfikir apakah asal usul gerak silat atau seni mempertahankan diri? Adakah ia juga ilham dari gerak-geri haiwan? Silat sebenarnya meniru gerakan harimau. Perlakuan harimau, seekor binatang lambang semangat dan keberanian yang berwajah ganas dan suka mencengkam, mencakar dan mematah di olah dalam pergerakan silat.

Adaptasi gabungan pengolah-pengolah tari yang kreatif dan sains 'etologi' telah membuahkan satu hasil yang indah. Walaubagaimapun, tidak semua olah tari itu meniru gerakan binatang. Kekadang ia juga meniru gerakan manusia. Sesebuah tarian mempunyai jalan cerita tersendiri ataupun kekadang ditarikan berdasarkan kisah-kisah sejarah terdahulu. Berlainan bangsa mempunyai cara tersendiri dalam pengolahan tarian mereka.

Apa yang dapat diperkatakan disini ialah benda hidup seperti haiwan, tumbuhan dan alam semulajadi banyak menyumbang kepada cabang ilmu sains mahupun seni. Sekiranya suntikan kreatif diberi, ia mampu dijadikan satu bahan yang sangat bermakna.

Cuba perhati pada satu haiwan yang selalu ada di sekeliling kita. Contohnya seperti kucing. Perhatikan dengan teliti dan pasti kita mempelajari sesuatu yang baru. Hasil pemerhatian ini tidak mustahil akan menjurus terhadap  cetusan idea dan ilmu pengetahuan yang baru. 








Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains