Showing posts with label bateri. Show all posts
Showing posts with label bateri. Show all posts

Wednesday, 15 June 2016

'DIY' Pelita Kuasa Bateri Ganti Pelita Kerosin




Pelita selalunya dikaitkan dengan api yang dinyalakan oleh bahan api seperti kerosin untuk memberi cahaya pada waktu malam.  Tetapi tahukah anda terdapat alternatif lain di mana kita boleh membuat pelita sendiri dengan bahan-bahan yang mudah didapati hanya dengan menyambungkan satu litar elektrik lengkap.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat pelita kuasa bateri adalah seperti dalam gambar di bawah. Kebanyakkan bahan-bahan ini boleh diperolehi dari kedai buku dan kedai 'hardware'. 



Untuk membina pelita, kerja-kerja terbahagi kepada dua iaitu i; bahagian litar elektrik dan ii; bahagian badan pelita. Mari kita sambungkan dulu komponen elektrik menjadi litar elektrik lengkap.


Mula-mula gunting kadbod hitam berukuran 10cm x 10cm. Anda boleh mengubahsuai saiz kadbod bergantung kepada saiz pelita yang ingin dihasilkan. Tebuk dua lubang kecil pada kadbod. Lekatkan pemegang bateri pada bahagian bawah kadbod dan lipatkan sedikit bahagian kiri dan kanan kadbod. Masukkan kedua-dua wayar dari pemegang bateri ke dalam lubang supaya ia akan terkeluar pada bahagian atas kadbod.


Anda akan memperoleh sesuatu seperti gambar di atas.


Kemudian masukkan wayar-wayar tadi kepada lubang yang terdapat pada pemegang mentol. Pemegang mentol akan berada pada bahagian atas kadbod hitam itu tadi.


Buka penebat pada hujung wayar dan sambungkan wayar-wayar tadi pada skru yang terdapat pada pemegang mentol.


Pasangkan mentol pada pemegang mentol. Pastikan anda pasangkan mentol dengan kemas. Berhati-hati semasa mengendalikan kaca mentol kerana ia mudah pecah! 


Sekarang, uji sambungan litar elektrik anda. Pasangkan kedua-dua bateri atau sel kering pada bahagian bawah kadbod. Pastikan terminal bateri betul pada tempatnya. Pemasangan bateri pada pelita ini juga bertindak sebagai 'suis' kepada pelita anda!


Wow! Mentol sudah menyala. Ini bermaksud sambungan litar elektrik anda betul dan kemas. Sekiranya tidak menyala, semak semula sambungan bateri samada ia berada pada terminal yang betul atau tidak. Ataupun sambungan wayar pada pemegang mentol mungkin longgar. Jika ia, cuba anda kemaskan dulu :). Cabut bateri dari pemegang bateri terlebih dahulu untuk kita meneruskan membuat bahagian badan pelita pula.


Anda boleh menghasilkan badan pelita mengikut warna kegemaran anda. Untuk memulakan, lipat plastik bewarna ini kepada bentuk yang anda suka. Lipat empat seperti gambar di atas untuk menghasilkan pelita berbentuk segi empat.





Gunting plastik berwarna untuk menghasilkan rekabentuk badan pelita seperti di atas. Anda juga boleh mengubahsuai mengikut kreativiti anda sendiri:)



Kemudian lekatkan bahagian badan pelita pada kadbod hitam tadi.


Tebuk dua lubang seperti gambar di atas.


Ikat tali supaya anda boleh menggantung dan membawa pelita anda dengan mudah.


Akhir sekali, anda boleh menambah bahan-bahan perhiasan lain seperti pelekat dan sebagainya mengikut kreativiti anda. 'DIY' pelita berkuasa bateri sudah pun siap  sambil kita turut 'hands-on' belajar menyambungkan litar elektrik lengkap.

Selamat mencuba! 







Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            

Friday, 11 July 2014

Guna Pasir Buat Bateri Tahan Lebih Lama


Tahukah anda satu penemuan terbaru oleh penyelidik-penyelidik dari 'Riverside's Bourns College of Engineering, University of California' di mana mereka telah mencipta bateri litium-ion (juga dikenali sebagai bateri Li-ion) yang berkuasa tiga kali ganda lebih baik daripada bateri yang terdapat di pasaran kini? Bagaimana? Jawapannya adalah  dengan menggunakan 'pasir'. Bagaimanakah caranya?

Apa itu bateri litium-ion?  Ia adalah bateri cas semula yang mana ion litium bergerak dari anod ke katod semasa proses nyahcas dan kembali ke kedudukan asal semasa dicas. Bateri litium-ion lazimnya digunakan dalam peralatan elektronik pengguna seperti telefon mudah alih.  Selain peralatan elektronik pengguna, bateri Li-ion juga semakin popular dalam  kenderaan elektrik.

Kajian mereka menumpu untuk membina bahagian anod bateri litium-ion. Grafit adalah bahan yang digunakan untuk membuat anod tetapi disebabkan teknologi elektronik semakin meningkat, keupayaan untuk memperbaiki grafit semakin berkurangan.

Fokus penyelidik kini adalah untuk menggantikan grafit dengan silikon berskala nano tetapi silikon berskala nano cepat terdegradasi dan sukar untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.

Seorang pelajar dari universiti ini telah mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah ini. Idea bernas tercetus ketika pelajar tersebut sedang berehat di tepi pantai. Beliau mendapati bahawa pasir di tepi pantai mengandungi peratusan kuartza (sejenis mineral yang terdapat paling banyak dalam kerak bumi) atau silikon dioksida yang tinggi. 


Kredit foto: University of California - Riverside

Sampel pasir kemudian dibawa ke makmal. Ia akan melalui beberapa peringkat purifikasi sehingga warnanya berubah dari coklat menjadi putih dan bertekstur seperti gula. Kemudian garam akan dikisar bersama magnesium, dua elemen yang selalunya dijumpai terlarut dalam air laut ke dalam kuartza tulen. Serbuk yang terhasil akan dipanaskan. Garam akan bertindak sebagai penyerap haba, magnesium pula bertindak untuk mengeluarkan oksigen daripada kuartza dan hasil terakhir yang diperolehi adalah silikon asli.

Nano-silikon asli yang terhasil sangat poros. Keporosan ini merupakan sebab utama mengapa ia mampu untuk memperbaiki ketahanan kuasa bateri sehingga tiga kali ganda lebih baik.  Salah satu kelebihan penemuan terbaru ini adalah kita tidak perlu untuk mengecas bateri setiap hari sebaliknya mampu bertahan untuk tiga hari.  Bukan itu sahaja dengan menggunakan pasir untuk menghasilkan bateri tahan lebih lama, ia merupakan satu  kaedah yang berkos rendah dan mesra alam. 





Sumber:
Artikel dari University of California - Riverside









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains