Thursday, 30 June 2016

Tengok Anak Bulan, Sebenarnya Nampak Apa?


Di ruang angkasa lepas, Bulan berada di antara  Bumi dan Matahari (seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah). Sambil berputar pada paksinya , Bulan juga beredar mengelilingi Bumi.  

Bentuk Bulan yang dilihat di langit berubah-ubah daripada masa ke semasa. Perubahan bentuk Bulan ini berlaku bergantung kepada bahagian permukaan Bulan yang memantulkan cahaya Matahari ke Bulan berubah semasa Bulan beredar mengelilingi Bumi. Bentuk-bentuk Bulan yang berbeza dikenali sebagai fasa Bulan. Setiap putaran lengkap Bulan atau tempoh masa dari satu fasa ke fasa bulan yang lain mengambil masa selama 29 ½ hari.


Dalam terminologi astronomi, anak bulan merupakan fasa bulan yang berlaku apabila Bulan berada sebaris dengan Matahari. Pada ketika ini jika dilihat dari Bumi, bahagian yang gelap (yang tiada matahari) pada permukaan bulan akan menghadap ke arah Bumi. Jadi daripada pandangan mata kasar, bulan adalah tidak kelihatan. 


"Kita nampak apa, bila tengok anak bulan?" 

Ramai yang mempunyai tanggapan sendiri tentang rupa anak bulan. Anak bulan bukanlah bulan yang bersaiz lebih kecil daripada saiz sebenar ataupun ia juga bukanlah bulan sabit. 

Anak bulan secara astronomi ialah bulan gelap. Kita tidak dapat melihat apa-apa bentuk bulan dengan mata kasar. Walaubagaimanapun, kelihatan sedikit bulan sabit  (yang mana menurut pengiraan penentuan anak bulan, ia masih belum dikira sebagai hari pertama) apabila dilihat melalui teleskop. Selepas anak bulan, barulah bulan sabit pertama akan muncul dan ini menandakan bermulanya bulan baru .



Perbuatan melihat anak bulan untuk menentukan bermulanya hari pertama dalam bulan baru selalunya akan dilakukan pada malam hari ke 29. Sekiranya semasa cerapan bulan sudah menampakkan anak bulan, maka keesokkan hari adalah dikira sebagai 1 haribulan ataupun hari pertama dalam bulan baru menurut kalendar lunar seperti takwim hijrah dan kalendar Cina. Sungguhpun begitu dalam kalendar Cina, permulaan bulan dimulai dengan bulan gelap. 


"Perayaan Tahun Baru Cina di sambut satu hari lebih awal daripada sambutan Hari Raya. Tarikh Tahun Baru Cina adalah berdasarkan kalendar Cina dan Hari Raya adalah berdasarkan kalendar takwim hijrah. Kedua-dua kalendar ini adalah kalendar lunar yang berpandukan pada putaran lengkap Bulan. Bagaimana ini terjadi?" Anda pasti sudah mampu untuk menghuraikan sebab-sebabnya:)




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            

What Is DEWS?




Visit http://www.petrosains.com.my/learning-bytes/wonderbites/ for more WonderBites!

Wednesday, 15 June 2016

'DIY' Pelita Kuasa Bateri Ganti Pelita Kerosin




Pelita selalunya dikaitkan dengan api yang dinyalakan oleh bahan api seperti kerosin untuk memberi cahaya pada waktu malam.  Tetapi tahukah anda terdapat alternatif lain di mana kita boleh membuat pelita sendiri dengan bahan-bahan yang mudah didapati hanya dengan menyambungkan satu litar elektrik lengkap.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat pelita kuasa bateri adalah seperti dalam gambar di bawah. Kebanyakkan bahan-bahan ini boleh diperolehi dari kedai buku dan kedai 'hardware'. 



Untuk membina pelita, kerja-kerja terbahagi kepada dua iaitu i; bahagian litar elektrik dan ii; bahagian badan pelita. Mari kita sambungkan dulu komponen elektrik menjadi litar elektrik lengkap.


Mula-mula gunting kadbod hitam berukuran 10cm x 10cm. Anda boleh mengubahsuai saiz kadbod bergantung kepada saiz pelita yang ingin dihasilkan. Tebuk dua lubang kecil pada kadbod. Lekatkan pemegang bateri pada bahagian bawah kadbod dan lipatkan sedikit bahagian kiri dan kanan kadbod. Masukkan kedua-dua wayar dari pemegang bateri ke dalam lubang supaya ia akan terkeluar pada bahagian atas kadbod.


Anda akan memperoleh sesuatu seperti gambar di atas.


Kemudian masukkan wayar-wayar tadi kepada lubang yang terdapat pada pemegang mentol. Pemegang mentol akan berada pada bahagian atas kadbod hitam itu tadi.


Buka penebat pada hujung wayar dan sambungkan wayar-wayar tadi pada skru yang terdapat pada pemegang mentol.


Pasangkan mentol pada pemegang mentol. Pastikan anda pasangkan mentol dengan kemas. Berhati-hati semasa mengendalikan kaca mentol kerana ia mudah pecah! 


Sekarang, uji sambungan litar elektrik anda. Pasangkan kedua-dua bateri atau sel kering pada bahagian bawah kadbod. Pastikan terminal bateri betul pada tempatnya. Pemasangan bateri pada pelita ini juga bertindak sebagai 'suis' kepada pelita anda!


Wow! Mentol sudah menyala. Ini bermaksud sambungan litar elektrik anda betul dan kemas. Sekiranya tidak menyala, semak semula sambungan bateri samada ia berada pada terminal yang betul atau tidak. Ataupun sambungan wayar pada pemegang mentol mungkin longgar. Jika ia, cuba anda kemaskan dulu :). Cabut bateri dari pemegang bateri terlebih dahulu untuk kita meneruskan membuat bahagian badan pelita pula.


Anda boleh menghasilkan badan pelita mengikut warna kegemaran anda. Untuk memulakan, lipat plastik bewarna ini kepada bentuk yang anda suka. Lipat empat seperti gambar di atas untuk menghasilkan pelita berbentuk segi empat.





Gunting plastik berwarna untuk menghasilkan rekabentuk badan pelita seperti di atas. Anda juga boleh mengubahsuai mengikut kreativiti anda sendiri:)



Kemudian lekatkan bahagian badan pelita pada kadbod hitam tadi.


Tebuk dua lubang seperti gambar di atas.


Ikat tali supaya anda boleh menggantung dan membawa pelita anda dengan mudah.


Akhir sekali, anda boleh menambah bahan-bahan perhiasan lain seperti pelekat dan sebagainya mengikut kreativiti anda. 'DIY' pelita berkuasa bateri sudah pun siap  sambil kita turut 'hands-on' belajar menyambungkan litar elektrik lengkap.

Selamat mencuba! 







Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            

Friday, 10 June 2016

Marshmallow Vakum



Cuba ini!

Ambil sebuah bekas plastik kedap udara. Masukkan beberapa Marshmallow ke bekas itu. Kemudian, pam untuk mengeluarkan udara dari dalam bekas itu. Apabila bekas dipam, udara akan keluar dari bekas itu. Jadi kandungan udara dalam bekas plastik itu menjadi hampir tiada  ataupun keadaan ini dipanggil 'vakum'. 

Teruskan mengepam sambil memerhati perubahan saiz pada Marshmallow. Marshmallow semakin bertambah saiznya apabila semakin banyak udara yang keluar dari bekas itu. Wow! 'Lagi banyak udara keluar, lagi besar saiz Marshmallow'. Apa yang berlaku?

Kemudian tekan pula bahagian tengah penutup  untuk memasukkan kembali udara ke dalam bekas plastik tadi. Cuba perhatikan dengan teliti! Apa pula yang berlaku pada Marshmallow? Marshmallow mengecil dan kembali ke saiz asalnya.

Ulang langkah-langkah di atas tetapi kali ini cuba dengan belon pula seperti dalam video di bawah ini;




Apa yang berlaku?

Marshmallow mempunyai banyak poket udara. Apabila udara dipam keluar, tekanan udara di dalam Marshmallow menjadi lebih tinggi berbanding tekanan udara di dalam bekas plastik itu. Ini menyebabkan saiz Marshmallow menjadi besar.

Apabila bahagian tengah penutup bekas plastik itu ditekan, udara akan masuk semula ke dalam bekas dan tekanan udara di dalam bekas menjadi kembali normal. Saiz Marshmallow juga akan kembali kepada saiz asal.

Keadaan di dalam bekas menjadi hampir 'vakum' (ruang tiada jirim) semasa kita mengepam udara keluar dari dalam bekas. Keadaan ini menyebabkan saiz Marshmallow menjadi lebih besar. Jadi, adakah saiz manusia akan menjadi lebih besar sekiranya kita pergi ke ruang angkasa lepas tanpa memakai sut angkasa?




Kunjungi 'A Guide To The Galaxy | An Astronomical Experience' di Petrosains, KLCC dari 
1 Jun 2016 - 30 Jun 2016 !
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            


Wednesday, 8 June 2016

Telur X-Ray



Cuba ini!

Ambil sebiji telur ayam. Pegang telur dengan menggunakan penyepit. Kemudian halakan telur ayam ke atas nyalaan api lilin sehingga jelaga tersebut menyelaputi seluruh telur ayam. Kulit telur ayam akan menjadi bertukar menjadi warna hitam (lihat gambar di sebelah kiri).

Ambil sebekas air paip dan isikan air paip itu di dalam sebuah bekas yang lutsinar. Celupkan telur yang berwarna hitam tadi (yang diselaputi oleh jelaga) ke dalam air. Apa yang anda perhatikan? (lihat gambar di sebelah kanan). 
Anda dapat melihat 'Telur X-Ray'! 

Telur itu kelihatan lutsinar ataupun seperti 'x-ray' di mana  seolah-olah anda boleh melihat  bahagian dalam telur itu iaitu kuning telur!

Mari tonton video di bawah ini untuk melihat bagaimana untuk membuat aktiviti ini!


Apa yang berlaku?

Apabila telur di halakan ke atas nyalaan api, jelaga akan menyelaputi permukaan kulit telur itu.  Jelaga adalah berwarna hitam dan juga dikenali sebagai 'karbon'. Ia bersifat 'hidrofobik' iaitu tidak suka pada air. Apabila telur dimasukkan kedalam air, sifat hidrofibiknya akan menghasilkan satu lapisan ruang udara di antara air dan telur.


Fenomena pembiasan cahaya berlaku apabila cahaya melalui dua medium yang berbeza; contohnya air dan udara. Hasilnya, sesuatu objek akan kelihatan lebih besar didalam air. Di dalam eksperimen ini pula, sifat jelaga yang 'hidrofobik' menolak air daripada melekat pada telur dan menghasilkan satu lapisan udara di antara air dan telur. Lapisan udara ini, menambahkan lagi pembiasan kerana medium yang dilalui cahaya telah bertambah. Jadi, bahagian  'x-ray' yang anda lihat pada telur tadi sebenarnya adalah kesan pembiasan cahaya. 

Bahagian yang dapat dilihat seperti kuning telur itu pula sebenarnya bukanlah kuning telur tetapi ia adalah telur itu sendiri. Menarik tak?



Selamat mencuba!



Kunjungi 'A Guide To The Galaxy | An Astronomical Experience' di Petrosains, KLCC dari 
1 Jun 2016 - 30 Jun 2016 !
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger