Tuesday, 13 December 2016

Bagaimana Nasi Kerabu Mendapat Warna Biru?


Nasi kerabu merupakan hidangan popular yang berasal dari negeri Kelantan. Pada kebiasaannya ia dihidangkan bersama sambal tumis, kerisik (sambal) ikan, ulam-ulaman, lada solok, telur asin, ikan celup tepung, daging bakar dan ayam percik. Oh! Jangan lupa keropok, budu dan air sirap ais! Lazatkan? 


Saya terpanggil untuk menghasilkan sebuah dokumentasi perkongsian ringkas mengenai warna biru pada nasi kerabu seusai sambutan iftar keluarga baru-baru ini. Anak sayalah yang bertanyakan soalan cepu emas ini. Jom kita kupas jawapannya satu persatu. 

Pertama sekali, ingin saya memperkenalkan sejenis bunga yang bertanggungjawab ke atas persoalan ini. Bunga nasi kerabu berwarna biru nila (indigo), yang dikenali juga sebagai bunga Telang berasal dari spesis pokok kekacang yang hidup memanjat. Bunganya menjadi pewarna makanan popular sejak zaman dahulu lagi.


Ringkasan taksonomi bunga Telang


Jadi, bagaimana caranya untuk menghasilkan pewarna nasi kerabu? Saya memetik beberapa kuntum bunga Telang dari halaman ibu untuk tujuan perkongsian ini. Bunga tersebut direndam dalam secawan air suam (tidak terlalu panas supaya ia tidak kehilangan khasiatnya). Air biru nila yang terhasil di gunakan untuk memasak nasi kerabu. Sudah pasti bahan lain sebagai pembangkit aroma nasi seperti serai, daun lima purut dan daun pandan ditambah bersama beras tadi. Masak nasi seperti biasa dan anda akan dapati warna nasi anda berwarna biru!


Anthocyanin (Antosianin) adalah sebatian kimia semulajadi yang memberi pigmen biru pada bunga Telang. Antosianin juga boleh didapati pada buah-buahan seperti beri dan buah senduduk, bunga seri pagi dan sayur-sayuran seperti kobis merah (red cabbage) dan terung. Sebatian kimia ini tidak berbahaya malah dipercayai boleh menjadi agen awet muda! Selain daripada digunakan sebagai pewarna makanan untuk nasi kerabu dan kuih-muih, ia juga digunakan dengan meluas sebagai nila atau pewarna fabrik semulajadi. 


Mahu cuba ekperimen lain menggunakan pewarna anthocyanin ini? Ini petunjuknya… Anthocyanin sebenarnya penunjuk pH semulajadi. Ia boleh digunakan untuk menguji keasidan atau kealkalian sesuatu larutan. Sebagai contoh, jika anda menitiskan sedikit air sabun, larutan biru “berantosianin” (dari rendaman bunga Telang) akan bertukar daripada warna biru kepada warna biru kehijauan. Apa lagi? Cubalah uji larutan atau cecair yang anda boleh perolehi di sekitar dan dalam rumah seperti pencuci lantai, syampu, cuka dan air paip. Lihat perubahan warna pada ditunjukkan oleh larutan ajaib (rendaman bunga Telang) itu dan beritahu kami!




Shared by Izhana
Guest Blogger



No comments:

Post a Comment