Thursday, 3 March 2016

Kenapa Tahi Lalat Bertambah?



Nampak tompok kecil hitam di atas permukaan kulit pada tubuh badan kita dan apabila ditanya 'ini apa?', maka jawapan yang akan diberikan ialah 'ini adalah tahi lalat'. 'Tahi lalat!'. Bagaimana lalat boleh meninggalkan sisa najis pada tubuh badan kita?   Ada juga yang menganggap banyaknya bilangan tahi lalat adalah bergantung kepada banyaknya bilangan lalat yang menghinggap pada tubuh badan kita.

Sebenarnya tahi lalat merupakan kumpulan sel-sel pigmen yang muncul di kulit. Ia berasal daripada melanosit yang menghasilkan melanin. Melanin adalah pigmen yang bertanggungjawab memberi warna kepada kulit dan rambut kita.  Apabila sel-sel melanosit ini tidak tersebar ke seluruh kulit, ia akan berkelompok dan menghasilkan tahi lalat. 



Samada kita menyedarinya atau tidak, bilangan tahi lalat pada tubuh badan kita  semakin bertambah selaras usia kita meningkat dewasa. Ini adalah disebabkan peningkatan hormon seks iaitu estrogen dan progesteron dalam badan kita.  Secara tidak langsung, bilangan tahi lalat akan berkurangan apabila kita semakin tua akibat penurunan kandungan hormon dalam badan kita.

'Tahi lalat hidup' pula adalah tahi lalat yang mempunyai salur darah di dalamnya. Namun samada tahi lalat biasa atau tahi lalat hidup, kedua-duanya adalah tidak merbahaya. Tetapi sekiranya saiz tahi lalat bertambah dengan cepat dalam masa setahun, mengeluarkan darah atau gatal-gatal, pemeriksaan lanjut dengan doktor pakar adalah langkah yang perlu disegerakan!




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger

No comments:

Post a Comment