Thursday, 3 December 2015

Mengapa Wujudnya Laluan Bercorak Timbul Ini?



Adakah anda pernah melihat laluan bercorak timbul di atas ketika anda berjalan di laluan pejalan kaki?  Pernahkah terlintas di fikiran anda apakah fungsi laluan ini? Atau juga anda mungkin tidak pernah terfikir yang laluan bercorak timbul disediakan atas sebab-sebab tertentu? Mungkin juga ada segelintir menganggap lantai yang bercorak timbul ini adalah hanya sebagai jubin hiasan lantai?


Laluan bercorak timbul ini ataupun 'tactile' ini bukan sahaja terdapat di laluan pejalan kaki tetapi boleh dijumpai di merata kawasan termasuk di stesen-stesen pengangkutan transit aliran ringan. Tetapi apakah sebenarnya fungsi laluan 'tactile' ini?


Rata-rata memberi jawapan yang laluan bercorak timbul ini bertujuan untuk mengurangkan geseran pada permukaaan lantai ketika permukaan lantai basah atau licin. Jawapan ini salah! Laluan 'tactile' disediakan bertujuan bagi memudahkan dan membantu golongan yang mengalami kecacatan penglihatan untuk berjalan dengan selamat di kawasan-kawasan awam dan di laluan pejalan kaki. 


Istilah 'tactile' membawa maksud 'sentuhan'. Atau lebih menjurus kepada deria sentuhan. Kerana itulah ia bercorak timbul untuk memberi amaran kepada mereka yang mengalami kecacatan penglihatan menggunakan deria sentuhan sebagai panduan untuk berjalan di tempat awam.

Laluan bercorak timbul ini mempunyai pelbagai jenis corak di mana ia memberi maksud amaran yang berbeza-beza. Melalui deria sentuhan, maklumat akan dihantar melalui sistem saraf manusia kepada otak untuk tafsiran maklumat. Dalam perkara ini, 'tactile' yang berbeza coraknya akan memberi maksud samada untuk berjalan lurus atau perlu berhenti kerana terdapat halangan di hadapan.

Anda boleh mencuba laluan ini! Pejam mata dan cuba gunakan deria sentuhan yang kita ada! 





Posted by Ayu
Petrosains

No comments:

Post a Comment