Friday, 17 February 2017

Terokai Hubungkait Ekosistem Darat-Akuatik Melalui Satu Eksperimen Mudah!


Terokai hubungkait di antara ekosistem darat (terrestrial) dengan akuatik...


Kebiasaannya, ramai yang beranggapan ekosistem darat (terrestrial) dan ekosistem akuatik merupakan dua ekosistem yang berasingan. Tetapi sebenarnya dua ekosistem ini adalah berhubungkait antara satu sama lain melalui pelbagai cara. Salah satu daripadanya adalah melalui air.

Air merupakan keperluan asas bagi semua benda hidup. Air berpunca dari kawasan tanah tinggi dan akan melalui tanah sebelum ia memasuki ke dalam sungai, tasik dan laut. Air yang melaui tanah akan membawa bersama daun-daun kering, nutrien dari tanah, bahan kimia pertanian, garam dan sisa hidrokarbon dari kenderaan yang dipercayai boleh memberi kesan mendalam kepada benda hidup di dalam ekosistem akuatik. 

Sejurus bahan-bahan ini memasuki tanah, ia akan mengubahsuai keadaan komuniti di dalam ekosistem akuatik dari segi biologi, fizikal dan kimia. 


Model 'Terra-Aqua Column'
Cuba bina satu model 'Terra-Aqua Column' yang  membolehkan kita melihat sendiri dan meneroka hubungkait  di antara ekosistem daratan dan ekosistem akuatik. 

Model ini terdiri daripada dua unit. Bahagian atas botol (A) yang telah dipotong dan diterbalikkan diisi dengan tanah dan tumbuh-tumbahan mewakili ekosistem darat (terrestrial) manakala bahagian bawah botol (B) yang diisi dengan air dari kolam, tasik atau sungai mewakili sistem akuatik. 

Tali yang diperbuat dari kapas digunakan pada model ini dan ia berfungsi untuk mengangkut air masuk (melalui peresapan dan tindakan kapilari) ke dalam kedua-dua ekosistem ini.

Letakkan model ini berhampiran dengan tingkap ataupun dengan sumber cahaya matahari. Biarkan ia di situ. Lakukan pemerhatian setiap hari dan catatkan apa-apa perubahan yang dapat dilihat. 

Pelbagai aspek boleh diketahui melalui kajian interaksi daratan-akuatik ini. Di antaranya adalah:-
1) Nutrien yang terkandung di dalam tanah
2) Kepekatan tanah
3) Kesan pestisid 
4) Pertumbuhan alga dan tumbuhan akuatik
5) Faktor fizikal seperti cahaya dan suhu yang mempengarui kadar pertumbuhan benda hidup
... dan lain-lain lagi


Tonton video di bawah ini untuk melihat cara membina model 'Terra-Aqua Column'!



Mudah bukan? Anda boleh mencubanya sendiri di rumah. Selamat berjaya!


Glosari:
1. Ekosistem - Sistem ekologi semulajadi yang terbentuk sebagai hasil daripada tindakan yang menyaling antara benda-benda hidup dan persekitarannya.



Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger 

No comments:

Post a Comment