Mungkin anda pernah atau tidak melalui sebuah jambatan, tetapi pernahkah anda terfikir bagaimanakah jambatan yang panjang mampu menampung beban begitu banyak kenderaan atau pejalan kaki? Untuk membina sebuah jambatan yang kukuh dan stabil, banyak faktor yang perlu diambil kira seperti jenis bahan yang digunakan, reka bentuk jambatan dan juga faktor persekitaran.
Dari segi fizik pula, faktor utama yang perlu dititikberatkan adalah daya mampatan dan tegangan. Sesebuah jambatan akan melentur apabila terdapat beban di atasnya dan menyebabkan sebahagian struktur mengalami tegangan manakala sebahagian lagi mengalami mampatan. Sekiranya sebuah jambatan tidak direka dengan baik, daya mampatan boleh melengkungkan jambatan, manakala daya tegangan boleh mematahkannya. Lihat rajah di bawah yang menunjukkan bagaimana daya mampatan dan tegangan bertindak ke atas sebuah jambatan.
Untuk membina sebuah jambatan bukanlah mudah, tetapi anda boleh mencubanya sendiri di rumah. Dengan bahan-bahan yang mudah didapati, seperti batang aiskrim, anda boleh membina model jambatan anda sendiri. Untuk menjadikannya satu cabaran yang menarik, cuba bina sebuah model jambatan sepanjang 1 meter yang mampu menampung beban seberat 2 kg. Anda juga boleh menggunakan bahan-bahan lain seperti kayu penyepit, pita pelekat dan benang bagi mengukuhkan lagi model jambatan tersebut seperti dalam gambar-gambar berikut:-
Gambar-gambar di atas diambil semasa pihak Petrosains membuat aktiviti ‘Designing A Bridge’ bersama pelajar-pelajar sekolah menengah dengan usahasama MIGHT (Malaysian Industry-Government Group for High Technology) di bawah inisiatif program ‘Science to Action: TinkerMind’, sebagai salah satu aktiviti kepada 50 buah sekolah menengah di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2015-2016.
Bersedia untuk menyahut cabaran membina jambatan? Cubalah sendiri, dan beritahu kami jika anda berjaya melakukannya!
#tinkermind #petrosains
Shared by Nurhayati Zulkifli
Guest Blogger