Thursday 30 June 2016

Tengok Anak Bulan, Sebenarnya Nampak Apa?


Di ruang angkasa lepas, Bulan berada di antara  Bumi dan Matahari (seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah). Sambil berputar pada paksinya , Bulan juga beredar mengelilingi Bumi.  

Bentuk Bulan yang dilihat di langit berubah-ubah daripada masa ke semasa. Perubahan bentuk Bulan ini berlaku bergantung kepada bahagian permukaan Bulan yang memantulkan cahaya Matahari ke Bulan berubah semasa Bulan beredar mengelilingi Bumi. Bentuk-bentuk Bulan yang berbeza dikenali sebagai fasa Bulan. Setiap putaran lengkap Bulan atau tempoh masa dari satu fasa ke fasa bulan yang lain mengambil masa selama 29 ½ hari.


Dalam terminologi astronomi, anak bulan merupakan fasa bulan yang berlaku apabila Bulan berada sebaris dengan Matahari. Pada ketika ini jika dilihat dari Bumi, bahagian yang gelap (yang tiada matahari) pada permukaan bulan akan menghadap ke arah Bumi. Jadi daripada pandangan mata kasar, bulan adalah tidak kelihatan. 


"Kita nampak apa, bila tengok anak bulan?" 

Ramai yang mempunyai tanggapan sendiri tentang rupa anak bulan. Anak bulan bukanlah bulan yang bersaiz lebih kecil daripada saiz sebenar ataupun ia juga bukanlah bulan sabit. 

Anak bulan secara astronomi ialah bulan gelap. Kita tidak dapat melihat apa-apa bentuk bulan dengan mata kasar. Walaubagaimanapun, kelihatan sedikit bulan sabit  (yang mana menurut pengiraan penentuan anak bulan, ia masih belum dikira sebagai hari pertama) apabila dilihat melalui teleskop. Selepas anak bulan, barulah bulan sabit pertama akan muncul dan ini menandakan bermulanya bulan baru .



Perbuatan melihat anak bulan untuk menentukan bermulanya hari pertama dalam bulan baru selalunya akan dilakukan pada malam hari ke 29. Sekiranya semasa cerapan bulan sudah menampakkan anak bulan, maka keesokkan hari adalah dikira sebagai 1 haribulan ataupun hari pertama dalam bulan baru menurut kalendar lunar seperti takwim hijrah dan kalendar Cina. Sungguhpun begitu dalam kalendar Cina, permulaan bulan dimulai dengan bulan gelap. 


"Perayaan Tahun Baru Cina di sambut satu hari lebih awal daripada sambutan Hari Raya. Tarikh Tahun Baru Cina adalah berdasarkan kalendar Cina dan Hari Raya adalah berdasarkan kalendar takwim hijrah. Kedua-dua kalendar ini adalah kalendar lunar yang berpandukan pada putaran lengkap Bulan. Bagaimana ini terjadi?" Anda pasti sudah mampu untuk menghuraikan sebab-sebabnya:)




Posted by Ayu Royani
Petrosains Blogger            

No comments:

Post a Comment