Monday, 14 September 2015

Kenapa Lebam Ada Pelbagai Warna?


Apakah itu lebam?
Lebam ialah kecederaan pada tisu kulit kesan terkena hentaman atau ketukan yang kuat. Ia mengakibatkan  saluran darah terkecil dalam badan iaitu kapilari darah pecah akibat terkena hentaman.


Kenapa darah berwarna merah?
Darah tediri dari hemoglobin (Hb) yang merupakan molekul protein di dalam sel darah merah yang bergabung dengan oksigen dan karbon dioksida untuk diangkut melalui sistem peredaran darah ke tisu-tisu dalam badan. Ion besi (Ferum) dalam bentuk Fe+2 dalam hemoglobin memberikan warna merah pada darah.



Bagaimana lebam berubah warna? 
Lebam terjadi selepas terkena hentaman atau ketukan. Pada mulanya, lebam akan kelihatan berwarna biru kehitaman dan seterusnya berubah menjadi kehijauan. Kemudian ia akan berubah menjadi warna kuning sebelum menjadi normal kepada warna asal kulit kita.

Apabila hentaman atau ketukan berlaku pada permukaan badan kita, kapilari darah akan pecah. Kapilari darah ibarat saluran paip yang mengangkut darah darah beroksigen dalam badan. Darah akan terkeluar dari saluran kapilari apabila ia pecah akibat hentaman. 

Apabila darah berada di luar kapilari darah, darah tadi akan terperangkap dan ia tidak lagi berfungsi. Dari pandangan luar ianya kelihatan biru kehitaman. Pada masa inilah sel lain yang dikenali sebagai 'fagosit' akan datang mengepung dan menguraikan kepada bentuk yang teringkas.

Semasa proses ini berlaku, hemoglobin tadi akan diuraikan dan bertukar kepada biliverdin, sejenis cecair dari hempedu, yang menukarkannya dari biru kehitaman menjadi warna kehijauan. 

Proses ini berterusan di mana sel fagosit tadi akan menukarkan biliverdin tadi kepada bentuk yang lebih mudah, iaitu bilirubin yang berwarna kuning. Ianya akan diakhiri dengan penguraian hemoglobin kepada bentuk yang teringkas iaitu hemosiderin. Homosiderin berwarna perang dan merupakan bentuk teringkas ion Ferum dalam darah. Ia akan diserap ke dalam badan untuk dikumuhkan. 


Tahukah anda? 
1. Lebam mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu untuk kesan warnanya hilang sepenuhnya.
2. Adakalanya kesan lebam seolah-olah menghala ke bawah disebabkan oleh tarikan graviti yang menariknya ke bawah.
3. Biliverdin dan bilirubin juga merupakan pigmen warna yang memberi warna kepada air kencing dan najis kita.


2. http://findersfree.com/health-safety/why-color-changes-bruise




Shared by Kamarul Annuar
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment