Wednesday, 16 October 2013

Kenapa tambah garam untuk membuat aiskrim?

Pernahkah anda mencuba untuk membuat aiskrim sendiri di rumah? Ya, sebenarnya kita mampu membuat aiskrim sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi seharian di samping boleh mempelajari sains daripada aktiviti yang amat menyeronokkan ini.
Bagaimanakah cara untuk membuatnya? Mudah sahaja. Ia hanya mengambil masa kurang daripada satu jam. Bahan-bahan yang digunakan adalah secawan susu segar, 1 sudu gula, sesudu garam, ketulan-ketulan air batu, plastik berzip kecil, plastik berzip besar, suratkhabar, dua helai tuala dan mangkuk.
Mula-mula, masukkan gula dan susu ke dalam plastik berzip kecil. Kacau campuran tadi dan zipkan plastik itu dengan kemas. Masukkan ketulan air batu sehingga separuh penuh ke dalam plastik berzip yang besar. Kemudian taburkan sesudu garam ke dalam plastik berzip besar yang mengandungi ketulan air batu tadi. Seterusnya, plastik berzip kecil yang mengandungi campuran susu tadi dimasukkan ke dalam plastik berzip besar. Penuhkan plastik berzip besar dengan air batu dan zipkan plastik itu dengan kemas.
Kemudian bungkuskan dengan suratkhabar. Seterusnya ia pula dibungkus dengan tuala seperti bentuk gula-gula. Akhir sekali, kita perlu menggoncangkannya selama 10 minit.
Sesuatu yang menakjubkan telah berlaku! Bukakan kesemua balutan tuala dan suratkhabar dan keluarkan plastik berzip kecil. Aiskrim sudah pun menjadi! Keluarkan ia dari plastik dan letakkan ke dalam mangkuk untuk di makan.
Tahukah anda bagaimana telah berlakunya perubahan keadaan jirim pada campuran susu tadi dari cecair kepada keadaan separa pepejal iaitu menyerupai tekstur seperti aiskrim. Proses perubahan keadaan jirim dari cecair ke pepejal dinamakan ‘pembekuan’. Fungsi garam dalam pembuatan aiskrim bukanlah untuk memberi rasa terhadap aiskrim tadi malah ia berfungsi untuk menurunkan takat beku ketulan air batu tadi. Ini dapat diperhatikan dengan lebih terperinci dan jelas sekiranya kita menyukat dan mencatat suhu air batu dengan menggunakan termometer sebelum dan selepas penambahan garam.
Tentunya setiap orang mempunyai citarasa aiskrim kegemaran masing- masing. Selain menggunakan susu segar, kita juga boleh mencuba untuk menghasilkan aiskrim berperisa lain seperti oren, strawberi dan coklat.
Aktiviti seperti ini memang sesuai dijalankan bersama keluarga pada masa lapang. Selain dapat mempelajari cara membuat aiskrim, kita dapat melihat sendiri perubahan keadaan jirim dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain dan memahami proses sains yang terlibat. Tambahan pula ia boleh dijalankan oleh semua peringkat umur walau di mana saja kerana bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan seharian yang senang diperolehi.
#petrosainsfest



Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains


9 comments:

  1. saya baru lepas buat waktu mata pelajaran sains tadi...

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  3. selain bersenam leh sejuk badan lepas bersenam haha

    ReplyDelete
  4. Kenapa buh garam kat ais???? Bodo punya artikal soalan lain jawab lain

    ReplyDelete
  5. Mengapakah tuala kecil digunakan semasa menggoncang beg plastik?

    ReplyDelete