Tuesday, 6 August 2013

Cahaya Pelita Kerosin

Pelita minyak tanah
Entah mengapa saban hari dan tahun menjelang Hari Raya, perasaan untuk melihat pelita minyak tanah yang selalunya dipasang untuk menerangi halaman rumah pada waktu malam sering terbuak-buak. Tatkala melihatnya, jelas terpancar wajah ceria menghargai kemeriahan suasana itu untuk menyambut Hari Raya. Hari Raya merupakan perayaan yang dirayakan oleh penganut beragama Islam di seluruh dunia tidak mengira bangsa sama ada Melayu, India dan sebagainya.
Pelita minyak tanah
Pelita Minyak tanah atau kerosin akan dinyalakan pada waktu malam dan dipasang mengelilingi rumah bagi menyemarakkan suasana meriah untuk menyambut Hari Raya. Walaupun pelita minyak tanah ini kian dilupakan oleh masyarakat setempat, tetapi masih ada lagi segelintir golongan yang masih menggemarinya. Pelita minyak tanah ini juga boleh dikatakan sebagai  simbol tradisi masyarakat setempat yang 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Di Malaysia, ramai yang akan bercuti panjang sempena menyambut perayaan ini. Selalunya ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambutnya bersama keluarga tercinta. Dalam perjalanan pulang ke kampung, selalunya kita lebih berpeluang untuk melihat pelita minyak berbanding di kawasan bandar. ada juga yang sudah memodifikasi pelita minyak tanah ini kepada pelita lampu yang menggunakan tenaga elektrik yang sering dijadikan dekorasi dalaman di pusat-pusat membeli belah.
Pelita minyak tanah boleh diperolehi di kedai-kedai ataupun di pasar raya dengan harga yang sangat berpatutan. Tetapi kebanyakan penduduk kampung membuatnya sendiri menggunakan bahan-bahan terpakai kitar semula untuk menghasilkan pelita minyak tanah. Ia boleh diperbuat daripada tin-tin susu, buluh dan juga tempurung kelapa. Ia digelar sebagai pelita minyak tanah kerana ia menggunakan minyak tanah atau kerosin sebagai sumber bahan api untuk dinyalakan apinya. Jika diperhatikan pada gambar, minyak tanah akan diisi di dalam bahagian berwarna biru. Terdapat sumbu yang diperbuat daripada tali guni dipasang di tengah-tengah sehingga menyentuh minyak tanah. Minyak tanah  akan naik meresap ke atas melalui sumbu tali guni oleh tindakan kapilari.
 
Minyak tanah ataupun kerosin dan juga dikenali sebagai parafin di sesetengah tempat adalah merupakan hidrokarbon dalam bentuk cecair yang tidak berwarna dan mudah terbakar. Kerosin digunakan sebagai bahan api untuk pesawat terbang, kapal-kapal kecil serta untuk tujuan pemanasan memasak dan pencahayaan.  

Pada masa dulu, permintaan penggunaan kerosin adalah lebih tinggi berbanding bahan api yang lain seperti petrol dan diesel. Kerosin digunakan secara meluas untuk tujuan pencahayaan. Kebanyakan kawasan pedalaman di Asia bergantung kepada lampu minyak tanah sebagai sumber pencahayaan kerana tiada bekalan elektrik. Minyak tanah juga digunakan oleh masyarakat setempat  untuk memasak dengan menggunakan dapur minyak tanah. Faktor minyak tanah digunakan dengan lebih meluas adalah kerana harganya lebih murah berbanding sekarang.

Tetapi, mengapakah kerosin masih digunakan sebagai bahan api untuk sumber cahaya pelita ini?



Hidrokarbon dalam petroleum diasingkan melalui proses penyulingan berperingkat. Semasa penyulingan berperingkat, petroleum dipanaskan dalam sebuah menara pemeringkat. Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih rendah meruap terlebih dahulu , naik ke bahagian atas menara lalu dikondensasikan dan diasingkan. Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih tinggi akan terkumpul di bahagian bawah menara dan dikondensasikan sebagai cecair.

Hasil daripada penyulingan berperingkat ini, kerosin merupakan hasil penyulingan yang berada di tengah- tengah menara berperingkat dan mempunyai takat didih di antara 150 darjah Celcius  ke 300 darjah Celcius di mana ia adalah lebih rendah berbanding diesel, minyak pelincir dan bitumen. Jadi secara struktur kimianya, kerosin mempunyai rantaian karbon yang lebih pendek. Warnanya  lebih cerah dan ia mempunyai kelikatan yang lebih rendah. Kerosin juga mudah terbakar. Nyalaan api kerosin adalah lebih bersih dan kurang berjelaga. Maka, itulah sebabnya mengapa kerosin digunakan sebagai bahan api untuk pelita.

Walaupun begitu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan api- 'apabila kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan'. Sentiasa berhati-hati agar kemeriahan untuk menyambut perayaan boleh dinikmati bersama dalam keadaan yang gembira dan selamat.





Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains

1 comment:

  1. salam hormat, mohon "share" gambar pelita minyak tanah (atas)..

    ReplyDelete