Pertandingan Petrosains Science Show
Competition merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh pihak Petrosains
untuk pelajar-pelajar sekolah menengah semenjak tahun 2009. Pertandingan ini
merupakan platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat mereka dalam
menyampaikan topik sains bersama fakta saintifik dan menarik dengan santai dan
bersahaja namun penuh informatif. Pertunjukan yang perlu dipersembahkan secara
solo atau duo merangkumi 4 eksperimen sains yang perlu dipersembahkan dalam
masa 15 minit.
Petrosains Science Show Competition 2016
(PSSC 2016) telah pun memahat sejarah baharu penganjuran di mana pada tahun
ini, sebanyak 1554 penyertaan telah diterima daripada sekolah-sekolah seluruh
Malaysia. Masih lagi mendapat tajaan sepenuhnya oleh Bank Islam Malaysia Berhad buat
tahun kedua berturut-turut, PSSC 2016 yang turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia bakal menyaksikan 18 pasukan bakal berentap di
peringkat kebangsaan yang menjanjikan persaingan paling sengit setakat
ini.
Tanggal 27 Oktober 2016, berlokasi di
Auditorium Kompleks E, Putrajaya bakal melakar sejarah pertandingan PSSC 2016
yang sudah menginjak ke tahun kelapan penganjuran. Seiring usia pertandingan,
kematangan dapat disaksikan melalui barisan pasukan yang akan berentap di
peringkat kebangsaan nanti. Masakan tidak, 3 pasukan yang pernah dinobatkan sebagai
juara PSSC sebelum ini bakal berentap sesama sendiri. Persaingan bertambah
sengit dengan kehadiran wajah-wajah yang tidak asing dengan pertandingan ini
samada guru, pelajar mahupun sekolah yang pernah bergelar finalis.
Juara bertahan, SMK Tamparuli dari Sabah
juara tahun 2015 bakal dicabar pemenang PSSC edisi keenam, SMK Tun Abdul Razak,
Kuching bersama juara PSSC 2013, SMK Panchor, Seremban yang kali ini tampil
dengan persembahan berbeza. SMK Tamparuli mempertaruhkan Janet Anne Albert dan
Eva Melinda di bawah bimbingan Cikgu Ernest Kelly Subin yang sudah mencipta
rekod tersendiri dalam sejarah PSSC. Pada tahun 2013, Cikgu Ernest membawa SMK
Tamparuli memenangi Anugerah Bintang Harapan. Setahun kemudian SMK Tamparuli berjaya
mendapat tempat kedua sebelum menggondol juara PSSC 2015.
Lebih manis, SMK Tamparuli merupakan
satu-satunya finalis wanita dan mereka layak ke peringkat kebangsaan melalui
tiket wild card pada tahun lalu.
Peserta wild card merupakan calon
bukan pilihan kerana pada dasarnya hanya pemenang negeri yang layak mara ke
pusingan akhir namun atas faktor persembahan yang memberangsangkan, 2 pasukan
yang mendapat tempat kedua peringkat negeri akan terpilih untuk mara ke
peringkat kebangsaan mengiringi 16 juara negeri-negeri yang lain.
Untuk rekod, sudah ada 2 sekolah yang
mendapat tiket wild card dan bergelar
juara PSSC yakni SMK Panchor yang telah melakukannya buat pertama kali pada
tahun 2013 seterusnya SMK Tamparuli mengulangi sejarah pasukan wild card yang menyerlah dan bersinar
sebagai sang juara. Adakah SMK Panchor bakal melakar satu lagi sejarah
memandangkan pada tahun ini, mereka layak ke peringkat kebangsaan juga atas
tiket wild card? Lebih menarik, SMK
Panchor bakal menampilkan satu-satunya peserta solo wanita, Melissa Kelvin yang
mendapat bimbingan Cikgu Zulkiflee Muhammad yang begitu prolifik menghasilkan
karya persembahan yang bermutu saban tahun. Adakah juara solo akan terhasil
melalui persembahan Melissa?
Perjalanan yang sedikit berbeza bagi juara
PSSC 2014, SMK Tun Abdul Razak, Kuching. Di bawah bimbingan cikgu Tchong Fui
Mui, mereka menyertai PSSC buat pertama kali pada tahun 2014. Takdir sudah
tertulis, di mana perjalanan mereka dipermudahkan dengan muncul Johan peringkat
negeri Sarawak seterusnya dinobatkan juara pada tahun tersebut. Pada tahun
2015, mereka tidak menyertai PSSC namun pada tahun ini, mereka berjaya membuat come back di mana sekali lagi mereka
berjaya menjadi Johan PSSC Peringkat Negeri Sarawak. Persoalannya, perjalanan
yang bakal dilalui oleh peserta paling senior, Santa Senthia & Jokryno
mungkin sedikit berbeza dan tidak semudah yang dijangka. Namun, jika mereka
berjaya, sejarah 2010 bakal diulangi di mana pasangan peserta lelaki dan wanita
akan dikalungkan sebagai pemenang.
Kehadiran 2 pasukan ini jangan dipandang
mudah kerana mereka juga berpengalaman beberapa tahun menjadi finalis PSSC
sebelum ini. Pencapaian terbaik yang diperoleh SMK Seksyen 10 Kota Damansara
adalah mendapat tempat kedua pada tahun 2013. Pada tahun 2014, Simon Michael
& Xin Ruu menampilkan persembahan memukau sehingga menggondol Anugerah
Penyampai Terbaik & Anugerah Demonstrasi Paling WOW namun nasib tidak
menyebelahi mereka. Dan pada tahun ini, sekali lagi di bawah bimbingan Cikgu
Mazni Abdul Wahab, keserasian gandingan Jayram & Idzhar mungkin menggugat
kedudukan pasukan yang pernah menjadi juara PSSC.
Tidak dilupakan, SMK Sultan Ismail yang
pernah mendapat tempat ketiga edisi PSSC 2013, peserta finalis tahun lalu,
Muhammad Firdaus Danial Tan bersama pasangan yang baru, Ahmad Akif Syarafuddin
juga tidak boleh dipandang enteng. Mereka mungkin membuat kejutan sekiranya
persembahan mereka cemerlang di bawah tunjuk ajar cikgu Nur Sahrizan.
Bagi SMK Batu Maung, Pulau Pinang pula,
pengalaman yang pernah diraih oleh cikgu Nurul Iliani yang pernah membimbing
SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang mendapat tempat ketiga PSSC 2014 semestinya
tidak akan dipersia-siakan. Sudah pasti resepi yang digunapakai sebelum ini
bakal mencantikkan lagi persembahan Akmal Zukri & Shah Faez.
Begitu juga pengalaman sebagai juri di
peringkat negeri Melaka selama beberapa tahun, Cikgu Sabiah dari SMK Durian
Tunggal, Melaka semestinya ada kaedah tersendiri memungut markah semaksimum
mungkin selepas Nurulayu Natasha & Nur Atira Natasha mengalahkan juara
bertahan, SMK Ghafar Baba ketika PSSC 2016 Peringkat Negeri Melaka baru-baru
ini.
Kejutan paling besar tahun ini sudah tentu
kejayaan SM Sains Rembau (SEMESRA) sebagai giant
killer menyekat kemaraan SMK Panchor sewaktu PSSC Peringkat Negeri
Sembilan. Ramai pihak tertanya-tanya apakah rahsia kejayaan Cikgu Azrina
membentuk Ikhwan & Syahrin Nazmeer yang begitu ionik ikatan kimianya.
Kehebatan wakil ibu kota Kuala Lumpur, SMK
Convent Bukit Nanas bakal diuji biarpun mereka telahpun mengalahkan SMK
(P) Pudu yang mempunyai 3 wakil di peringkat Kuala Lumpur selaku wakil bagi
Wilayah persekutuan Kuala Lumpur pada tahun lalu. Kepakaran Cikgu Tan Shim Yu
semestinya menyerlahkan lagi sisi bakat Robyn Leong & Juliana Heong.
Bakal disaksikan melalui saluran Astro
TVIQ bulan November nanti sejarah juga bakal tercipta jika juara baharu
diumumkan. Sementelah mereka muncul johan peringkat negeri tanpa melibatkan
pertandingan, pengalaman yang diperoleh SMK Putrajaya Presint 9(1) dan Labuan
International School pada tahun lepas mungkin sedikit sebanyak membantu guru
pembimbing. Anugerah Bintang Harapan yang digondol oleh Jamalul Haziq
Jamalulkhir akan menyuntik semangat Cikgu Fahmi yang membimbing Wan Muhammad
Amir & Ahmad Sufiyan.
Dan sekali lagi Labuan International
School menampilkan Vivian Lee di mana kali ini berpasangan dengan Fesileana
Fuzareen bersama-sama merealisasikan strategi berbeza yang disusun oleh cikgu
Azila.
Sementara wakil dari Perlis, SMK Dato'
Sheikh Ahmad yang "mencuri" slot yang selalu diraih SMK Syed
Sirajuddin melalui Afnan Nazmy & Akif Jamal mungkin mencuri tumpuan. Dengan
bimbingan guru berpengalaman, Cikgu Zainon Saman mungkin ada sentuhan magisnya.
Tidak dilupakan, pasukan yang dilabel
"underdog" seperti SMK Rantau Panjang yang mara ke peringkat
kebangsaan buat kali pertama dengan segala harapan diletakkan di atas bahu
Nurul Najwa & Nurul Balqis Ayuni yang pastinya tampil dengan identiti
tersendiri yang diilhamkan oleh Cikgu Azlini.
Jiran negeri Kelantan, Terengganu Darul
Iman pula diwakili oleh SM Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang menggabungkan
peserta lelaki dan wanita iaitu Saiful Daniel dan Norlina Raihanah di samping
tunjuk ajar Cikgu Zaiton.
Satu lagi gergasi Pantai Timur, Pahang
Darul Makmur juga akan memperjudikan nasib 2 sekolah yang diwakili oleh MRSM
Tun Abdul Razak (Amirul Naim dan Azri Iskandar) dengan bantuan Cikgu Suhaili
selaku Juara PSSC Peringkat Negeri Pahang diiringi Naib Juara PSSC Peringkat
Negeri Pahang, Ma'ahad Tahfiz Negeri Pahang dikepalai oleh Cikgu Amirun yang
mendidik Qashirah dan Aliff Furqan yang begitu bertuah dipilih secara wild card.
Satu lagi wakil dari utara, Kedah Darul
Aman pula sekali lagi menampilkan SMK Langgar yang diwakili oleh Shahir Azeem
& Suffian. Dibantu pengalaman Cikgu Azwani yang turut beraksi pada tahun
lalu sudah pasti ada peningkatan dari segi prestasi dan kandungan.
Wakil negeri Perak Darul Ridzuan, SMK
Taman tasik yang juga muncul buat kali pertama dan berjaya mengalahkan juara
tahun lalu, SMK Raja Perempuan Ipoh ketika PSSC 2016 Peringkat Negeri Perak.
Jika mereka berjaya sebagai juara, sudah pasti kenangan paling manis dan
dianggap sebagai hadiah Deepavali paling bermakna buat Yoganishalini yang akan
berpadu tenaga dengan Norhafizah dan bantuan cikgu Sharifah yang bakal
memberikan impak mengagumkan.
PSSC 2016 Peringkat Akhir bakal dihoskan
oleh pengacara popular Alif Satar dan Melissa Razak turut menjanjikan satu keunikan
di mana bermula pada tahun ini, format hadiah diubah kepada bentuk pingat.
Bermakna jumlah pingat emas, perak & gangsa masih menjadi rahsia dan
semuanya bergantung kepada konsistensi persembahan barisan finalis. Lebih manis
lagi, juara keseluruhan yang mendapat markah tertinggi berpeluang mengikuti
lawatan ilmiah ke Muzium Sains SciTech di Perth, Australia di samping membawa
pulang piala pusingan, sijil pencapaian dan wang tunai.
Anugerah-anugerah lain turut disediakan
oleh pihak penganjur. Sebanyak 7 anugerah dipertaruhkan iaitu Anugerah Pasukan
Paling Popular (berdasarkan jumlah undian tertinggi yang dibuat oleh penonton
pada hari pertandingan), Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Demonstrasi Paling
WOW, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Penyampai Terbaik, Anugerah Penyertaan
Tertinggi (Negeri) dan Anugerah Khas Juri.
Terima kasih sekali lagi kepada pihak Bank
Islam Malaysia Berhad yang sudi menaja PSSC 2016. Untuk edisi kali ini, penganjur telah
mewujudkan anugerah baharu iaitu Anugerah Penyertaan Tertinggi (Sekolah) yang
dimenangi oleh SMK Jelawat, Bachok yang telah menghantar sebanyak 126
penyertaan. Teruskan bersama PSSC 2016 yang bakal melahirkan satu lagi bintang
sains di persada. Debaran peserta PSSC 2016:Peringkat Kebangsaan bakal terjawab
pada 27 Oktober nanti.
#MyScienceShow
Shared by Mustakim Bahrudin
Guest Blogger