Rumusan penting perkongsian para peserta bengkel guru berkenaan 'Pembelajaran Bermakna' lawan 'Pembelajaran Tak Bermakna'.
"Para peserta berbincang dan beberapa orang peserta bangun dan berkongsi pengalaman mereka berdasarkan soalan-soalan berikut ...
1. Apakah pengalaman pembelajaran secara formal yang paling bermakna yang pernah anda lalui? Apakah yang menyebabkan ia sangat bermakna?
2. Apakah pengalaman pembelajaran formal anda yang paling tidak menyenangkan? Kenapakah ia tidak bermakna?"
Menerusi perbincangan, para peserta dilihat telah mengaitkan pengalaman yang dilalui dengan 'siapakah yang mengawal aspek-aspek pembelajaran'.
Apakah itu aspek pembelajaran? ~ ialah perkara dalam sesebuah pembelajaran. Terdapat 3 aspek am pembelajaran, iaitu soalan/permasalahan pembelajaran, langkah-langkah penyelesaian, dan hasil pembelajaran. Bagi setiap aspek tersebut, antara guru dan pelajar, siapakah yang ...
1. ... menentukan soalan pembelajaran atau permasalahan?
- Bermaksud, siapakah yang dominan untuk bertanyakan soalan yang menentukan arah pembelajaran/penyiasatan?
2. ... menentukan langkah-langkah penyelesaian?
- Bermaksud, siapakah yang dominan untuk menentukan alat yang boleh digunakan, atau cara data direkodkan?
3. ... menentukan hasil pembelajaran?
Ini bermaksud, adakah permasalahan itu mempunyai banyak penyelesaian yang mungkin, ataukah hanya terdapat satu jawapan betul sahaja?
Dalam sesebuah pembelajaran berpusatkan guru, guru mengawal setiap aspek tersebut. Sementara dalam sesebuah pembelajaran berpusatkan murid, murid mengawalnya– bermula dengan aspek hasil pembelajaran, kemudian aspek langkah-langkah penyelesaian, dan kemuncaknya aspek soalan pembelajaran atau permasalahan.
Dapat dirumuskan di sini bahawa berdasarkan pengalaman, para peserta bengkel bersetuju bahawa 'pembelajaran bermakna' berlaku kerana mereka mempunyai kawalan ke atas aspek-aspek pembelajaran. Sementara itu, 'pembelajaran tak bermakna' mereka berlaku kerana guru-guru mereka dahulu menggunakan pendekatan berpusatkan guru.
Setiap pendekatan sama ada berpusatkan guru mahupun berpusatkan murid sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri disamping ada had atau risiko yang perlu guru bersedia menanganinya.
Namun, jika guru berhasrat untuk menjadikan pelajar lebih dinamik dan berani dalam meneroka maklumat dan merangsang inkuiri, hendaklah guru menekankan bimbingan murid menerusi pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan
berpusatkan murid adalah teras dalam idea Pembelajaran Abad Ke-21.
Shared by Imran Arif
Guest Blogger
No comments:
Post a Comment