Ingin cuba satu aktiviti yang bertemakan haiwan dan berintegrasi dengan sains tentang bunyi? Guru-guru prasekolah boleh melaksanakan aktiviti interaktif ini dalam bentuk aktiviti P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) di kelas. Bahan yang diperlukan amat mudah diperolehi malah proses membuatnya memberi peluang kanak-kanak mempraktikkan kemahiran motor halus mereka.
Di Petrosains, aktiviti Cawan Berkokok dijalankan selepas sesi bercerita tentang kitar hidup seekor ayam. Aktiviti bertemakan haiwan domestik ini bertujuan untuk menarik minat pelajar Prasekolah bercerita, meneroka tentang ayam malah meniru bunyi ayam. Kemudian, mereka akan membuat dan menghasilkan cawan yang boleh berkokok!
Nabilah, Komunikator Sains sedang bercerita mengenai kisah hidup seekor ayam bersama murid Prasekolah
Apa yang diperlukan?
Bagaimanakah cara membuat 'Cawan Berkokok'?
Terbalikkan cawan kertas dan tebuk bahagian bawah dengan menggunakan mata pensel yang tajam. Guru atau ibu bapa perlu memberi perhatian semasa kanak-kanak melakukan langkah pertama ini.
Kemudian, masukkan tali kapas melalui lubang kecil yang telah ditebuk tadi. Ikat satu klip kertas di hujungnya bagi memastikan tali terikat dengan kemas.
Anda boleh mengemaskan lagi klip kertas dengan melekatkan pita pelekat atau pelekat fabrik yang berwarna-warni di atasnya.
Akhir sekali, basahkan span, kepilkan pada tali dan sentap ke bawah. Cuba pelbagai cara dan dengarkan bunyi yang terhasil.
Adakah ia berkokok seperti ayam?
Anda boleh panjangkan sesi ini dengan menggalakkan kanak-kanak menghias cawan berkokok mereka dengan bahan kraf dan jadikan ia sebuah patung ayam yang comel.
Apa yang berlaku?
Sewaktu jari kita menyentap span lembap, geseran berlaku di antara span dan tali. Span “tergelincir dan terlekat” dengan tali secara bergilir-gilir semasa geseran itu. Ini menyebabkan tali bergetar dan turut mengakibatkan cawan kertas bergetar. Jadi, udara di sekeliling cawan turut bergetar. Apabila getaran di udara “tiba” ke telinga kita, gegendang telinga akan menghantar mesej ke otak yang mana ia diterjemahkan sebagai bunyi “kokokan” ayam. Cawan kertas berfungsi sebagai corong pembesar keatas bunyi yang terhasil. Semakin kuat tali disentap bermakna semakin tinggi jumlah tenaga yang diberi untuk menghasilkan getaran bunyi. Sebagai variasi bunyi ayam berkokok, cuba hasilkan cawan berkokok menggunakan pelbagai saiz dan jenis bahan. Beritahu kami hasil eksperimen anda!
No comments:
Post a Comment