Wednesday 28 September 2016

Keajaiban Serangga Bercahaya



Kelip-kelip (fireflies) ialah spesies serangga sekecil lebih kurang 6mm. Ia tergolong dalam spesies kumbang Lampyridae. Mengikut rekod kajian yang dijalankan, terdapat lebih 1500 spesies kelip-kelip di persekitaran sederhana panas dan tropika di seluruh dunia.
Di Malaysia, Kampung Kuantan terkenal dengan kelip-kelip. Kelip-kelip terdapat dengan banyaknya di sepanjang Sungai Selangor yang merentasi kawasan ini.

Rimbunan pohon di kawasan paya sepanjang Sungai Selangor

Spesies jenis ‘Pteroptyx tener’ adalah jenis yang paling banyak terdapat di sini. Keunikan kelip-kelip ini adalah pada ekornya yang mengeluarkan kerlipan cahaya secara serentak pada kadar tiga kerlipan sesaat. Dengan jumlahnya yang banyak, cahayanya bagaikan satu rentak berirama. 

Seekor kelip-kelip jenis ‘Pteroptyx tener

Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding kelip-kelip betina. Ini adalah kerana kelip-kelip jantan mempunyai dua segmen cahaya di bahagian abdomen berbanding satu segmen cahaya pada kelip-kelip betina. Kelip-kelip jantan perlu menarik perhatian kelip-kelip betina dengan kerlipannya yang terang bagi tujuan mengawan. Kerlipan ini juga dipercayai sebagai isyarat amaran kepada pemangsanya.

Kelip-kelip memerlukan cuaca lembap dan persekitaran yang berpaya. Habitat yang paling sesuai ialah pokok berembang atau dalam bahasa saintifiknya ‘Sonneratia caseolaris’. Pokok berembang ialah sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing sungai. Ia amat penting kepada kelangsungan habitat kelip-kelip kerana ia menjadi tumbuhan perumah utama untuk serangga itu mengawan. Para penyelidik mempercayai bahawa kelip-kelip memilih pokok berembang kerana cecair tumbuhan yang dihasilkan oleh pokok ini membekalkan nutrien kepada kelip-kelip betina untuk menghasilkan telur dan menjalankan aktiviti fisiologi lain.

Pokok berembang

Tahukah anda bagaimana kelip-kelip menghasilkan cahaya? Pengeluaran cahaya oleh kelip-kelip adalah kerana tindak balas kimia di dalam organ-organ pemancar cahaya pada bahagian bawah abdomennya. Enzim lusiferase merangsang sejenis bahan kimia bernama lusiferin di dalam organ ini untuk bertindak balas dengan oksigen. Tindak balas ini seterusnya menghasilkan cahaya hijau yang mempersonakan. 

Tindak balas ini juga dibantu oleh kehadiran ATP (adenosina trifosfat), molekul yang terlibat untuk menghasilkan tenaga dalam benda-benda hidup. Proses pengeluaran cahaya dalam kelip-kelip ini dipanggil biopendarcahaya atau bioluminescence.

Bagaimanakah biopendarcahaya berlaku

Adakah anda tahu bahawa kelip-kelip boleh menghasilkan sumber cahaya yang lebih baik daripada lampu mentol? Cahaya kelip-kelip hanya menghasilkan kira-kira lima peratus haba sahaja dan tenaga selebihnya ditukarkan kepada bentuk cahaya. Cahaya mentol biasa pula mengeluarkan sebahagian besar tenaga dalam bentuk haba. Kelip-kelip, dengan 'cahaya sejuk' mereka, adalah penjana tenaga yang sangat cekap.

Buaya jimat elektrik

Terkini, para saintis telah berjaya menghasilkan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang lebih cerah diilhamkan daripada kelip-kelip. Ini adalah hasil penyelidikan terhadap kecekapan kelip-kelip menghasilkan cahayanya. Dengan menggunakan inspirasi corak pada abdomen kelip-kelip, saintis menghasilkan lampu LED yang 55% lebih cekap daripada reka bentuk terdahulu. 

Penggunaan tenaga yang cekap dan pembangunan sumber tenaga alternatif perlu untuk memenuhi keperluan tenaga masa hadapan disamping memelihara alam sekitar kita. Mari dapatkan maklumat lanjut tentang Tenaga Masa Hadapan di ‘Future Energy’, Petrosains.

Kredit imej: http://ngm.nationalgeographic.com/ngm/photo contest/2012/entries/194371/view/




Shared by Nor Azhar Ishak
Guest Blogger



No comments:

Post a Comment