Pelita selalunya dikaitkan dengan api yang dinyalakan oleh bahan api seperti kerosin untuk memberi cahaya pada waktu malam. Tetapi tahukah anda terdapat alternatif lain di mana kita boleh membuat pelita sendiri dengan bahan-bahan yang mudah didapati hanya dengan menyambungkan satu litar elektrik lengkap.
Untuk membina pelita, kerja-kerja terbahagi kepada dua iaitu i; bahagian litar elektrik dan ii; bahagian badan pelita. Mari kita sambungkan dulu komponen elektrik menjadi litar elektrik lengkap.
Mula-mula gunting kadbod hitam berukuran 10cm x 10cm. Anda boleh mengubahsuai saiz kadbod bergantung kepada saiz pelita yang ingin dihasilkan. Tebuk dua lubang kecil pada kadbod. Lekatkan pemegang bateri pada bahagian bawah kadbod dan lipatkan sedikit bahagian kiri dan kanan kadbod. Masukkan kedua-dua wayar dari pemegang bateri ke dalam lubang supaya ia akan terkeluar pada bahagian atas kadbod.
Anda akan memperoleh sesuatu seperti gambar di atas.
Kemudian masukkan wayar-wayar tadi kepada lubang yang terdapat pada pemegang mentol. Pemegang mentol akan berada pada bahagian atas kadbod hitam itu tadi.
Buka penebat pada hujung wayar dan sambungkan wayar-wayar tadi pada skru yang terdapat pada pemegang mentol.
Pasangkan mentol pada pemegang mentol. Pastikan anda pasangkan mentol dengan kemas. Berhati-hati semasa mengendalikan kaca mentol kerana ia mudah pecah!
Sekarang, uji sambungan litar elektrik anda. Pasangkan kedua-dua bateri atau sel kering pada bahagian bawah kadbod. Pastikan terminal bateri betul pada tempatnya. Pemasangan bateri pada pelita ini juga bertindak sebagai 'suis' kepada pelita anda!
Wow! Mentol sudah menyala. Ini bermaksud sambungan litar elektrik anda betul dan kemas. Sekiranya tidak menyala, semak semula sambungan bateri samada ia berada pada terminal yang betul atau tidak. Ataupun sambungan wayar pada pemegang mentol mungkin longgar. Jika ia, cuba anda kemaskan dulu :). Cabut bateri dari pemegang bateri terlebih dahulu untuk kita meneruskan membuat bahagian badan pelita pula.
Anda boleh menghasilkan badan pelita mengikut warna kegemaran anda. Untuk memulakan, lipat plastik bewarna ini kepada bentuk yang anda suka. Lipat empat seperti gambar di atas untuk menghasilkan pelita berbentuk segi empat.
Gunting plastik berwarna untuk menghasilkan rekabentuk badan pelita seperti di atas. Anda juga boleh mengubahsuai mengikut kreativiti anda sendiri:)
Kemudian lekatkan bahagian badan pelita pada kadbod hitam tadi.
Tebuk dua lubang seperti gambar di atas.
Ikat tali supaya anda boleh menggantung dan membawa pelita anda dengan mudah.
Akhir sekali, anda boleh menambah bahan-bahan perhiasan lain seperti pelekat dan sebagainya mengikut kreativiti anda. 'DIY' pelita berkuasa bateri sudah pun siap sambil kita turut 'hands-on' belajar menyambungkan litar elektrik lengkap.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment