Friday 28 August 2015

Makan Aiskrim 'Liquid Nitrogen?' - Boleh atau Tidak



Aiskrim 'liquid nitrogen' ialah aiskrim yang disejukkan dengan menggunakan cecair nitrogen atau juga dikenali sebagai 'liquid nitrogen'. Istilah 'nitrogen' mungkin memberikan persepsi yang berbeza bagi setiap individu. Ia lebih dikenali ramai sebagai unsur kimia yang bersifat gas merangkumi gas yang terbanyak di ruang atmosfera. Tetapi bahan yang digunakan untuk menghasilkan aiskrim ini adalah gas nitrogen yang dimampatkan dan disejukkan kepada  bentuk cecair. Secara ringkasnya, ia dikenali sebagai cecair nitrogen atau 'liquid nitrogen' dan suhunya adalah bersamaan -196 darjah Celcius.


Bagaimana untuk membuat aiskrim 'liquid nitrogen?'
Ambil sebuah mangkuk dan campurkan secawan susu penuh krim, 1/2 cawan krim putar, 1/2 cawan susu pekat manis dan 1 sudu kecil esen vanila. Kemudian, kacau sehingga sebati. Ambil cecair nitrogen dan curahkan ke dalam mangkuk adunan sedikit demi sedikit sambil mengacau campuran sehingga campuran bertekstur separa pepejal seperti aiskrim. 
Aiskrim sudah tersedia untuk dimakan.


Apa yang berlaku?
Semasa menuang cecair nitrogen ke dalam mangkuk, kelihatan kepulan asap-asap putih. Asap-asap ini adalah wap air yang bersifat sejuk dan mudah meruap. Nitrogen daripada cecair nitrogen tadi tidak bercampur dengan adunan bahan-bahan aiskrim kerana ia telah tersejat ke udara atmosfera dengan kadar yang sangat cepat dan sebahagian daripadanya bercampur dengan wap air. Jadi tiada unsur nitrogen yang bercampur dengan adunan aiskrim di dalam mangkuk tadi. 

Tetapi jika nitrogen tersejat ke udara, kenapa perlu guna cecair nitrogen untuk buat aiskrim? Ini disebabkan suhu cecair nitrogen yang sangat rendah dan keadaan fizikalnya yang teramat sejuk, berperanan utama untuk menyejukkan campuran bahan-bahan yang digunakan untuk membuat aiskrim dengan kadar segera.

Maka, jawapannya adalah aiskrim 'liquid nitrogen' BOLEH dan selamat untuk dimakan! 



Ikuti pautan di bawah untuk mengetahui cara lain untuk membuat aiskrim: 
http://www.creating-wonder.blogspot.com/2013/10/kenapa-tambah-garam-untuk-membuat.html



 Kunjungi Petrosains di Aras 4, Suria KLCC sekiranya anda ingin mencuba untuk membuat ais krim 'liquid nitrogen' dan pelbagai aktiviti menarik bertemakan 'A Slice Of Life' sehingga September 2015! Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.petrosains.com.my!


Posted by Ayu
Petrosains

1 comment: