Friday 31 July 2015

Siri 7/9: Ilusi Tangan Berlubang



Aktiviti ini bukan sahaja mudah tetapi ia tidak mengeluarkan kos yang banyak. Tetapi jangan dipandang rendah kerana ia mampu membuatkan anda terpinga-pinga seolah-olah ada sesuatu yang ajaib telah berlaku. Gunakanlah ia sebagai aktiviti silap mata yang menghasilkan satu ilusi visual melibatkan deria penglihatan kita.

Apakah yang anda perlukan?
Sehelai kertas A4
Pita selofan
(Alternatif : bekas tiub kertas tisu dapur)

Apakah yang perlu dibuat?
1. Gulungkan lembaran kertas itu untuk membuat tiub kertas dan kemaskannya dengan menggunakan pita selofan.
2. Pegang tiub kertas itu dengan tangan kanan. 
3. Gunakannya untuk melihat melalui mata kanan anda.
4. Pastikan kedua-dua mata terbuka.
5. Sekarang, buka tapak tangan kiri anda dan tempatkannya berhadapan ke arah muka anda.
6. Rapatkan tapak tangan kiri anda ke tiub kertas tadi.
7. Sandarkan tapak tangan kiri anda kepada tiub kertas. Letakkan jaraknya lebih kurang dua per tiga panjang tiub dari mata anda.
8. Pastikan kedua-dua mata anda terbuka. Apakah yang anda dapat lihat? Adakah anda dapat lihat sebuah lubang terbentuk di tapak tangan kiri anda? Agak menakutkan, bukan?

Apakah yang berlaku?
Apabila anda melihat melalui tiub kertas dan dalam masa yang sama memerhatikan tapak tangan, satu ilusi optik telah terhasil. Mata sebelah kiri melihat lubang manakala mata sebelah kanan pula melihat tapak tangan. 
Apa yang berlaku ialah mata dan otak anda mengolah kedua-dua imej dalam masa yang sama. Tindakan ini menghasilkan imej tapak tangan yang berlubang tanpa mencederakan anda sedikit pun!

Tahukah anda?
Apakah yang dimaksudkan dengan ilusi optik?
Ilusi optik (optical illusion) atau lebih sesuai dikenali sebagai ilusi visual (visual illusion), melibatkan pengeliruan visual. Pelbagai kesan visual yang mengelirukan boleh dilihat apabila kita memanipulasikan susunan imej, warna, kesan sumber cahaya dan lain-lain pemboleh ubah yang berkaitan. 
Jika anda menghadapi kesukaran untuk melihat imej yang tersembunyi di dalam sesuatu gambar atau fotograf, anda tidak perlu risau. Ini adalah kerana semua orang mengalami ilusi visual dengan cara yang berbeza. Malah, bagi sesetengah ilusi visual, ada juga yang tidak dapat melihat kesannya langsung!
Ilusi optik bukan sahaja sesuatu yang seronok dan menarik tetapi ia juga mendedahkan banyak perkara tentang cara-cara otak berfungsi. Ada pelbagai ilusi optik dan setiapnya ada penjelasan tentang bagaimana dan mengapa ilusi visual ini berlaku. 



Perhatikan kelima-lima roda yang bercorak di atas. Jangan risau jika anda melihatnya berputar!
Jika anda tidak percaya bahawa roda-roda itu sebenarnya tidak berputar, fokus kepada "lidah bercabang" berwarna merah di empat roda-roda tersebut. Adakah "lidah-lidah" itu bertukar posisi dari kedudukan asal?


Selamat mencuba!


Ikuti kesemua 9 siri “Ilusi dan Sains”  seperti berikut:-

Siri 9/9 : "Pepejal + Cecair = Gas!"
http://www.creating-wonder.blogspot.com/2015/07/siri-99-pepejal-cecair-gas.html




Kunjungi pameran Illusion: Nothing Is As It Seems dan Lihat Dunia Berubah Di Depan Mata Anda di Petrosains, KLCC dari 4 September 2015 - 10 Januari 2016!
Maklumat lanjut boleh didapati di  




Shared by Nor Azhar Ishak
Guest Blogger

No comments:

Post a Comment