Pernahkah anda mengalami di mana anda diminta menurunkan cap jari kanan atau kiri pada helaian borang-borang tertentu ketika anda berurusan di kaunter-kaunter pejabat pos, bank-bank, pejabat imigresen atau di pejabat-pejabat tertentu? Walaupun kita sudah menandatangani borang-borang tersebut, mereka masih memerlukan cap jari kita lebih-lebih lagi untuk urusan yang berkaitan dengan 'wang' dan urusan-urusan yang berkaitan dengan pengesahan yang lebih mendalam.
Ini adalah kerana cap jari seseorang individu adalah 'unik'. Setiap manusia memiliki cap jari yang tersendiri iaitu tidak sama dengan mana-mana individu yang lain walaupun kembar siam. Dalam erti kata lain, tandatangan masih boleh ditiru, tetapi cap jari tidak akan boleh ditiru.
Istilah cap jari merujuk kepada corak permukaan kulit pada jari. Ia turut merangkumi corak pada tapak tangan. Corak cap jari terbentuk dari rabung dan lekuk pada permukaan kulit.
Berikut adalah jenis-jenis corak cap jari. Pada amnya, ia terbahagi kepada 3 jenis utama iaitu gerbang (arches), membulat (loop) dan pusaran (whorl).
Jenis cap jari yang mempunyai bentuk gerbang (arch) dikenalpasti melalui corak laluan rabung yang bermula dari satu tempat dan berakhir di satu tempat lain pada permukaan jari. Bentuk cap jari ini dikategorikan kepada dua jenis iaitu gerbang biasa dan gerbang khemah. Bentuk cap jari membulat (loop) boleh dilihat melalui corak rabung yang bermula dari satu tempat dan berakhir di tempat yang sama pada permukaan jari manakala bentuk pusaran (whorl) pula adalah bentuk cap jari yang terjadi apabila corak rabung membentuk jaluran yang bertemu di bahagian tengah jari.
Disebabkan keunikannya, cap jari juga digunakan sebagai salah satu cara bagi ahli forensik sebagai bahan bukti bagi mengesan penjenayah. Corak permukaan cap jari terbentuk sebelum kelahiran dan akan kekal hingga seseorang itu mati dan mereput. Keunikan ini membolehkan cap jari digunakan sebagai kaedah pengecaman yang berkesan.
Dalam aplikasi forensik, cap jari digunakan sebagai kaedah untuk mengenal pasti seseorang kerana:
1) cap jari adalah unik
2) cap jari bersifat kekal
Sebagaimana yang telah dijelaskan, cap jari terhasil daripada rabung dan lekuk yang membentuk satu corak yang unik. Dalam proses identifikasi, pakar analisis cap jari mengaplikasi ciri-ciri cap jari yang membentuk corak yang unik pada setiap individu. Antaranya adalah corak di mana rabung dan lekuk bertemu atau berpisah antara satu dengan yang lain. Corak unik yang terbentuk ini menjadi asas kepada identifikasi individu melalui cap jari.
No comments:
Post a Comment