Friday 7 November 2014

Tali Ber'geser', Kumbang Berlumba!


Yang Mana Lebih Pantas?

Geseran wujud apabila dua permukaan bersentuhan dan bergerak pada arah yang bertentangan. Contohnya seperti tayar yang bergerak di atas jalan raya dan ketika kita menggerakkan duit syiling di atas meja.   

Daya gesaran pula adalah daya yang wujud untuk menentang pergerakan. Daya geseran boleh ditambah dan dikurangkan. Di antara faktor yang mempengaruhi daya geseran adalah keadaan permukaan, jisim objek dan jenis permukaan. Sebagai contoh permuakaan kasar mempunyai daya geseran yang lebih  besar berbanding dengan permukaan yang licin.

Mari cuba aktiviti sains ini untuk memahami dengan lebih mendalam tentang konsep geseran. 

Apa yang perlu dilakukan?

Ambil sekeping kadbod dan lukis bentuk kumbang. Satu diwarnakan dengan warna hitam dan satu lagi diwarnakan dengan warna jingga (boleh juga melukis imej lain mengikut kreativiti masing-masing). Kemudian, lekatkan dua batang penyedut minuman (yang sama jenis) di belakang setiap kumbang. Seterusnya masukkan tali  ke dalam penyedut minuman pada kedua-dua kumbang hitam dan kumbang jingga. Kedua-dua kumbang sudahpun bersedia untuk berlumba! Jom lihat video di bawah:-


Apa yang berlaku?
Apabila tali ditarik secara berulang-ulang (kiri dan kanan), kumbang jingga akan bergerak menuju ke depan dengan lebih pantas. Tetapi kumbang hitam sukar untuk bergerak ke hadapan. Ini adalah kerana penyedut minuman dilekatkan secara condong di bahagian belakang kumbang jingga manakala penyedut minuman dilekatkan secara selari di bahagian belakang kumbang hitam. 

Permukaan tali bersentuhan dengan permukaan penyedut. Apabila tali ditarikgeseran antara tali dan penyedut terhasil. Penyedut minuman dilekatkan secara condong untuk menambahkan daya geseran di antara tali dan penyedut. Daya geseran yang terhasil semasa ditarik membolehkan kumbang bergerak cepat ke hadapan. 




Posted by Ayu
Petrosains


No comments:

Post a Comment