Mari Belajar Sains!
Letakkan satu objek legap di bawah satu sumber cahaya. Apa yang anda lihat? Kita akan dapat melihat bayang-bayang yang berwarna hitam pada permukaan dinding atau skrin.
Apakah pula yang akan berlaku jika kita letakkan objek legap di bawah sumber cahaya yang berwarna merah, hijau dan biru? Apakah warna bayang-bayang yang terhasil? Adakah bayang-bayang tersebut berwarna? Bagaimana ia berlaku?
Wow! Sekiranya kita letakkan sesuatu objek di bawah sumber cahaya merah, hijau dan biru, bayang-bayang berwarna juga yang akan terhasil! Tetapi warna bayang-bayang adalah tidak sama dengan warna-warna cahaya lampu. Tiga warna bayang-bayang terhasil adalah magenta, sian dan kuning.
Apa yang berlaku?
Terdapat 3 warna primer untuk cahaya. Ketiga-tiga warna tersebut adalah merah, hijau dan biru sama seperti cahaya lampu (nota: Warna primer cahaya adalah berbeza dengan warna primer pigmen). Dalam eksperimen, sekiranya dua warna primer cahaya (merah, biru atau hijau) bertindan, ia akan menghasilkan warna sekunder cahaya iaitu magenta, sian dan kuning. Bila ketiga-tiga warna primer bertindan, ia akan menghasilkan cahaya putih.
Merah + Biru = Magenta
Hijau + Biru = Sian
Merah + Hijau = Kuning
dan
Merah + Hijau + Biru = Putih
Konsep sains mengenai bayang-bayang!
Apa itu bayang-bayang dan bagaimana ia terbentuk?Bayang -bayang adalah kawasan yang dihalangi cahaya oleh sesuatu objek legap. Ini adalah disebabkan cahaya bergerak lurus. Bayang-bayang yang terhasil selalunya bewarna hitam kerana kawasan bayang-bayang tidak menerima cahaya.
Bayang-bayang berwarna
Begitu juga yang berlaku apabila cahaya merah melalui objek legap, bayang-bayang yang terhasil adalah bukan merah sebaliknya campuran warna cahaya biru dan hijau. Warna merah hanya terdapat pada bahagian luar daripada kawasan bayang-bayang. Fenomena yang sama berlaku bagi cahaya hijau.
Dua campuran warna cahaya primer yang bertindan akan menghasilkan warna sekunder seperti yang dapat di lihat pada persamaan di atas.
Apabila ketiga-tiga warna bercampur pada bahagian luar kawasan bayang-bayang masing-masing, lalu warna putih terbentuk.
Bayang-bayang lebih besar atau lebih kecil daripada saiz objek sebenar?
Saiz bayang bayang-bayang ditentukan oleh jarak antara objek dan skrin. Semakin dekat jarak objek dengan skrin , semakin kecil saiz bayang-bayang yang terbentuk dan begitulah sebaliknya.
No comments:
Post a Comment