Apa itu Panda?
Badannya berbulu hitam dan putih. Ia jelas kerana dari penamaan saintifiknya, Ailuropoda melanoleuca juga mencirikan panda sebagai "kaki-kucing-hitam-dan-putih".
Selalunya panda jantan adalah lebih besar daripada betina dan berat seekor panda adalah lebih kurang 100-145 kg. Jangka masa hidup seekor panda adalah 15-20 tahun dalam habitat liar iaitu di kawasan pergunungan.
Menariknya mengenai haiwan ini, ia juga dikenali sebagai 'beruang bersalin kulit' kerana anak Panda selalunya dilahirkan bewarna putih sahaja dan warna bulu hitam pada badannya akan muncul kemudian dalam tempoh tumbesaran seekor Panda.
Panda "Maging atau Maun"?
Secara taksonomi, ia diketahui sebagai 'maging' (makan daging) ataupun memiliki sistem pencernaan karnivor, namun pemakanan mereka hampir keseluruhan adalah 'maun' (makan daun) seperti herbivor.
Pelik tetapi ia amat menggemari buluh. 99% daripada dietnya adalah buluh kerana ia dikatakan boleh memakan sehingga 14 kg buluh sehari.
Panda juga dikatakan haiwan 'maserba' (makan serba-serbi termasuk daun dan daging) kerana diketahui ia juga memakan telur dan serangga sebagai sumber protein di samping diet utama mereka.
Tetapi kenapa makan buluh?
Secara logik, persoalan seperti kenapa makan buluh walaupun kita membayangkan rasa buluh itu tidak sedap. Tambahan pula ia sangat keras untuk dikunyah. Mekanisme sistem percernaan Panda secara semulajadinya direka bentuk seperti haiwan karnivor yang mampu mencernakan makanan yang keras seperti daging. Disebabkan dietnya herbivor, maka ia perlu beradaptasi dengan memakan tumbuhan yang keras untuk menyesuaikan dengan sistem percernaannya.
Jadi persoalan sama ada Panda 'maging' atau 'maun' sudah pun terjawab di mana Panda merupakan haiwan 'maging' yang 'maun'. Panda juga akan memakan buluh dengan banyak dalam masa sehari bagi memastikan makanan dalam sistem percernaannya sentiasa penuh kerana pada kebanyakan masa Panda mendapat khasiat nutrisi hanya daripada buluh.
No comments:
Post a Comment