Friday 31 January 2014

Kad Pengenalan Haiwan!


Jika diperhatikan pada gambar kupu-kupu di atas, mungkin kita terfikir yang mereka adalah sama semuanya. Mungkin ramai juga yang berpendapat  bahawa  mereka  adalah  sama kerana  dari sudut fizikalnya, kupu-kupu di atas kelihatan sama. Tetapi,  tahukah  anda bahawa  rupa yang sama tidak semestinya menentukan sesuatu organisma itu berasal dari spesies yang sama. Mereka  mungkin berlainan spesies antara satu sama lain. 


Melalui sistem pengkelasan dan taksonomi dalam tatanama biologi spesifikasi untuk haiwan dan berpandukan pada gambar di bawah, 'Satyrium' adalah genus manakala  'saepium' adalah spesies. Sekiranya nama saintifik lain seperti Felix Domestica, maka 'Felix' adalah genus manakala 'domestica' adalah spesies. Dalam erti kata lain, sesuatu spesies itu mungkin berasal dari genus yang sama tetapi berlainan spesies. Dalam contoh di bawah, kedua-duanya adalah berasal daripada genus yang sama iaitu 'Satyrium' tetapi mereka  berlainan spesies.
Teknik yang digunakan bagi penentuan spesies dinamakan 'Barcoding DNA' atau Kod Bar DNA. Kod bar ini  digunakan dalam usaha untuk mengenal pasti spesies yang tidak diketahui atau menilai sama ada spesies perlu digabungkan atau dipisahkan. 

Kod Bar DNA  mencirikan spesies organisma menggunakan urutan DNA pendek daripada kedudukan dalam genom. Genom adalah semua maklumat genetik benda hidup yang dikodkan ke dalam DNA. Urutan kod bar DNA adalah relatif yang singkat untuk keseluruhan genom dan ia boleh didapati dengan cepat dan murah. Dalam erti kata lain, teknik ini adalah bersamaan dengan cara yang sama pengimbas pasar raya menggunakan jalur hitam kod bar untuk mengenal pasti sebarang pembelian.

Mengenal pasti spesies menggunakan kod bar DNA bermula dengan spesimen. Bahan spesimen ada yang diperolehi dari lapangan,  dari koleksi yang ditempatkan di muzium semulajadi,  zoo, taman botani dan di bank benih. Di dalam makmal, sekeping tisu kecil daripada spesimen di ambil untuk mengekstrak DNAnya. Urutan kod DNA kemudiannya akan diterjemahkan ke dalam bentuk turutan warna. Setiap warna mewakili asid nukleik tertentu samada C,T,A atau G - sitosin (C), adenin (A), tiamin(T) dan guanin(G). 

Sebagai contoh urutan DNA adalah  seperti CCTATACCTAATCTTCGGAGCATGAGCGGGCATGGTAGGC....

Dan imej bar kod akan kelihatan seperti dalam gambarajah di bawah:



Aplikasi kod bar DNA bukan hanya  digunakan  untuk organisma haiwan sahaja. Teknik ini turut digunakan dalam penentuan jenis daun tumbuhan dan serangga. 

Jadi, tidak semestinya sesuatu organisma itu sama spesiesnya walaupun rupa dan warna mereka kelihatan sama pada mata kasar kita. Teknik kod bar DNA pasti memberi penyelesaian terhadap Kad Pengenalan mereka! 









Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






No comments:

Post a Comment